29 Ogos 2021

69 menteri, timbalan menteri angkat sumpah di Istana Negara petang esok

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu dijadual bermula jam 2.30 petang esok di Istana Negara.

KUALA LUMPUR: Seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah di Istana Negara esok.

Turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

 Selain itu, istiadat dijadual bermula jam 2.30 petang itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Kesemua mereka diumum sebagai ahli pentadbiran negara oleh Ismail Sabri Jumaat lepas, tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Agong 20 Ogos lepas.

Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Menamakannya ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’, Perdana Menteri berkata senarai ahli pentadbiran baharu itu merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan ‘Keluarga Malaysia’. FMT/-

Tiada ulasan: