17 Ogos 2021

BN sebulat suara pilih Ismail Sabri calon PM

 

Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara memilih Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman selepas menghadiri mesyuarat bersama 42 Ahli Parlimen BN.

“Yes (Ismail),”kata Tajuddin kepada media.

Tajuddin berkata Ismail akan turut memperolehi sokongan kuat daripada Ahli Parlimen Bersatu dan PAS untuk membolehkannya memperolehi majoriti mudah 111 kerusi di Dewan Rakyat.

Pencalonan Ismail sebagai Perdana Menteri baharu oleh BN turut disahkan oleh Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman yang berkata Ismail memiliki beberapa kelebihan untuk memperolehi keyakinan Ahli Parlimen BN, termasuk 38 daripada Umno sendiri.

Ismail dilantik Timbalan Perdana Menteri pada Julai lalu sebelum menjadi menteri kanan dalam kabinet Muhyiddin Yassin yang berundur daripada jawatan tertinggi itu setelah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Azalina mengesahkan MKT Umno malam ini memberikan kebebasan kepada Ahli Parlimen BN mencalonkan sesiapa dalam kalangan mereka untuk menggantikan Muhyiddin, dalam surat akuan mereka yang perlu dihantar ke Istana Negara esok.

“Bagaimanapun Ahli Parlimen BN memutuskan untuk menyokong satu nama sahaja (Ismail), kata Azalina.

“Kami diberikan taklimat tadi bahawa (calon) BN akan memperolehi sokongan daripada rakan politik lain untuk memperolehi sokongan majoriti mudah 111 kerusi di Dewan Rakyat,” kata beliau.

Terdahulu, semua Ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9 kepada Istana Negara

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang 18 Ogos untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis.

FMT/-

Tiada ulasan: