25 Jun 2011

Bekas Wanita Besi Ukraine Dibicarakan

23 Rejab 1432H. [MOD] -


KIEV – Bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko, dihadapkan ke mahkamah, Jumaat (waktu tempatan), atas tuduhan salah guna kuasa, dan menyifatkan pencabar jawatan presiden negara itu, Viktor Yanukovych, sebagai pengecut dan takut dengan persaingan politik.

Bekas pemimpin tertinggi negara itu yang turut dikenali sebagai wanita besi itu dituduh terbabit dengan penyalah gunaan kuasa susulan mempunyai kaitan dengan kontrak yang ditandatangani bersama Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin.

Ia membabitkan kontrak penyediaan gas yang tergendala sementara bersama Russia pada awal 2009.

AFP 

Jangan tipu rakyat Najib ke Pasir Puteh

23 Rejab 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 24 Jun: Umno Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, diingatkan agar jangan menipu rakyat dengan jumlah kehadiran ahli Umno yang akan menyambut kedatangan Presiden parti itu pada 2 Julai ini.
Dalam masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Pasir Puteh turut  mengingatkan pihak Umno  agar tidak mempergunakan guru-guru sekolah dan Kafa untuk dijadikan alat suruhan bagi memenuhi majlis berkenaan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Puteh, Mohd Nazry Mohamad Nor berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada guru-guru bahawa mereka bakal diwajibkan menghadiri program berkenaan, sedangkan kehadiran Datuk Seri Najib bukan atas lawatan rasmi kerajaan, sebaliknya bagi tujuan parti.
Menurut belliau, biarkan kakitangan awam menentukan sikap mereka dalam berpolitik. Jangan kongkong mereka dengan arahan wajib. Mereka bukannya budak tadika yang sewenang-wenangnya boleh diarah untuk menghadiri sesuatu program parti.
Katanya, pihak PAS yakin Umno makin tertekan dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh PAS sehingga menyebabkan mereka gopoh dalam menjawab agenda itu.
"Mereka terpaksa mendatangkan Presiden parti bagi memulihkan semangat ahli yang semakin celaru dengan sikap pendirian parti dalam isu-isu dalam negara," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Kecelaruan mereka itu, menurut beliau, jelas nampak dalam isu Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti, apabila Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno memberi amaran kepada rakyat untuk tidak turun pada demonstrasi berkenaan.
Dalam masa yang sama, katanya, Ketua Pemuda Umno berkeras untuk membawa pemuda parti itu untuk turut sama berdemonstrasi pada hari berkenaan bagi tujuan yang hampir sama dengan apa yang dibawa oleh Bersih.
"Sehingga sekarang Umno masih mengamalkan budaya politik lama dengan cara menggunakan segala jentera kerajaan untuk menang dalam pilihanraya, tanpa dengan kekuatan parti mereka," katanya.
Semalam, Bernama melaporkan, kira-kira 20,000 ahli Umno Bahagian Pasir Puteh dijangka menyertai program lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke jajahan itu dalam rangka lawatan kerja sehari beliau ke Kelantan pada 2 Julai ini.
Ketua Umno  Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, selain itu badan bukan kerajaan (NGO) terutama golongan belia, peniaga, petani dan nelayan akan turut serta pada majlis berkenaan.
"Lawatan ini julung kali diadakan selepas Datuk Seri Najib Razak menyandang jawatan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di Pasir Puteh.
Beliau berkata, Perdana Menteri akan menemui peniaga di Pasar Pasir Puteh dan pemandu kereta sewa yang dilantik sebagai "duta kecil" untuk membantu kerajaan dalam usaha menyampaikan konsep 1Malaysia kepada masyarakat umum.
Katanya, selepas majlis berkenaan, Najib akan ke Sekolah Kebangsaan Seri Aman untuk menemui ahli parti termasuk pegawai Kerajaan Persekutuan terutama kaum pendidik dan akan menyampaikan amanat penting kepada mereka.
Zawawi dilaporkan berkata, pada kesempatan itu, beliau akan menyampaikan hasrat penduduk Pasir Puteh yang mahukan Kerajaan Pusat menyegerakan pembinaan sebuah institusi pengajian yang berasas kejuruteraan laut yang dicadangkan dibina di Tok Bali.
Perdana Menteri kemudian akan menemui veteran Umno di Masjid Pulai Lima dan menunaikan solat sebelum ke Machang. Pada sebelah malam, Najib akan ke Kota Bharu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Menurut Mohd Nazry, beliau yakin mereka yang dipaksa hadir ke majlis berkenaan cerdik untuk menilai pendekatan politik pembangunan yang bertujuan memberi candu kepada rakyat.
"Sedangkan banyak lagi projek Kerajaan Pusat yang terbengkalai dan ada yang masih belum dimulakan, termasuk jambatan yang dijanjikan dibina untuk pengundi Dun Manek Urai 2009 yang lalu.
"Saya cabar Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh mengumpulkan ahli sebenar Umno untuk hadir ke majlis itu, tanpa ada kerahan wajib kakitangan kerajaan sekiranya beliau inginkan keaslian dalam perjuangan dan melihat keutuhan semangat ahli," ujar beliau

Harakahdaily

6 pemimpin BERSIH dipanggil polis

23 Rejab 1432H. [MOD] -


BERSIH mendakwa enam pemimpin mereka yang terdiri daripada aktivis NGO dan pemimpin politik dipanggil polis untuk disoalsiasat hari ini.

Mereka adalah pengerusi gabungan itu Ambiga Sreenevasan, ahli jawatankuasa pemandunya Maria Chin Abdullah, exco kerajaan Selangor Teresa Kok, aktivis sosial Hishamuddin Rais, koordinator kumpulan peguam Lawyers for Liberty Fadiah Nadwa Fikri dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.

Menurut Maria, pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah memaklumkan perkara itu melalui pesanan SMS semalam yang meminta mereka hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi supaya kenyataan mereka dapat diambil.

Maria antara yang pertama dipanggil untuk menemui pihak polis pada jam 2 petang ini.

Manakala Ambiga pula difahamkan menghadapi sesi itu sejam setengah selepasya. Teresa dan Fadiah diminta hadir pada Isnin ini.

Gadis trauma kepala dibotakkan

23 Rejab 1432H. [MOD] -


ALOR SETAR – Seorang gadis lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) trauma apabila rambutnya dipotong sehingga botak ketika menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wakaf Tapai di Marang, Terengganu bagi jawatan Penolong Penguasa Bomba pada 2 Mei lalu.

Hizyaty Othman, 28, dari Taman Berjaya, Jalan Pegawai di sini, kini terpaksa melupakan impiannya untuk berkhidmat di JBPM kerana sudah serik untuk menjalani semula latihan di kem tersebut.

Selain Hizyaty, seramai 18 lagi pelatih wanita yang dibotakkan kepala pada hari mereka mendaftar pada petang 2 Mei lepas.

Menurutnya, dia dan 18 pelatih wanita lain terkejut apabila rambut mereka dipotong sehingga botak tanpa diberi sebarang penjelasan mengenai tindakan itu.

“Seorang kakitangan wanita di kem itu memanggil pelatih seorang demi seorang ke dalam sebuah bilik dan rambut kami dipotong menggunakan mesin gunting rambut.

“Saya terkejut apabila melihat seorang pelatih keluar dengan kepala botak dan ketika itu saya hanya berserah kerana fikir mahu teruskan latihan di kem itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Berjaya di sini semalam.

Hizyaty memberitahu, dia hanya berdiam diri ketika rambutnya dipotong dalam masa kira-kira lima minit kerana menganggap ia satu prosedur biasa sebagai pelatih di situ.