04 Januari 2022

Jemaah umrah diberi 2 pilihan kuarantin

 Sebahagian jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - NSTP/ASWADI ALIAS.

Sebahagian jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - NSTP/ASWADI ALIAS.

KUALA LUMPUR: Jemaah umrah diberi pilihan untuk berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta atau ditempatkan di kemudahan seliaan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, mengakui wujud rungutan mengenai jemaah umrah yang risau dengan kos tambahan dan berkemungkinan tidak selesa apabila diarah menjalani kuarantin.

"Jemaah umrah mempunyai pilihan sama ada berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta, merujuk hotel yang disenaraikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau stesen kuarantin diuruskan kerajaan.

"Bagi penempatan kuarantin diuruskan kerajaan, individu dalam pemantauan (PUS) iaitu jemaah yang negatif ujian saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM akan ditempatkan di hotel atau pusat latihan awam.

"Ia bergantung kepada ketersediaan bilik pada hari ketibaan. Bagi pilihan ini, kos urusan kuarantin ditanggung oleh kerajaan termasuk makan, minum dan pengangkutan dari lapangan terbang.

"Tempoh kuarantin adalah seperti yang ditetapkan KKM," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan penangguhan sementara kebenaran umrah, berkuat kuasa 8 Januari ini susulan kebimbangan penularan varian Omicron.

Selain tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa 1 Januari, semua jemaah diarah menjalani kuarantin wajib di stesen atau hotel dikenal pasti oleh NADMA bermula semalam.

Semalam, media melaporkan rungutan jemaah umrah yang pulang ke tanah air apabila mendakwa dikenakan kos penginapan menjangkau RM250 semalam dan tambang pengangkutan dari lapangan terbang ke stesen kuarantin.

Turut dibangkitkan ialah isu jemaah umrah tidak mempunyai pilihan hotel, sebaliknya terpaksa akur dengan senarai penginapan ditentukan pengurusan NADMA.

Dr Abd Latiff berkata, pihaknya mempunyai senarai pusat kuarantin untuk jemaah umrah sebaik mereka tiba di tanah air.

Berdasarkan senarai berkenaan, 10 hotel dikhaskan untuk stesen kuarantin jemaah di Kuala Lumpur, manakala lapan di Selangor.

Hotel di Kuala Lumpur ialah Hotel Royal; Hotel Swiss Garden, Bukit Bintang; Hotel IBIS, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC); Hotel Furama, Bukit Bintang; Hotel Mercure, Kuala Lumpur Shaw Parade; IBIS Style KL Fraser Business Park; Hotel AnCasa; Hotel Cosmo; Hotel KIP dan Hotel Arena Star.

Penginapan hotel di Selangor ialah Hotel Sama-Sama; Hotel Grand Dorsett, Subang; Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya; Hotel Sunway Clio; Hotel Hilton Garden Inn, Puchong; Hotel Oriental Cyrstal; Hotel SUmmit, USJ dan Hotel Pegasus, Shah Alam.

Pusat kuarantin di institut latihan awam pula merangkumi Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT); Institut Aminuddin Baki (IAB) Nilai; Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi; Institut Semarak FELDA (ISEF) Bangi; Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Bangi; Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dan QS Hotel.

BHARIAN.

Tiada ulasan: