15 Januari 2022

Omicron merebak ke bandar selatan China bersempadan Macau

 Suasana di daerah Huaxian di bandar Anyang di wilayah tengah China, Henan, lengang tanpa pergerakan manusia susulan perintah berkurung akibat ancaman COVID-19. - Foto AFP

Suasana di daerah Huaxian di bandar Anyang di wilayah tengah China, Henan, lengang tanpa pergerakan manusia susulan perintah berkurung akibat ancaman COVID-19. - Foto AFP

BEIJING: Bandar Zhuhai di selatan China menggantung sementara laluan bas awamnya hari ini selepas sekurang-kurangnya tujuh kes varian Omicron dikesan.

Pihak berkuasa di sana memberi amaran kepada penduduk supaya tidak keluar meninggalkan bandar itu.

Bandar pesisir pantai bersempadan hab perjudian, Macau, itu semalam mengesan varian Omicron pada seorang pesakit yang mengalami gejala ringan serta enam yang lain tanpa gejala.

Ia dikesan selepas ujian saringan besar-besaran dilakukan susulan kes di wilayah berhampiran.

China sedang memerangi beberapa wabak COVID-19, termasuk daripada varian Omicron, ketika negara itu meningkatkan kewaspadaan terhadap penularan virus menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing bulan depan.

Jutaan penduduk di seluruh negara sudah diarah tinggal di rumah sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan banyak penerbangan domestik dibatalkan manakala kilang ditutup.

Pihak berkuasa Zhuhai sudah meminta penduduk mengelak daripada keluar meninggalkan bandar kecuali bila perlu, dengan mereka diwajibkan menunjukkan keputusan negatif ujian COVID-19 dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Bandar itu melakukan ujian saringan besar-besaran terhadap 2.4 juta penduduknya semalam selepas kes COVID-19 dikesan di wilayah sempadan, Zhongshan, awal minggu ini.

Perniagaan termasuk salun kecantikan, pusat judi, gimnasium dan pawagam diarah tutup kelmarin, dengan pihak berkuasa mengumumkan penggantungan laluan bas awam di beberapa bahagian bandarnya.

China berjaya mengekalkan kes COVID-19 yang rendah sejak penularan wabak, menerusi strategi sifar jangkitan iaitu dengan melaksanakan ujian saringan besar-besaran serta penutupan ketat sekiranya jangkitan dikesan.

Namun, varian Omicron yang cepat menular menguji strategi itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selepas varian itu dikesan muncul di bandar pelabuhan, Tianjin, berhampiran Beijing, sebelum merebak ke pusat bandar, Anyang.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Mi Feng, hari ini memberitahu, negara itu sedang menghadapi cabaran dua kali ganda dari dua varian iaitu Delta dan Omicron.

Feng memberi amaran wilayah yang belum berdepan wabak tidak boleh melonggarkan langkah pencegahan mereka selain perlu mengukuhkan kawalan risikonya.

Negara itu melaporkan 104 kes baharu COVID-19 hari ini. - AFP

Tiada ulasan: