15 Januari 2022

Kuarantin tujuh hari saja

 Antara penerima vaksin yang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Antara penerima vaksin yang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menilai semula dan menetapkan tempoh baharu pengasingan kes positif COVID-19 serta kontak rapat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata bagi tempoh pengasingan kes positif COVID-19 bagi semua jenis varian yang membabitkan individu sudah lengkap divaksinasi serta tidak bergejala ialah tujuh hari, berbanding 10 hari sebelum ini.

"Bagi individu positif yang tidak lengkap vaksin atau bergejala, tempoh pengasingan selama 10 hari.

"Penilaian kesihatan akan dibuat sebelum pelepasan boleh diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

"Tujuh hari ke atas individu yang lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tiada vaksinasi.

"Tempoh yang dinyatakan ini berkuat kuasa esok dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.

"Bagaimanapun prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai," katanya.

Khairy berkata, penilaian semula itu dibuat berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat kepada kes positif.

Sebelum ini, individu yang disahkan positif COVID-19 perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari dan tidak perlu melakukan ujian ulangan.

Bagi kontak rapat yang sudah mendapatkan pelalian COVID-19 yang lengkap, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari dan menjalani ujian pada hari kelima.

Sekiranya kontak rapat berkenaan masih belum mendapatkan pelalian lengkap atau tiada vaksin, mereka perlulah menjalankan kuarantin selama 10 hari dan ulangi ujian pada hari kelapan.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

"Tujuh hari ke atas individu yang lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tiada vaksinasi," katanya.

Beliau berkata, sekiranya individu berkenaan menunjukkan gejala, mereka haruslah melakukan ujian pengesanan jangkitan COVID-19 menggunakan RTK-Ag, sama ada kendiri atau ke fasiliti kesihatan, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Keputusan ujian kendiri hendaklah dimasukkan ke dalam Mysejahtera, jalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari ke-5 (untuk kuarantin 5 hari) dan hari ke-7 (untuk kuarantin 7 hari).

"Pelepasan kuarantin akan diberikan pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan, sekiranya keputusan negatif dan tidak bergejala," katanya.

Khairy berkata, pihaknya sudah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapai kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

"Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: