22 Julai 2021

Ikhlas dan jangan bermuka-muka



Perahabatan dalam Islam memiliki adab dan akhlak yang telah digariskan sesuai dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. Antara akhlak yang perlu ada dalam persahabatan ialah sifat ikhlas dan tidak bermuka-muka.

Persahabatan yang dibina atas keikhlasan akan kekal lama dan mengikat persahabatan itu dalam tempoh yang lama. Sebaliknya sifat bermuka-muka adalah pemusnah kepada persahabatan yang akan terputus ditengah jalan. Orang yang bermuka-muka akan sentiasa menjadi pelakon yang selalu mereka cipta sesuatu demi menghalalkan tindakannya.

Dalam Islam sikap bermuka-muka amat buruk dan keji. Sabda Rasulullah SAW bermuksud: “Kalian mendapati bahawa orang yang paling buruk di antara manusia adalah orang yang bermuka dua, datang kepada satu golongan dengan satu muka dan pada golongan yang lain dengan muka yang lain.” (Hadis riwayat Ahmad No: 7039)

Menurut Imam Al-Qurthubi: Sesungguhnya yang menyebabkan orang yang bermuka-muka ini menjadi buruk adalah kerana keadaannya seperti orang munafik. Dia mudah melakukan perbuatan buruk dan dusta. Dia gembira melihat orang lain bermusuhan.”

Orang yang bermuka-muka adalah orang yang menyembunyikan apa yang ada di dalam hatinya ketika bertemu dengan seseorang atau sekelompok orang yang dia musuhi dengan mengatakan perkataan atau sikap yang berbeda dengan apa yang disimpan dalam hatinya.

Manakala Imam An-Nawawi menjelaskan: Orang yang bermuka-muka adalah orang yang datang kepada satu kelompok dengan menampakkan seolah-olah dirinya berada di pihak mereka dengan memburukkan kelompok lain. Tetapi dalam waktu yang sama, dia juga datang kepada kelompok lain dan melakukan hal yang serupa (oportunis).

Marilah kita berdoa semoga Allah jadikan orang yang ikhlas dalam persahabatan dan  jauhkan diri kita menjadi orang yang suka bermuka-muka.

Tiada ulasan: