11 September 2021

Ronaldo jadi tumpuan aksi EPL minggu ini

  Wajah Cristiano Ronaldo kini turut menghiasi kain rentang gergasi yang dipasang di luar Stadium Old Trafford, Manchester. - Foto AFP.

Wajah Cristiano Ronaldo kini turut menghiasi kain rentang gergasi yang dipasang di luar Stadium Old Trafford, Manchester. - Foto AFP.

KOLUM APA KATA EPL

Kehangatan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali lagi selepas berehat dua minggu. Dan bagi perlawanan keempat minggu ini, tumpuan pastinya terarah kepada Cristiano Ronaldo yang kembali ke pangkuan Manchester United selepas 12 tahun berkelana.

Seperti Lionel Messi yang menyertai Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ini, keputusan Ronaldo kembali ke Old Trafford pada penghujung Ogos lalu, pantas mencuri tumpuan. Kepulangannya ke pangkuan gergasi EPL itu jelas mencipta sensasi bola sepak dunia.

Kapten Portugal ini menyertai Red Devils dari Sporting Lisbon ketika usia 18 tahun pada 2003 hingga 2009 dengan penampilan sebanyak 196 kali, sebelum ke Real Madrid pada 2009 hingga 2018 (292 penampilan) dan Juventus (2018-2021) membabitkan 98 penampilan.

Pada usia 36 tahun ketika ini, dia sudah merangkul 32 trofi kejuaraan selain lima kali dinobat pemain terbaik dunia atau Ballon d'Or. Bersama United sebelum ini, kejuaraan pertama diraihnya adalah Piala FA, selain tiga EPL, Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab dan anugerah Ballon di Or.

Ronaldo kembali bersama United manakala Messi tabur bakti bersama pasukan PSG.
Ronaldo kembali bersama United manakala Messi tabur bakti bersama pasukan PSG.

Adakah bintang kesayangan jurulatih legenda, Alex Ferguson ini mampu terus merangkul lebih banyak kejuaraan bersama United selepas mengikat kontrak selama dua tahun dan pilihan setahun tambahan? Kita tunggu dan lihat.

Penyokong United sudah tidak sabar melihat kelibat bintang terbaik dunia ini beraksi dan mengharapkan dia akan diturunkan dalam kesebelasan utama apabila menyambut kunjungan Newcastled United di Old Trafford, jam 10 malam ini.

Beberapa hari lalu, media melaporkan dia dijangka diletakkan di bangku simpanan malam ini dan hanya akan diturunkan apabila United menentang kelab Young Boys dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini. Apakah percaturan Ole Gunnar Solskjaer seperti itu?

Dalam pada itu, pendahulu liga, Tottenham Hotspur kekal menjadi pasukan tunggal memenangi semua aksi setakat ini, sekali gus mengumpul sembilan mata maksimun. Skuad Nuno Espirito Santo dijangka mampu mengutip tiga mata lagi apabila turun berdepan Crystal Palace malam ini.

West Ham bersama Chelsea, Liverpool, Everton dan United turut mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menghimpun tujuh mata selepas mencatat satu keputusan seri. West Ham akan berdepan Southampton dan dijangka mampu mengutip mata penuh lagi.

Pencabar utama kejuaraan liga, Chelsea dan Liverpool masing-masing menentang Aston Villa dan Leeds, dengan kedua-duanya menjadi pilihan untuk menang manakala Manchester City berdepan cabaran sengit Leicester.

Pasukan tercorot, Arsenal yang tewas semua tiga aksi sebelum ini dijangka mampu bangkit apabila bertemu Norwich di laman lawannya itu malam ini. Seperti The Gunners, Norwich juga tewas semua aksi dan kini menduduki tangga kedua tercorot. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

C Palace 0-1 Tottenham
Watford 0-1 Wolves
Brentford 2-1 Brighton
Arsenal 2-1 Norwich
Man United 3-0 Newcastle
Southampton 1-3 West Ham
Leicester 1-3 Man City
Chelsea 2-0 Aston Villa 12.30 tgh mlm
Leeds 1-2 Liverpool 11.30 mlm
Everton 1-1 Burnley 3 pg

BH/-

Tiada ulasan: