31 Ogos 2021

Hadiri kenduri, sekampung dijangkiti COVID-19

 Datuk Masidi Manjun. - Fail NSTP

Datuk Masidi Manjun. - Fail NSTP

KOTA KINABALU: Seorang wanita bergejala menyebabkan hampir sekampung penduduk terdedah kepada jangkitan COVID-19 berikutan tindakannya menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga di Kampung Nasakot, Ranau baru-baru ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata wanita berumur 40 tahun itu yang menjadi kes indeks Kluster Nasakot dilaporkan di Sabah hari ini, mengalami gejala demam, selesema dan hilang deria rasa serta bau sejak 12 Ogos lalu.

Walaupun bergejala, katanya, wanita terbabit masih menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga selama tujuh hari berturut-turut sejak 14 Ogos lalu di Kampung Nasakot, Ranau.

"Kluster Nasakot adalah kluster jenis komuniti di Kampung Nasakot, Ranau.

"Kes indeks adalah wanita berumur 40 tahun yang dikesan positif COVID-19 ketika menjalani saringan prakemasukan ke wad untuk membawa anak menghidap talassemia di Hospital Ranau pada 20 Ogos lalu.

"Siasatan awal mendapati, kes indeks terlebih dahulu membawa anaknya untuk pemindahan darah di Hospital Ranau pada 3 Ogos lalu dan saringan kemasukan ke wad adalah negatif.

Oleh itu, mereka dibenarkan keluar pada 5 Ogos dan hanya berada di rumah sejak 6 Ogos.

"Pada 12 Ogos, kes indeks dilaporkan mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau. Tidak endah dengan simptom itu, kes indeks menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga pada 14 Ogos yang berlanjutan tujuh hari bersama-sama hampir keseluruhan penduduk Kampung Nasakot," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan kontak rapat pada 21 hingga 23 Ogos mengesan empat kontak rapat yang menjadi sub-indeks bagi kes seterusnya.

"Perkumpulan beramai-ramai ketika majlis pengebumian itu mencetus penularan wabak dalam komuniti Kampung Nasakot dan Kampung Tanid di Mukim Malinsau, Ranau.

"Daripada 95 kontak yang disaring, seramai 31 individu dikesan positif termasuk dua kes baharu hari ini," katanya.

Sementara itu, katanya, satu lagi kluster direkodkan hari ini, iaitu Kluster Sawit Jeroco di mukim Segama, Lahad Datu berkaitan jangkitan di tempat kerja di sebuah kilang kelapa sawit.

Masidi berkata, kes indeks adalah pekerja kilang iaitu lelaki berumur 27 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 26 Ogos lalu selepas bergejala sehari sebelumnya.

"Pihak pengurusan kilang dan klinik panel melakukan saringan kontak dan bersasar mulai 26 hingga 28 Ogos membabitkan 215 kontak sebelum mengesan 57 individu positif termasuk 25 kes baharu hari ini.

"Seramai 194 individu lagi didapati negatif saringan pertama. Semua kes positif COVID-19 sudah dirujuk ke CAC Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan. Kontak rapat pula sudah diarah menjalani kuarantin di ladang.

"Kebanyakan kes adalah dalam kalangan bukan warga negara yang masih belum menerima vaksin. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Sabah hari ini merekodkan 2,594 kes, meningkat 284 kes berbanding 2,310 kes semalam, manakala 15 kematian direkodkan iaitu lima kes di Kota Kinabalu, empat kes di Penampang dan masing-masing satu kes di Lahad Datu, Tawau, Beaufort, Beluran, Tenom dan Tuaran.

BH/-

Tiada ulasan: