10 Oktober 2021

Sindiket Forex: Polis ambil keterangan peguam, ‘Datuk Seri’ guna nama TMJ

 

Ayob Khan Mydin Pitchay meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan pelbagai komen di media sosial berkaitan kes pemalsuan dokumen pertukaran mata wang asing yang menyalahgunakan nama Tunku Mahkota Johor. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Polis telah mengambil keterangan seorang wanita didakwa “Datuk Seri” dan seorang lelaki yang merupakan peguam dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing (Forex) menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sedang mengesan tiga lagi individu yang dipercayai turut terlibat dalam siasatan terbabit, untuk diambil keterangan.

“Kita sudah ambil keterangan dua individu setakat ini dan sedang memeriksa dokumen dan akaun yang terlibat dalam kes ini.

“Orang ramai jangan terpengaruh dengan komen dalam media sosial yang bermacam-macam dakwaan berkaitan kes ini. Biar polis menjalankan siasatan yang lengkap dan selesai ambil keterangan…kalau cukup bukti kita akan tuduh,” katanya pada sidang media mengulas perkembangan kes itu.

Ditanya sekiranya kes berkenaan mempunyai unsur politik, Ayob berkata, siasatan akan dilakukan terlebih dahulu.

Dua hari lalu, Ayob dilaporkan berkata, siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan susulan laporan polis yang diterima daripada Ketua Unit Media Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor pada 7 Okt lalu.

Beliau berkata, laporan itu menyatakan seorang wanita tempatan mendakwa menerima mandat daripada Tunku Ismail untuk menjalankan urusan pertukaran mata wang USD200 bilion sehingga USD5 trilion kepada ringgit, manakala peguam terbabit pula merupakan proksi berkaitan dokumen berkenaan.

Dalam kes berlainan, Ayob berkata, pihaknya mengambil keterangan seorang lelaki kerana memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan institusi diraja Johor menerusi Twitter pada Jumaat lalu.

Katanya, keterangan lelaki berusia 42 tahun yang bekerja mengecat kenderaan secara sambilan itu diambil selepas ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor pada 9.25 malam di rumahnya di Ulu Tiram, di sini.

Beliau berkata, tangkapan itu menyusul laporan polis yang dibuat Ketua Unit Media Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor pada 2.03 petang hari sama.

Katanya, lelaki berkenaan memuat naik komen berunsur penghinaan itu menerusi akaun Twitter miliknya “zion74rey@reymizion74”.

“Kita menahan individu ini untuk diambil keterangan, lengkap kertas siasatan kita akan serah kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Ayob berkata, hasil semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan ceroboh dan khianat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

FMT/-

Tiada ulasan: