14 Januari 2022

ADUN ditahan positif dadah

 

BUKIT MERTAJAM: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak ditahan polis selepas ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya positif dadah.

ADUN itu dilaporkan ditahan di sebuah restoran yang berlatar seolah-olah seperti kelab malam dekat Perai, di sini, kira-kira jam 9 malam tadi.

Difahamkan, restoran itu dahulunya adalah sebuah kelab malam dan kini beroperasi menggunakan lesen restoran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah mengesahkan mengenai penahanan ADUN itu.

Mustafa Kamal bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan perkara itu masih dalam siasatan polis.

"Polis mengadakan serbuan di premis itu dan melakukan ujian saringan air kencing terhadap 36 pelanggan termasuk ADUN berkenaan sebelum dia didapati positif.

"ADUN itu kini direman selama sehari dan kita akan menyelesaikan siasatan sebelum membebaskan ADUN terbabit dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelasnya, ADUN itu akan dibebaskan sementara menunggu laporan patologi siap.

"Ujian awal akan diserahkan kepada pakar patologi untuk pengesahan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: