BANGKOK: Industri perlombongan batu jed bernilai berbilion dolar dipercayai menjadi penyumbang utama 'dana' yang digunakan untuk biaya operasi junta tentera Myanmar selepas rampasan kuasa 1 Februari lalu.
Perkara itu didedahkan Global Witness dalam satu laporannya, yang turut menggesa orang ramai memboikot pembelian batu permata dan jed dari Myanmar.
Negara itu kini berada dalam kekacauan selepas junta tentera menggulingkan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi.
Menurut kumpulan pemantau, lebih 880 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan membantah tindakan tentera itu.
Myanmar adalah antara pengeluar terbesar batu jed dunia dan industri itu didorong oleh permintaan tinggi dari negara jirannya, China.
Lombong jed terletak di kawasan terpencil, Kachin di utara negara itu, dikatakan turut membiayai perang saudara antara kumpulan etnik bersenjata dan tentera sejak beberapa dekad lalu.
Menurut Global Witness lagi, susulan rampasan kuasa itu, sudah pasti pelesenan kegiatan perlombongan dikendalikan junta dan besar kemungkinan industri itu 'menjadi dana serta sumber utama' untuk tentera terus berkuasa di negara itu.
Penasihat Dasar Global Witness di Myanmar, Keel Dietz, berkata perlombongan jed kini di bawah cengkaman tentera dan hampir mustahil untuk membeli jed tanpa memberikan wang kepada jeneral dan sekutu mereka.
Hanya sebilangan kecil daripada keuntungan perlombongan itu digunakan untuk pentadbiran kerajaan manakala batu jed berkualiti tinggi kebanyakannya dipercayai diseludup ke China.
Global Witness juga mendakwa sebelum rampasan kuasa, 70 hingga 90 peratus batu jed yang dikeluarkan dari lombong di Hpakant, Kachin diseludup ke sempadan 'tanpa pernah direkodkan dalam sistem hasil di Myanmar'.
"China bukan saja negara utama mengimport jed tetapi turut memainkan peranannya dalam konflik dan suapan berkaitan dengan perdagangan batu permata itu," katanya.
Rampasan kuasa oleh junta tentera turut mendorong Tentera Kemerdekaan Kachin meningkatkan serangan.
Menurut badan pemantau itu, rampasan kuasa junta tentera itu juga memadamkan peluang reformasi terhadap industri berbahaya dan tidak terkawal, yang dimulakan oleh Suu Kyi.
Menurut Dietz, selain ancaman periuk api di Kachin, pelombong juga berdepan ancaman bencana alam.
"Tanah runtuh dan kemalangan di kawasan bukit adalah perkara biasa, terutama ketika monsun di wilayah itu, di mana tahun lalu, tanah runtuh meragut nyawa hampir 300 pelombong.
"Ketika rakyat Myanmar mempertaruhkan nyawa menentang rejim tentera, keutamaan bagi masyarakat antarabangsa sekarang ialah menamatkan rampasan kuasa dan mengembalikan pemerintahan demokratik.
"Untuk mencapai matlamat ini, langkah paling penting ialah menyekat sumber kewangan tentera dengan melakukan sekatan bersasar terhadap kepentingan ekonomi mereka, termasuk sektor perlombongan jed," katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan