11 Februari 2022

Ebby dapat bantuan kerajaan bina semula rumah

 Ebby menjangka kediaman baharunya akan siap dalam tempoh empat bulan lagi. Foto Ihsan Ebby Yus

Ebby menjangka kediaman baharunya akan siap dalam tempoh empat bulan lagi. Foto Ihsan Ebby Yus

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan ditimpa musibah kediaman dalam pembinaan di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat dihanyutkan air, Ebby Yus beroleh rezeki apabila menerima sumbangan Rumah Mesra Rakyat (RMR) bernilai RM56,000 daripada kerajaan.

Ebby berkata, rumah baharu akan dibina di tapak lama yang sudah diratakan tetapi pada kedudukan yang agak jauh dari sungai.

"Saya memang bercadang mendirikan semula rumah di tapak tanah seluas setengah ekar itu. Cuma, saya tidak ada modal hendak melakukannya.

"Jadi, hasrat itu terpendam begitu saja. Saya tidak sangka dan rasa bersyukur ada yang bermurah hati dan menjadi antara penerima bantuan RMR.


Tapak lama rumah Ebby yang dihanyutkan air dalam kejadian banjir, Disember lalu, sudah diratakan bagi membina kediaman baharu. Foto Ihsan Ebby Yus
Tapak lama rumah Ebby yang dihanyutkan air dalam kejadian banjir, Disember lalu, sudah diratakan bagi membina kediaman baharu. Foto Ihsan Ebby Yus

"Empat hari lalu, saya meninjau kerja di tapak tanah dan pada masa sama, pihak mewakili kerajaan membuat lawatan dan melihat kawasan yang terkesan dengan bencana banjir, Disember lalu," katanya kepada BH Online.

Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, sumbangan unit RMR cukup menggembirakan hatinya malah dianggap seperti pepatah 'yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti'.

"Jika mengikut perancangan, rumah baharu saya akan akan siap dalam tempoh empat bulan lagi. Diharapkan segala-galanya dipermudahkan.

"Terima kasih sekali lagi kepada kerajaan atas sumbangan dan bantuan ini," katanya.

Sementara itu, Ebby, 56, berkata kesihatan diri terutama masalah paru-paru dihidapi, bertambah baik.

"Alhamdulillah, doktor sudah melakukan pemeriksaan dan memberitahu paru-paru saya sekarang tidak memerlukan rawatan hingga perlu ditebuk.

"Namun, saya masih perlu menjalani rawatan susulan di hospital," katanya.

Pada 19 Disember lalu, Ebby berdepan ujian berat apabila rumah impian yang tinggal 10 peratus untuk disiapkan, 'lenyap' akibat banjir.

Berikutan itu, Ebby menanggung kerugian hampir RM200,000.

BHARIAN.

Tiada ulasan: