01 September 2021

5 'Inisiatif Mantap' keluarkan Keluarga Malaysia dari kesan pandemik


KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggariskan lima strategi dikenali sebagai ‘Inisiatif Mantap’ yang memberi fokus dalam pelaksanaan dasar dan program ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Menterinya Idris Ahmad berkata, inisiatif itu selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa fokus utama kerajaan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

“Inisiatif itu adalah Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani; Pemantapan Sistem Pendidikan Islam; Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam; Pemantapan Institusi Masjid dan Surau serta Pemantapan Sosioekonomi Ummah.

“Bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan program dan aktiviti agensi agama dapat dilaksanakan secara berkesan, kami sepakat untuk turut menyelami jiwa dan perasaan seluruh lapisan Keluarga Malaysia. Dengan itu, saya telah mencadangkan tema pentadbiran hal ehwal Islam kini iaitu bertemakan ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) pada Rabu.

Idris berkata, bagi Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani, antara penekanan yang akan diberikan termasuk membina kembali kekuatan mental, jasmani serta rohani melalui pelbagai pendekatan seperti program ‘outreach’ ke seluruh negara bagi menyantuni Keluarga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, bagi inisiatif Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, pihaknya berazam untuk memastikan mekanisme pengajaran dan pembelajaran kurikulum pendidikan seperti Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain, pendidikan Sekolah Menengah Agama Rakyat dan negeri, pendidikan tahfiz dan pondok dibuat kajian seterusnya cadangan penyesuaian semula mengikut norma baharu pendidikan masa kini.

“Bagi inisiatif Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam pula, sebuah jawatankuasa bersepadu di peringkat persekutuan akan dicadangkan bagi menyelaras isu kekeluargaan, sosial dan komuniti ke arah membawa Keluarga Malaysia keluar daripada tekanan pandemik COVID-19. Seramai 4,000 guru Takmir di bawah Jakim di seluruh negara akan dimanfaat untuk menyantuni perkara ini.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: