KOTA BHARU: Seorang warga emas berusia 120 tahun lengkap menerima dua dos suntikan vaksin secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Wanita berkenaan, Siti Liah Mamat dipercayai wanita tertua di Kelantan dan individu yang dikenal pasti memenuhi kriteria menjadi antara 84 orang penerima suntikan vaksin di SPPV HUSM.
Siti Liah berkata, dia bersyukur kerana sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dan menasihatkan sesiapa yang ditawarkan vaksin supaya mengambilnya untuk perlindungan diri.
"Jika saya yang sudah berusia lebih satu abad ini tidak mempunyai kesan sampingan selepas mengambil suntikan vaksin, mengapa golongan warga emas lain perlu takut dan percaya kepada perkara tidak sahih.
"Saya berterima kasih kepada HUSM di atas kerjasama diberikan dan proses suntikan dos kedua yang dilakukan secara pandu lalu ini amat cepat," katanya kepada media ketika ditemui di SSPV HUSM, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Siti Liah masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun sudah berusia melebihi satu abad, selain memiliki pendengaran baik dan daya penglihatan masih jelas tanpa perlu berkaca mata.
Amalan bersedekah dan minum air putih antara rahsia dikongsi ibu kepada 12 anak, 48 cucu serta 44 cicit apabila ramai bertanya petua penjagaan diri walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.
Anaknya, Manura Mohd Idris, 71, pula berkata selepas ibunya menerima suntikan vaksin pertama pada 9 Jun lalu, dia tidak mengalami kesan sampingan, malah berasa lebih sihat.
"Ketika menerima suntikan dos kedua hari ini, ibu kelihatan bersemangat dan memberitahu berada dalam keadaan baik selepas disuntik ketika di bawah pengawasan selepas menerima suntikan.
"Malah malam tadi, ibu tidur lewat daripada kebiasaannya kerana teruja untuk melengkapkan dos suntikan vaksin," katanya.
Sementara itu, Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, HUSM menjadi pelopor PICK menerusi kaedah pandu lalu yang lebih cepat dan memudahkan.
"Apabila melihat kelancaran projek percubaan dalam pelaksanaan suntikan vaksin secara pandu lalu pada fasa pertama, SPPV HUSM meneruskan kaedah ini pada fasa kedua secara selektif melalui janji temu khusus untuk penerima vaksin yang berkeperluan saja.
"Antara kriteria ditetapkan ialah penerima suntikan dos kedua saja dan secara janji temu dengan urus setia PPV, penerima suntikan yang berisiko masuk ke kawasan PPV seperti kakitangan baru kembali menjalankan tugas di luar Kelantan, luar daerah atau kawasan berisiko tinggi serta penerima suntikan dos kedua yang mempunyai gejala COVID-19.
"Pada masa sama, seseorang penerima vaksin juga disaran melengkapkan suntikan kedua-dua dos dalam tempoh ditetapkan dan Jawatankuasa PICK peringkat HUSM sudah merancang serta melaksanakan pemberian suntikan vaksin secara pandu lalu sebagai kaedah pilihan dan selektif kepada penerima yang memenuhi kriteria tertentu saja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan