13 September 2021

PARLIMEN: Agong titah semua pihak amal demokrasi musyawarah

 Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian dalam apa juga masalah.

Justeru, Al-Sultan Abdullah menyambut baik keterbukaan kerajaan yang memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen membabitkan diri dalam tadbir urus negara.

Baginda turut menghargai usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwi-partisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

"Kematangan seperti inilah yang didambakan seluruh rakyat beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi 'biduk lalu, kiambang bertaut'.

"Sesungguhnya yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua.

"Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah Keluarga Malaysia, kita dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021 di Parlimen, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua Ahli Parlimen agar mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara yang terlalu lama dibelenggu isu kesihatan dan kemurungan ekonomi.

Seri Paduka bertitah sebarang bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.

"Ratusan pucuk surat telah beta terima daripada rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

Bersempena sambutan hari Malaysia yang bakal dirai pada 16 September ini, Seri Paduka juga menyeru Ahli Parlimen dan seluruh rakyat untuk menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan persekutuan Malaysia supaya sentiasa mempunyai asas patriotisme dan semangat cintakan negara yang tinggi.

BH/-

Tiada ulasan: