23 Jun 2021

60 peratus penduduk divaksin menjelang akhir September - KJ


KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan 60 peratus penduduk di Malaysia divaksin menjelang akhir September ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata setakat 19 Jun lalu, 4.08 juta individu mewakili 12.5 peratus populasi di negara ini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 dengan 1.58 juta sudah pun menerima dua dos penuh.

"Kerajaan yakin untuk menyuntik 11 juta dos pada Julai, 13 juta dos menjelang akhir Ogos dan tambahan lapan juta dos menjelang akhir September.

"Dengan ini, kerajaan menyasar untuk mendapatkan 60 peratus populasi divaksin menjelang akhir September ini," katanya pada majlis pelancaran laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia - 'Weathering the Surge' yang diterbitkan oleh Bank Dunia secara maya hari ini.

Mengulas lanjut Khairy berkata, kerajaan juga sedang giat meningkatkan penubuhan Pusat pemberian Vaksin (PPV) bagi mempercepatkan pemberian program imunisasi.

Katanya, kerajaan menubuhkan sejumlah PPV mega, atau pusat vaksinasi, untuk meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara.

"Kami menyasarkan 1,000 doktor swasta untuk mula memberikan vaksin pada akhir bulan ini dan bulan depan, ketika kerajaan terus meningkatkan jumlah pusat vaksinasi.

"Kerajaan akan turut membawa masuk pekerja kesihatan yang bersara, pelajar perubatan dan yang sedang dalam latihan, untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja kami.

"Sebagai tambahan, kami sekarang telah mengaktifkan unit mudah alih untuk memvaksinasi mereka yang mempunyai masalah mobiliti. Matlamat kami adalah untuk menjadi seinklusif yang boleh dalam usaha melaksanakan program vaksinasi ini," katanya.

Khairy berkata, sementara menunggu pelan imunisasi membuahkan hasil, kerajaan akan terus menyokong syarikat dan mengekalkan pekerjaan untuk rakyat menerusi pelbagai pakej bantuan.

"Pakej terkini Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+), mempunyai RM14 bilion nilai bantuan termasuk program subsidi upah, bantuan pembayaran semula bersasar.

"...pengecualian levi pekerja, diskaun sewaan premis dan tambahan jumlah geran khas untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro bagi menyokong komuniti perniagaan.

"Sokongan daripada kerajaan ini menyasarkan untuk membantu sektor swasta kekal berdaya tahan untuk tempoh jangka pertengahan," katanya. BH/-

Tiada ulasan: