02 September 2021

Melaka, Negeri Sembilan beralih fasa PPN Sabtu ini

 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini membuat keputusan, Melaka akan beralih kepada Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Sabtu ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, mulai tarikh sama juga, Negeri Sembilan akan beralih memasuki Fasa 3 PPN.

"Sukacita dimaklumkan, mesyuarat juga bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program "gelembung perjalanan" berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

"Sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.

"Destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju agar Sidang Khas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Katanya, Jawatankuasa Khas ini bakal membabitkan wakil daripada parti pembangkang.

"Pendekatan ini adalah antara usaha kolektif untuk membabitkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

"Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara," katanya.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80% bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

Katanya, beliau percaya kadar vaksinasi 100% akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia.

"Rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

"Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata," katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021.

"Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: