09 Januari 2022

Dua sungai di Johor melebihi paras bahaya

 Galeri Darurat Bukit Kepong dinaiki air beberapa hari lalu berikutan limpahan Sungai Muar. - Foto fail BERNAMA

Galeri Darurat Bukit Kepong dinaiki air beberapa hari lalu berikutan limpahan Sungai Muar. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Paras air dua sungai di Johor iaitu Sungai Muar dan Sungai Pagoh melebihi paras bahaya membabitkan empat kawasan, masing-masing tiga di Muar dan satu di Segamat, pagi ini.

Portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pagi ini menunjukkan paras air Sungai Muar di Liang Batu, berada pada paras 2.63 meter (m), iaitu melebihi paras bahaya 2.13 m yang ditetapkan.

Paras air Sungai Muar di Panchor, Muar pula mencatatkan bacaan 2.38 m, melebihi paras bahaya 2.13 m, manakala paras air sungai itu di kawasan Buloh Kasap, Segamat mencatatkan bacaan 9.49 m iaitu melebihi paras bahaya 9.14 m.

Bacaan paras air di Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar turut melebihi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 3.31 m, iaitu melebihi paras bahaya 2.35 m yang ditetapkan.

Menurut portal berkenaan, beberapa sungai di Johor turut dilihat sudah melebihi paras waspada dan paras amaran. Ini termasuk paras air di Empangan Bekok, Batu Pahat yang didapati sudah melebihi 0.9 m daripada paras amaran iaitu 16.5 m kepada 16.59 m.

Dalam pada itu, paras air Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat dilihat melebihi paras waspada dengan paras air 17.55 m, manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak berada pada bacaan 2.95 m iaitu melebihi paras waspada ditetapkan iaitu 9.14 m.

Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak pula kini berada di paras 3.29 m iaitu melebihi paras waspada 3 m daripada paras ditetapkan iaitu 0.29 m.

Sementara itu, di Pahang, Sabah, Sarawak dan Melaka, beberapa sungai utama di negeri terbabit turut dilaporkan sudah melebihi paras amaran dan waspada.

Di Pahang, paras air Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Marang kini berada di paras 20.23 meter, Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub (133.8 m) dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong (52.07 m), semuanya melebihi paras waspada.

Di Sabah, satu sungai didapati melebihi paras amaran iaitu Sungai Padas di Beaufort JPS, Beaufort dengan bacaan paras air 8.41 m, manakala bacaan Sungai Padas di Tenom melebihi paras waspada dengan paras air 175.61 m.

Di Sarawak, Sungai Long Teru di Miri juga melebihi paras waspada dengan bacaan paras air 6.66 m, manakala di Melaka, bacaan paras air Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin, di paras 3.21 m, juga melepasi paras waspada.

BHARIAN.

Tiada ulasan: