KUALA LUMPUR: Malaysia dijadualkan menerima dua juta dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca yang disumbang kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat (AS) pada esok dan lusa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak satu juta dos vaksin AstraZeneca daripada kerajaan Jepun akan tiba esok, dan satu juta dos vaksin keluaran Pfizer sumbangan kerajaan AS akan tiba pada Jumaat.
Katanya, Malaysia amat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan vaksin dari kedua-dua negara, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Jepun dan AS terhadap negara ini.
"Ia juga menunjukkan kepercayaan mereka kepada negara kita dalam usaha memerangi wabak COVID-19, dan menyokong program imunisasi global bagi membendung penularan wabak ini.
"Bekalan vaksin ini dapat memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan membantu Malaysia mencapai nilai ambang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Semua vaksin diperoleh ini akan diedar segera ke fasiliti dan pusat simpanan vaksin di seluruh negara untuk kegunaan PICK dalam masa terdekat," katanya pada sidang media mingguan secara maya, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK memaklumkan, lebih 9.38 juta dos vaksin diagihkan ke seluruh negara setakat ini.
"Jumlah itu merangkumi 4.53 juta dos vaksin Pfizer, 4.03 juta dos vaksin Sinovac dan 825,700 dos vaksin AstraZeneca," katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, kapasiti pemberian vaksin menunjukkan peningkatan konsisten dari minggu ke minggu, dengan rekod pemberian vaksin harian tertinggi dicatatkan pada 24 Jun lalu membabitkan 268,604 dos sehari.
"Purata pemberian suntikan vaksin sepanjang minggu lalu antara 21 hingga 27 Jun juga meningkat 19 peratus berbanding minggu sebelumnya (14-20 Jun).
"Sejurus ketibaan lebih banyak bekalan nanti, kita akan terus menyasarkan kepada penanda aras baharu yang lebih tinggi selari dengan sasaran Pelan Pemulihan Negara untuk mencapai imuniti yang luas secepat mungkin," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan