22 Disember 2021

Razarudin dilantik sebagai Timbalan KPN baharu

 

HAMZAH Zainudin (kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada  Razarudin Husain di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Kecemerlangan Datuk Razarudin Husain sepanjang 37 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) membolehkan beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu.

 Perkara tersebut diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Pelantikan ini diperakui Suruhanjaya Perkhidmatan Polis serta selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan dan kemudian menyerahkan bantuan kepada 32 petugas ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri yang terjejas akibat isu banjir.

Razaruddin, 58, dari Dengkil Selangor, bakal menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib Sabtu ini sebelum pelantikan itu bakal berkuat kuasa pada Ahad.

Pemilihan beliau sebagai penyandang ke-28 jawatan itu disebabkan kecemerlangan ketika menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman lebih setahun lalu.

“Sepanjang bertugas di situ sejak dilantik pada 9 September tahun lalu, beliau melumpuhkan dan memerangi banyak kegiatan jenayah dadah di seluruh negara,” katanya.

Kerajaan melalui kementerian itu, ujarnya, merakamkan penghargaan kepada Mazlan atas jasa dan pengorbanan beliau kepada negara dan mengucapkan tahniah kepada Razarudin.

Hamzah percaya gandingan baharu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryll Sani Abdullah Sani memantapkan lagi gerak kerja pasukan dalam memelihara ketenteraman awam.

Razarudin berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan Universiti Kebangsaan Malaysia, memulakan tugas pada 1984 sebagai Pegawai Penyiasat JSJ Polis Kedah sebelum menjadi Penolong Penguasa Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor pada 1996 lalu.

Selain itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat, Sabah sebelum kembali semula ke JSJ Bukit Aman dengan menyandang pangkat Superitenden di Operasi Khas D8.

Tamat Ijazah Sarjana, beliau dinaikkan pangkat Asisten Komisioner dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9 Bukit Aman sebelum kepada Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara.

Razarudin dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ dan kemudian menjadi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Selepas itu, beliau yang memegang pangkat Deputi Komisioner seterusnya menjadi Timbalan Ketua Polis Perak dan mengetuai negeri berkenaan dengan pangkat Komisioner Polis.

Beliau kemudian berpindah balik ke Bukit Aman dengan jawatan terakhirnya menerajui pula JSJ Narkotik tahun lalu. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: