08 Julai 2021

Kerajaan yang ada kekal mentadbir

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan yang ada sekarang masih kekal berkuasa kerana pada masa ini tiada pengesahan mengenai penarikan sokongan daripada UMNO.

Pakar perlembagaan, Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata jika semua ahli Parlimen dan UMNO menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) barulah kerajaan yang sedia ada terbubar.

"Pada masa ini, apa yang dikatakan UMNO mengenai menarik sokongan itu adalah kenyataan politik semata-mata.

"Kerajaan sekarang masih kekal berkuasa dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah jawatan," katanya mengulas mengenai kedudukan kerajaan dengan pengumuman penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Abdul Halim menjelaskan hingga kini, UMNO tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada semua Menteri dari UMNO untuk meletakkan jawatan.

Satu perkara lagi, katanya perlu diingat pada masa ini darurat masih belum dibubarkan.

Darurat diisytiharkan pada 12 Januari lalu, selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia. BH/-

Tiada ulasan: