13 Januari 2022

Sabah paling banyak bina masjid baharu

 


PUTRAJAYA: Sabah bukan sahaja negeri yang paling banyak masjid di negara ini, malah merekodkan bilangan masjid baharu tertinggi dibuka sepanjang tahun lepas.

Perangkaan terkini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disiarkan menerusi laman sesawang rasmi agensi itu semalam, menunjukkan lima masjid baharu beroperasi di Sabah.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,077 buah masjid terdapat di seluruh negeri tersebut tahun lalu berbanding 1,072 buah yang direkodkan pada 2020 dan 1,045 pada 2019.

Bilangan tersebut, menurut Jakim, membabitkan sebuah masjid yang bertaraf negeri di Kota Kinabalu, 10 buah masjid kerajaan, 21 buah masjid daerah dan baki 1,045 buah masjid kariah.

Penduduk Sabah berjumlah lebih 3.3 juta orang dengan majoriti besar 2.2 juta Muslimnya terdiri dalam kalangan etnik Bajau diikuti Melayu, Kadazan Dusun, Murut dan bumiputera lain.

Secara statistik, sebanyak 17 masjid baharu dibina di seluruh negara sepanjang tahun lepas dengan Kedah sebagai kedua tertinggi iaitu empat, diikuti Perak (tiga).

Tidak ketinggalan ialah Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang masing-masing telah menambah dua masjid baharu serta Melaka dengan sebuah premis ibadah berkenaan.

Berdasarkan perangkaan itu, Malaysia ketika ini mempunyai 6,514 buah masjid yang meliputi 19 masjid bertaraf negeri, 76 masjid kerajaan, 168 berstatus daerah dan 6,251 masjid kariah. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: