12 Mei 2017

PAS Maju Bersama Gagasan Sejahtera Menuju PRU ke 14

PENGUMUMAN oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada petang Khamis, 11 Mei 2017, menjadi satu titik tolak yang besar kepada PAS dalam meneruskan langkah penting untuk PAS memimpin perubahan politik Malaysia dengan Sejahtera Bersama Islam. Tindakan MSU dibuat dengan perkiraan syarak seperti mana ketika meluluskan juga tahaluf siyasi dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Kehujahan yang dilakukan oleh MSU tidak boleh dipertikai lagi sekiranya semua faham rujukan PAS adalah Quran, sunnah, ijmak dan qias. Dalam sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, berlaku banyak perlanggaran perjanjian, dan kebiasaannya mereka yang melanggar perjanjian tidak diberi muka lagi seperti Yahudi Bani Qaynuqa yang melanggar piagam Madinah, Yahudi Bani Nadhir yang khianat kepada Islam. Ataupun seperti mana putusnya Sulh Hudaybiah, apabila Qurays melanggar perjanjian dengan menolong Bani Bakr yang bertelingkah dengan Bani Khuzaah yang mempunyai ikatan dengan Kerajaan Islam Madinah.
Putusnya Tahaluf, Kebebasan PAS bergerak memimpin Perubahan

Sebelum memutuskan Tahaluf Siyasi dengan PKR, PAS sudah telah menyusun jalan yang bertepatan dengan pemahaman syariat dan sirah Nabawi dalam meneruskan perjuangan Islam di Malaysia ini. Pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) adalah salah satu yang jelas kelihatan di mata umum. PAS berjaya menunjukkan kefahaman sebenar bagaimana perbezaan antara politiking pilihan raya dan juga politik taawun dan tafahum dalam membina negara dan menyelesaikan masalah negara dan umat.

Harapan membawa perubahan dengan Islam dinyatakan dengan jelas dalam Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kedah, baru-baru ini. Tema Sejahtera Bersama Islam menunjukkan keyakinan PAS untuk terus membawa Islam sebagai penyelesaian yang membawa sejahtera kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh negara dan rakyat Malaysia.

Dokumen Hijau, Wawasan Induk Negara (WIN), Gagasan Penyelesaian PAS yang perlu Ke Hadapan

PAS sudah terlepas beban untuk menunjukan jalan keluar kepada setiap masalah dalam negara ini termasuk dalam negeri Selangor. Dokumen Hijau PAS adalah salah satu cadangan PAS yang bertepatan dengan pendekatan BMPS sebagai nasihat penyelesaian kepada Negara untuk dilakukan atau kepada PAS bila memerintah nanti. Waktu yang sama, masalah-masalah baru yang dijangka berlaku seperti masalah penswastaan air Selangor dan juga kemungkinan-kemungkinan kegagalan kerajaan negeri sekarang menyelesaikannya secara mengutamakan rakyat, PAS boleh bersedia memberi penyelesaian tanpa terikat dengan alasan tahaluf siyasi yang cuba dikatakan oleh kebanyakan orang.

Secara umumnya, dengan pengumuman MSU memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR, PAS telah memulakan langkah maju ke hadapan tanpa perlu terikat dengan masalah-masalah berangkai melibatkan rakan tahaluf sebelum ini. Yang penting untuk diutamakan sekarang adalah menerangkan gagasan-gagasan PAS dan membuktikan bahawa PAS mampu membawa perubahan negara dengan Sejahtera Bersama Islam.

Ahmad Hakimi Othman
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor
Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan PAS Pusat
12 Mei 2017 / 15 Syaaban 1438 - HARAKAHDAILY 12/5/2017

Tiada ulasan: