13 Januari 2022

Lebih 400 kakitangan Parlimen India positif COVID-19

 Seorang lelaki menerima suntikan vaksin COVID-19 Covishield buatan Institut Serum India, di sebuah pusat vaksinasi di New Delhi. - Foto REUTERS

Seorang lelaki menerima suntikan vaksin COVID-19 Covishield buatan Institut Serum India, di sebuah pusat vaksinasi di New Delhi. - Foto REUTERS

NEW DELHI: Lebih 400 kakitangan di Parlimen India di New Delhi diuji positif COVID-19, lapor agensi berita ANI, yang memetik seorang pegawai yang enggan dikenali.

Sampel daripada 402 individu itu dikesan positif daripada 1,409 orang yang menjalani ujian antara 4 hingga 8 Januari.

Ahli Parlimen dijadual memulakan perbincangan mengenai berkenaan belanjawan negara hujung bulan ini.

India melaporkan 241,976 kes baru COVID-19 hari ini, meningkat lebih lima kali ganda daripada 27,553 kes harian sejak 1 Januari, menjadikan jumlah kumulatif 36,312,486 jangkitan termasuk 484,740 kematian.

Virus itu terus menular pada kelajuan yang belum pernah direkodkan, dengan kebanyakannya berpunca daripada varian Omicron yang amat mudah berjangkit dan setakat ini dikesan di 27 negeri di India.

Namun, jumlah kes harian itu belum mencecah angka tertinggi direkodkan tahun lalu ketika gelombang kedua COVID-19, yang meragut ribuan nyawa setiap hari dan rumah mayat beroperasi sepanjang masa untuk membakar mangsa pandemik.

Sejak Isnin lalu, jumlah jangkitan harian melonjak lebih empat kali ganda, sekali gus mencetus kebimbangan dalam kalangan pakar bahawa hospital negara itu akan dibebani sekali lagi selain berdepan kekurangan bekalan oksigen.

Bagi mengekang penularan jangkitan, pihak berkuasa kebanyakan negeri, seperti Delhi, Uttar Pradesh, Punjab, Tamil Nadu, Bengal Barat dan Karnataka, melaksana sekatan perintah berkurung waktu malam, mengehadkan peserta perhimpunan dan menutup pusat beli-belah serta rekreasi.

India sudah mula memberi vaksin penggalak kepada golongan utama, tatkala penularan coronavirus terus berleluasa.

Pekerja kesihatan dan petugas barisan hadapan serta warga berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai pelbagai penyakit kronik layak mendapat vaksin penggalak. - AGENSI

Tiada ulasan: