MUTAKHIR ini kita menyaksikan bagaimana peranan media dalam menyebarkan berita salah laku seseorang, sebelum ia dibawa kepada penentuan badan kehakiman. Pendekatan yang dilakukan itu berkonsepkan kebebasan media yang diamalkan oleh dunia Barat yang mendukung konsep demokrasi, bahawa suara rakyat adalah suara Tuhan.
Slogan tersebut bertemakan konsep demokrasi purba yang telah diperbaharui semula sepertimana ungkapan berikut:
“Vox populi, vox Dei (the voice of the people is the voice of God).”
Apakah semua ciptaan Barat boleh diikut secara semberono, sehingga membentuk persepsi yang mencelarukan dan mewujudkan naratif yang salah serta sesat lagi menyesatkan?
Islam memuliakan manusia dengan akal dan ilmunya, namun mewajibkan mereka berpandukan hidayah (petunjuk) Allah SWT kerana manusia itu banyak kelemahannya. Hanya segelintir daripada kalangan mereka sahaja yang berilmu, sedangkan majoritinya pula tidak berilmu.
Sehinggakan, Allah SWT memberikan suatu peringatan kepada Rasulullah SAW iaitu manusia yang terpilih dengan firman-Nya:
وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ٤٩ أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ٥٠
“Dan Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk membenarkan Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka, jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah kamu mengikut kehendak hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kalian, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat (aturan) dan jalan agama. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kalian dijadikan satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kalian (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kalian. Oleh itu, berlumba-lumbalah kalian dalam membuat kebaikan. Hanya kepada Allah jualah tempat kembali kalian semuanya, maka diberitahukan-Nya kepada kalian akan apa yang kalian perselisihkan itu. (48); Dan hendaklah kamu menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menuruti kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sebahagian hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian, jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mahu menimpakan musibah ke atas mereka disebabkan sebahagian daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (49); Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang berkeyakinan; tiada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah. (50)” (Surah al-Ma’idah: 48-50)
Islam mewajibkan maruah manusia itu dihormati termasuklah mereka yang sudah nyata melakukan kesalahan kerana adalah berdosa sekiranya seseorang yang bersalah itu tidak dihormati. Lebih-lebih lagi terhadap mereka yang tidak bersalah, maka lagi besar dosanya.
Namun, masyarakat Barat yang sekular tidak mempunyai sebarang perhitungan soal dosa dan pahala. Adakah kita mahu menjadi rosak di dunia atau dihumban ke neraka di akhirat sepertimana mereka yang sesat fikirannya?
Islam meletakkan neraca keadilan dengan cara yang dipelihara melalui badan kehakiman dan sistemnya yang mengawal keadilan agar terpelihara dengan sebaik-baiknya. Pada masa yang sama, menghalang berlakunya kezaliman oleh kalangan mereka yang meremeh-temehkan proses undang-undang.
Islam menegaskan bahawa seseorang yang dituduh masih dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Maka, peranan media yang mengheret masyarakat awam supaya menghukum seseorang itu bersalah sebelum disabitkan hukuman adalah sangat besar dosanya.
Allah SWT ialah Tuhan yang Maha Adil dan wajib bagi-Nya bersifat adil, serta mustahil pula bagi-Nya bersifat zalim. Malah, Allah SWT mengharamkan zalim bagi diri-Nya sendiri sebelum diharamkan sifat itu kepada hamba-Nya khususnya yang bernama manusia. Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis qudsi:
يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا.
“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ada pada diri-Ku dan Aku jadikan haram kepada kamu melakukannya, maka jangan sekali-kali kamu berlaku zalim.” (Riwayat Muslim 2577)
Maka, Allah yang Maha Adil tidak akan menjatuhkan hukuman ke atas hamba-Nya semata-mata dengan sifat-Nya yang Maha Mengetahui sahaja, tetapi melakukan proses kehakiman-Nya pada Hari Kiamat kelak.
Allah SWT memberikan tempoh yang panjang kepada hamba-Nya untuk bertaubat ketika berada di alam dunia semasa masih hidup. Peluang itu diberikan hingga nyawa mereka sampai ke kerongkong dan matahari berpusing naik dari arah barat menandakan terlalu hampirnya kiamat besar.
Kelak, di mahkamah Allah SWT di alam akhirat pula akan dibawa catatan para malaikat yang ditugaskan mencatat amalan manusia berserta segala saksi sesama manusia dan makhluk yang lain, termasuk saksi anggota jasad manusia. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٦٥
“Pada hari ini Kami materikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)
Sekiranya begitu proses keadilan Allah SWT, maka sangatlah malang bagi negara dan masyarakat yang memberikan kebebasan kepada media. Sehingga ia boleh menjatuhkan hukuman mendahului keputusan oleh badan kehakiman yang berwibawa.
Namun, lebih malang lagi jika masyarakat yang tenggelam dalam kejahilan terdedah kepada tindakan menjatuhkan hukuman terhadap seseorang. Hal ini sebagaimana amaran yang telah diberikan oleh Allah SWT dalam al-Quran melalui firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kalian tidak menimpakan sesuatu kaum dengan musibah akibat kejahilan kalian (mengenainya). Sehingga menyebabkan kalian menyesali apa yang kalian telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)
Rasulullah SAW memberitahu secara mukjizat tentang peristiwa yang tidak berlaku pada zamannya, tetapi akan berlaku pada akhir zaman dan telah berlaku hari ini. Peristiwa tersebut ialah terdapat dalam kalangan manusia, golongan yang diseksa di alam barzakh (alam kubur).
Mereka mendapat seksaan hingga disangkut mata dan hidungnya menembusi leher dengan penyangkut besi. Keadaan itu sangat menyeksakan mereka disebabkan kerjanya sejak awal pagi hanyalah menyebarkan berita yang salah atau palsu ke seluruh pelosok dunia.
Firman Allah SWT:
الم١ ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ٢ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ٣ وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ٤ أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ٥
“Alif, Lam, Mim. (1); Kitab al-Quran ini, tiada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. (2); Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (3); Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan sebelum daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) Hari Akhirat (dengan sepenuhnya). (4); Mereka itulah kalangan yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)” (Surah al-Baqarah: 1-5)
Oleh itu, lebih parah jika manusia itu berperanan membawa pendekatan yang mengheret rakyat kepada melakukan perkara yang salah. Dalam pada itu, turut mengganggu para pemimpin dan penjawat awam yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT kepada seluruh hamba-Nya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Jumada al-Akhirah 1443 / 9 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 9/1/2022
Tiada ulasan:
Catat Ulasan