14 September 2021

Demi murid, guru akhirnya setuju divaksin

 GAMBAR HIASAN. FOTO NSTP

GAMBAR HIASAN. FOTO NSTP

KUALA TERENGGANU: Seorang guru wanita yang sebelum ini menolak untuk divaksin kerana terpengaruh dengan pelbagai maklumat salah, akhirnya bersetuju menerima suntikan vaksin COVID-19.

Guru yang mahu dikenali sebagai Jamilah, berusia 50-an itu berkata, demi nyawanya serta masyarakat sekeliling, beliau nekad mengambil suntikan berkenaan bagi mengelak berlaku jangkitan COVID-19.

Katanya, selepas menerima dos suntikan kedua pada 2 Ogos lalu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, beliau kini lebih berkeyakinan menjalani kehidupan harian.

"Sejujurnya pada mulanya saya keberatan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 sebab pelbagai maklumat negatif yang saya terima, maka perasaan takut dan berdebar itu sentiasa menghantui saya.

"Ditambah pula suami saya tidak mengizinkan untuk menerima suntikan berkenaan kerana bimbang apa-apa akan berlaku terhadap saya, maka kami mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dulu," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata lebih 100 guru di Terengganu menolak untuk menerima suntikan vaksin atas pelbagai sebab.

Sementara itu, Jamilah berkata, sebelum bersetuju untuk disuntik, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menghubunginya dua kali sambil memujuk, namun ketika itu beliau tetap dengan pendirian menolak menerima suntikan vaksin.

"Bagaimanapun demi anak murid saya selain mahu sentiasa menunaikan solat di masjid dan dibenarkan merentas negeri, saya menggagahkan diri bersetuju untuk menerima suntikan itu.

"Sekarang saya begitu lega dan lebih yakin selain bersyukur kerana tidak ada sebarang perkara tidak diingini berlaku walaupun saya menghidap penyakit kencing manis," kata guru sekolah rendah itu.

Sehubungan itu, beliau yang mengajar mata pelajaran Matematik menasihati rakan guru yang menolak vaksin supaya berubah fikiran dan menerima suntikan vaksin demi kebaikan semua pihak terutama keluarga dan murid.

"Saya bukan guru kaunseling, tapi nasihat saya sebagai kakak, guru yang enggan menerima suntikan vaksin perlu fikir banyak kali sebelum menolak, demi anak murid dan juga masyarakat sekeliling.

"Tambahan pula pengajaran secara bersemuka bakal bermula tidak lama lagi, kita kena fikir semua itu," katanya.

Beliau meletakkan harapan yang tinggi supaya warga guru yang menolak menerima suntikan itu dapat mempertimbangkan semula keputusan mereka demi kebaikan semua pihak.

BH/-

Tiada ulasan: