11 September 2021

COVID-19: Lembah Klang bangkit dengan penurunan kes

 Lembah Klang telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa, semalam. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Lembah Klang telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa, semalam. - Foto NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama mendominasi kedudukan teratas senarai kes harian baharu COVID-19, Lembah Klang mula bangkit dengan penurunan kes sehingga membolehkan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa, semalam.

Paling ketara ialah negeri Selangor yang sekian lama menduduki tempat teratas dengan angka kes memuncak melebihi 8,000 kes pada awal Ogos 2021.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WP Kuala Lumpur) yang sebelum ini di tempat kedua teratas dengan kes empat angka turut menunjukkan kes harian baharu yang semakin berkurangan, kepada tiga angka.

Hari ini, Selangor mencatat sebanyak 3,595 kes iaitu di tempat kedua selepas Sarawak yang melaporkan sebanyak 3,734 kes.

Untuk rekod, Sarawak mula mengatasi Selangor dari jumlah kes harian baharu sejak 6 September (3,714 kes) diikuti pada 7 September (3,200 kes), 8 September (3,100 kes) dan 9 September (3,118 kes).

WP Kuala Lumpur yang mencatat kes tiga angka sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (4 September hingga 9 September 2021), hari ini di tangga 12 dengan 467 kes.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pada Rabu (8 September), kerajaan bersetuju membenarkan Lembah Klang beralih ke Fasa 2 PPN berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain Selangor dan WPKL, keputusan berkenaan juga membabitkan Wilayah Persekutuan Putrajaya (WP Putrajaya) yang hari ini mencatat sebanyak 21 kes.

Sementara itu, sehingga jam 12 tengah hari semalam, KKM melaporkan sebanyak 21,176 lagi kes baharu COVID-19, menjadikan kumulatif kes sebanyak 1,940,950.

Kes aktif COVID-19 dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 242,161 kes.

Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh mengatasi kes harian baharu sejak awal bulan September ini dan hari ini, sekali lagi angka kes sembuh (21,476 kes) mengatasi angka kes harian baharu (21,176 kes).

Rekod kes harian baharu sepanjang Rangkuman Mingguan ini seperti berikut:-

4 September (19,057 kes); 5 September ( 20,396 kes), 6 September (17,352 kes), 7 September (18,547 kes), 8 September (19,733 kes), 9 September (19,307 kes) dan 10 September (21,176 kes).

Bagaimanapun, angka kes kematian masih tinggi dan hari ini sebanyak 341 lagi kes kematian dilaporkan, menjadikan kes kumulatif kematian meningkat kepada 19,827 kes (1.0 peratus).

Sebanyak 935 kes pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sebanyak 455 kes daripadanya memerlukan prosedur intubasi/bantuan pernafasan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 21,176 kes harian baharu, sebanyak 338 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5. Sebanyak 20,838 kes lagi (98.4 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit COVID-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5.

Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Dalam kenyataan akhbarnya hari ini, Dr Noor Hisham turut melaporkan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 1,324 kes.

Daripada jumlah itu, 1,304 kes adalah VOC (1,081 kes daripadanya adalah varian Delta) manakala 20 kes adalah VOI.

Kadar kebolehjangkitan (Ro/Rt) COVID-19 dalam negara juga dilaporkan menurun di bawah kadar 1.0, pertama kali sejak 27 Jun 2021 (0.99).

Dr Noor Hisham dalam paparan di Facebook peribadinya berkongsi kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt untuk sepanjang Rangkuman Mingguan ini seperti berikut:-

4 September (0.95), 5 September (0.96), 6 September (0.96), 7 September (0.96), 8 September (0.97), 9 September (0.97) dan 10 September (0.99).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 9 September adalah Sarawak 1.15, Terengganu 1.10 dan Perlis 1.06R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan.

Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sehingga semalam, Malaysia mempunyai sebanyak 37 kluster aktif. Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 5,059 kluster di kesan di negara ini dan 3,604 daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama ini, berdasarkan laporan KKM, terdapat sebanyak 221 kluster baharu dan yang terbanyak, kluster tempat kerja, 137 kluster (62.0 peratus) dan kluster komuniti sebanyak 62 kluster (28.1 peratus).

Sementara itu, daripada 21,176 kes harian baharu, sebanyak lapan negeri mencatat kes harian baharu empat angka, lima negeri tiga angka, dua negeri mencatat dua angka dan sebuah negeri dengan satu angka.

Senarai negeri adalah seperti berikut:

Kes harian baharu empat angka - Sarawak 3,734 kes, Selangor 3,595 kes, Johor 2,297 kes, Sabah 2,246 kes, Pulau Pinang 1,939 kes, Kedah 1,808 kes, Perak 1,366 kes dan Kelantan 1,254 kes.

Kes harian baharu tiga angka - Pahang 853 kes, Terengganu 776 kes, Melaka 485 kes, WP Kuala Lumpur 467 kes dan Negeri Sembilan 252 kes.

Kes harian baharu dua angka - Perlis 77 kes dan WP Putrajaya 21 kes. Kes harian baharu satu angka - WP Labuan 6 kes.

– BERNAMA


Tiada ulasan: