23 Jun 2014

Ustaz ABC, Arkitek Pemuda dan Aku

25 Sya'aban 1435. [MOD] -
Oleh Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

"Raja, ana dah beri nama anta pada Ustaz Bakor," sapa sahabat saya Tuan Sidek selepas peperiksaan terakhir saya di Universiti Islam Antarabangsa. Saya tanya kembali kepadanya, "kenapa ?". Tuan Sidek menjawab, "Ustaz Kor nak cari seorang pegawai sepenuh masa di Dewan Pemuda PAS Pusat". Saya terdiam dan hanya mengangguk-angguk tanda faham.


Minggu hadapannya, saya mendapat panggilan telefon dari oleh Ustaz Bakar Chik, terketar tangan bila dihubungi oleh Ketua Pemuda PAS Pusat. Maklumlah ketika itu saya masih bergelar mahasiswa. Dihubungi oleh Ustaz Bakar Chik dan  berkata "ana nak anta bersama Pemuda". Ustaz Bakar minta ana hadir untuk ditemuduga informal bagi perjawatan tersebut. Antara soalannya, "anta bersedia untuk bersama Dewan Pemuda PAS? bersedia untuk mempraktikkan segala macam tarbiyah kampus? Bersedia untuk menerima elaun yang kecil?". Sedikit tersentak namun hati ini menjadi kuat apabila mendapat sedikit taujihad daripada Ustaz Bakar selepas soalan tadi diutarakan kepada saya. Selepas saya memberikan persetujuan, saya dibawa berjumpa Dr Hamidi Syakur, Pengarah Jabatan Kerajaan Swasta DPPP ketika itu yang akan menguruskan pembiayaan dan pengurusan ana.

Maka tarikh keramat 15 Jun 1998, secara rasminya saya bertugas sebagai Pegawai Khas Unit Kerja Jemaah di Dewan Pemuda PAS Pusat. Saya diamanahkan untuk satu posisi yang baru diwujudkan oleh Ustaz Bakar Chik iaitu Unit Kerja Jemaah (UKJ). Saya sendiri masih terawang-awang bagi posisi jawatan saya ini. Maka saya dihantar ke Kuala Terengganu untuk mendapat latihan dan pendedahan konsep yang UKJ yang diilhamkan oleh Ustaz Bakar.

Sampai sahaja di Kuala Terengganu, saya menumpang disebuah bilik kelas di tingkat atas di pejabat Institut Berakan Batu 6. Selama beberapa bulan di sana saya dilatih dan di bimbing oleh beliau kaedah dan matlamat UKJ. Saya di beri satu DUN iaitu DUN Batu Rakit untuk latihan medan saya bagi mewujudkan tanzim jawatankuasa pemuda di setiap cawangan PAS yang ada dengan menekankan nilai dan kepentingan usrah sebagai tunjang bagi setiap JPC dan JPC sebagai unit yang bekerja untuk Jemaah. Itulah konsep yang saya simpan dan hadam sehingga hari ini yang dibimbing oleh Ustaz Bakar.

Sepanjang pengenalan saya dengan Ustaz Bakar, beliau adalah seorang yang banyak mencetuskan idea-idea baru dalam pemuda. Saya menamakan dia sebagai Arkitek Moden Pemuda PAS. Di zaman beliaulah tertubuhnya institusi yang menjadi sebutan dikalangan rakyat iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti). Di zaman beliaulah tertubuhnya satu badan kebajikan  yang menjadi bualan anak anak muda iaitu Unit Amal. Dizaman beliau lah di cetuskan idea-idea dalam pemuda seperti Unit Kerja Jemaah, Jabatan Kerajaan dan Swasta, sekolah rendah Islam Pintar dan hubungan antarabangsa.

Beliau sangat menitik beratkan ilmu dan pendidikan, apabila saya memaklumkan kepada beliau dahulu ketika saya ingin menyambung pembelajaran saya diperingkat Phd dialah Antara individu yang menyokong penuh. Setelah saya pulang tamat ijazah PhD saya, dia berkata kepada saya, "Raja, sekarang anta dah ada PhD , tambahkan diri dengan menghafal Al-Quran lak". Satu saranan yang saya takkan lupakan sehingga saat ini.

Saya tiba dirumah jam 3 pagi tadi setelah selesai program anak muda pertandingan bola api, bola sepak PS2 dan Piala Dunia skrin besar di Pasir Salak anjuran DACS Pemuda Perak jam 12 malam. Alangkah terkejutnya apabila dilihat mesej di telefon bimbit saya jam 6.40 pagi tadi ketika nak menunaikan solat subuh apabila berita pemergian individu yang sangat saya hormati dan sayangi. Tersentak hingga tak sedar air mata mengalir membasahi pipi. Pada saya Almarhum Ustaz Bakar Chik bukan saja sebagai seorang guru dan ketua tetapi seperti seorang ayah kepadaku. Kali terakhir bertemu beliau semasa mesyuarat PAS Pusat dua minggu yang lalu. Dan setiap kali bertemu, almarhum akan kata, "anta dah jadi AJK Pusat ya Raja" sambil tersenyum. Seorang yang selalu kritis dan kritikal dalam mesyuarat PAS Pusat dan penuh idea bagi perjuangan Islam.

Banyak lagi pengalaman tentang beliau inginku coretkan. Namun buat masa ini cukuplah sekadar itu. Moga kamu sejahtera di alam sana wahai murabbiku.

Tiada ulasan: