09 Julai 2021

Ismail Sabri mula tugas TPM

 

Ismail Sabri memulakan tugasan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra dengan mengimbas kad perakam waktu kira-kira 10 pagi.

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat memasuki Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra, di sini bagi memulakan tugasnya sebagai pemimpin nombor dua dalam pentadbiran kerajaan.

Bersut serba biru, ketibaan Ismail Sabri di pekarangan Kompleks Perdana Putra pada jam 10 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Rabu lalu selain dikekalkan memegang portfolio Menteri Kanan Pertahanan.

Ismail Sabri mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya di Aras 4 dan kemudian menandatangani Buku Selamat Datang, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad.

Beliau kemudiannya menghadiri Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Putra menempatkan pejabat-pejabat utama dalam pentadbiran negara seperti Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Menerusi laman Facebook beliau, Ismail Sabri melahirkan rasa syukur atas pelantikan tersebut dan menyifatkan jawatan yang disandang itu sebagai amanah yang lebih besar.

“Pada hari Jumaat yang penuh barakah, saya memulakan tugas dengan menggalas amanah yang lebih besar demi rakyat Malaysia dan negara yang saya cintai. Insya-ALLAH, saya akan melakukan yang terbaik,” kata Ahli Parlimen Bera dan Naib Presiden UMNO itu. - Bernama


Tiada ulasan: