22 Julai 2021

Solat Jumaat 12 jemaah : Dari mana asasnya ?


Oleh :
Dr. Nik Rahim Nik Wajis

Terdapat sedikit kekecohan di medan media sosial apabila ada beberapa negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak mula membenarkan solat Jumaat diadakan kembali setelah beberapa minggu tidak dibenarkan akibat penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.

Isu yang dibincangkan bukan hanya berkisar tentang kebenaran untuk kembali mendirikan solat Jumaat yang merupakan syiar Islam yang dihidupkan saban minggu, tetapi kepada jumlah ahli jemaah yang dibenarkan menghadiri solat Jumaat yang bakal diadakan. Persoalan yang hangat diperdebatkan ialah tentang jumlah jemaah yang dibenarkan hadir iaitu seramai 12 orang sahaja.

Jangan taasub

Suasana ini timbul disebabkan ia norma baru yang tidak pernah dihadapi oleh penduduk Malaysia yang beragama Islam. Sejak sekian lama rata-rata umat Islam berpegang kepada mazhab Syafie yang menjadikan jumlah 40 orang sebagai syarat sahnya solat Jumaat. Penulis masih teringat suatu ketika dahulu semasa di kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang tuan imam terpaksa mengira jumlah ahli jemaah sebelum memulakan solat Jumaat bagi memastikan jumlahnya mencukupi 40 orang. Ada kalanya, solat Jumaat terpaksa ditukar kepada solat zuhur kerana jumlah jemaah tidak mencukupi 40 orang.

Ia satu gambaran bahawa di Malaysia suatu ketika dulu, umat Islam sangat patuh kepada mazhab Syafie. Namun itu semua mungkin sudah tinggal sejarah. Kini umat Islam sudah semakin terdedah kepada pelbagai maklumat dan informasi dan ini menjadikan mereka lebih terbuka dan tidak terlalu ‘taasub’ kepada mazhab. Tidak ‘taasub’ mazhab bukan bermaksud mereka tidak lagi berpegang kepada mazhab Syafie, tetapi mereka boleh memahami jika terdapat perbezaan pandangan serta amalan yang dilakukan oleh pengamal mazhab yang lain daripada mazhab-mazhab yang diiktiraf di Malaysia.

Asas 12 jemaah

Solat Jumaat dengan 12 jemaah sebenarnya ada asasnya namun ia bukan daripada pandangan Imam Syafie. Menurut mazhab Syafie jumlah minimum bagi solat Jumaat ialah 40 orang. Hujah ini berdasarkan kepada satu hadis dari Ka’ab bin Malik yang dikatakan sering memuji Sa’d bin Zurarah ketika azan dikumandangkan. Lalu beliau ditanya: “Mengapa engkau selalu memuji Sa’d bin Zurarah ketika mendengar azan?” Ka’ab lalu menjelaskan bahawa: "Sa’ad bin Zurarah adalah orang pertama yang mengumpulkan kami untuk mendirikan solat Jumaat." Lalu beliau ditanya:

Berapa ramaikah bilangan kamu ketika itu? Ka’ab lalu menjawab: "40 orang.” (HR Abu Daud)

Di sisi mazhab Maliki pula jumlah yang wajib hadir bagi solat Jumaat ialah 12 orang tidak termasuk imam. Mereka berhujah dengan sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah yang menceritakan bagaimana ketika Rasulullah SAW sedang menyampaikan khutbah, tiba-tiba datang kafilah dagangan dari luar ke Madinah yang menyebabkan ramai sahabat meninggalkan Nabi yang sedang berkhutbah. Kata Jabir: “Lalu mereka (jemaah solat) berpaling (untuk pergi) ke kafilah dagangan tersebut sehinggakan yang tinggal bersama dengan Rasulullah hanyalah 12 orang sahaja.” (HR al-Bukhari)

Harus bertalfiq

Jadi berdasarkan kepada pandangan ini, jelaslah bahawa pandangan mazhab Maliki telah diambil sebagai sandaran kepada jumlah jemaah yang dibenarkan untuk solat Jumaat iaitu seramai 12 orang. Pengambilan mazhab lain yang bukan mazhab yang menjadi pegangan seseorang dipanggil talfiq. Sebagai contoh seseorang mengambil wuduk ikut cara Mazhab Hanafi tetapi solat pula mengikut cara mazhab Syafie.

Menurut pandangan ulamak, talfiq dalam bentuk sebegini adalah diharuskan kerana kedua-dua amalan iaitu wuduk dan solat telah sempurna dilakukan menurut mazhab tertentu. Adapun talfiq yang tidak dibenarkan ialah talfiq dalam kes yang melibatkan perkahwinan. Sebagai contoh seseorang berkahwin tidak menggunakan wali kerana menurut mazhab Hanafi, wanita boleh mengahwinkan dirinya sendiri tanpa wali. Saksi juga tidak diperlukan berdasarkan kepada mazhab Maliki. Jadi yang tinggal cuma, lelaki dan wanita yang hendak berkahwin.

Talfiq jenis ini diharamkan kerana ia boleh membawa kepada perzinaan kerana setiap kali pasangan yang ditangkap atas kesalahan khalwat sebagai contoh boleh menggunakan alasan berkahwin menggunakan kaedah talfiq ini bagi melepaskan diri daripada didakwa atas kesalahan ini.

Talfiq sebenar telah diamalkan oleh masyarakat Islam sama ada disedari atau tidak. Sebagai contoh zakat fitrah. Membayar zakat fitrah dengan wang sebenarnya tidak dibolehkan (tidak sah) menurut Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali. Membayar zakat fitrah dalam bentuk wang hanya dibenarkan menurut Mazhab Hanafi dan ini telah pun diamalkan sejak sekian lama tanpa sebarang pertikaian.

Jadi tidak timbul masalah untuk ikut mazhab lain atau talfiq khususnya dalam keadaan tertentu yang dianggap terdapat keperluan mendesak seperti situasi yang kita hadapi hari ini.

Dr Nik Rahim Nik Wajis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan: