11 Ogos 2014

Isu MB: Exco PAS S'gor jalan tugas seperti biasa

15 Syawal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Keempat-empat Exco PAS Kerajaan Selangor akan terus menjalankan tugas mereka seperti biasa di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, demikian tegas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata, ini kerana kerajaan negeri masih lagi wujud dan berfungsi seperti biasa, sebelum menunggu pengumuman terbaru daripada PAS Pusat.

"Kerajaan masih ada, jadi mereka hendaklah menjalankan tugas sebagaimana biasa sehingga ada keputusan baru," katanya kepadaHarakahdaily.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan kesemua Exco PAS selepas Lembaga Disiplin PKR memecat Abdul Khalid kelmarin.

PAS mempunyai empat Exco dalam kerajaan Selangor iaitu, Pengerusi Perumahan Pengurusan dan Peneroka Bandar Iskandar Samad (Adun Chempaka), Pengerusi Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian Pembangunan Desa Sallehen Mukhyi (Adun Sabak), Pengerusi Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali (Adun Selat Klang) dan Pengerusi Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus (Adun Sijangkang).

Sementara itu, Mustafa mengingatkan kepada semua peringkat kepimpinan parti, ahli dan para penyokong supaya bertenang dalam menghadapi konflik politik yang kini melanda Selangor.

Katanya, PAS masih bersama Pakatan Rakyat dan menangani krisis ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain.
 

Tiada ulasan: