14 September 2021

Tumpuan perbahasan usul Titah Diraja, pemilihan Timbalan Speaker

Bangunan Parlimen. -Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Bangunan Parlimen. -Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR : Usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja dijadual memenuhi sesi persidangan Dewan Rakyat pada hari kedua hari ini, sehingga 21 September depan.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat seperti disiarkan di laman web rasmi Parlimen, sesi perbahasan bagi usul itu akan bermula selepas sesi pertanyaan menteri dan jawab lisan, yang dijadual bermula jam 10 pagi.

Tumpuan hari ini, sudah pasti terarah kepada usul untuk memilih seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, yang akan berlangsung sebaik selesai sesi pertanyaan menteri dan jawab lisan.

Undian dijangka diadakan bagi memilih seorang calon Ahli Parlimen berikutan terdapat dua calon dinamakan sebelum ini oleh blok kerajaan dan pembangkang.

Blok kerajaan mempertaruhkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sementara Pakatan Harapan (PH) pula menamakan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Pemilihan seorang lagi jawatan itu diperlukan berikutan peletakan jawatan penyandang asal, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selepas usul memilih Timbalan Speaker selesai, Menteri Dalam Negeri dijadual membentangkan usul berkaitan keselamatan persidangan Parlimen, usul biasa dibentang setiap kali pembukaan sidang Parlimen.

Kemudian, Ahli Parimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun akan membentang usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi membolehkan Ahli Parlimen memulakan sesi perbahasan Titah Diraja mereka.

Pada sesi jawab lisan hari ini juga, beberapa persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri antara lain berkaitan pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Soalan lain ditanya kepada Perdana Menteri, dibangkitkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyentuh berkaitan langkah yang diambil kerajaan dan penjelasan berkenaan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.

Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September, disusuli sesi pembahasan yang bermula 28 September hingga 4 Oktober.

Mesyuarat pertama bagi tahun ini juga dijadual berakhir pada minggu kelima dengan urusan majlis berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) dan urusan lain kerajaan pada 11 dan 12 Oktober depan.

BH/-


Tiada ulasan: