25 Jun 2011

Jangan tipu rakyat Najib ke Pasir Puteh

23 Rejab 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 24 Jun: Umno Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, diingatkan agar jangan menipu rakyat dengan jumlah kehadiran ahli Umno yang akan menyambut kedatangan Presiden parti itu pada 2 Julai ini.
Dalam masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Pasir Puteh turut  mengingatkan pihak Umno  agar tidak mempergunakan guru-guru sekolah dan Kafa untuk dijadikan alat suruhan bagi memenuhi majlis berkenaan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Puteh, Mohd Nazry Mohamad Nor berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada guru-guru bahawa mereka bakal diwajibkan menghadiri program berkenaan, sedangkan kehadiran Datuk Seri Najib bukan atas lawatan rasmi kerajaan, sebaliknya bagi tujuan parti.
Menurut belliau, biarkan kakitangan awam menentukan sikap mereka dalam berpolitik. Jangan kongkong mereka dengan arahan wajib. Mereka bukannya budak tadika yang sewenang-wenangnya boleh diarah untuk menghadiri sesuatu program parti.
Katanya, pihak PAS yakin Umno makin tertekan dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh PAS sehingga menyebabkan mereka gopoh dalam menjawab agenda itu.
"Mereka terpaksa mendatangkan Presiden parti bagi memulihkan semangat ahli yang semakin celaru dengan sikap pendirian parti dalam isu-isu dalam negara," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Kecelaruan mereka itu, menurut beliau, jelas nampak dalam isu Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti, apabila Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno memberi amaran kepada rakyat untuk tidak turun pada demonstrasi berkenaan.
Dalam masa yang sama, katanya, Ketua Pemuda Umno berkeras untuk membawa pemuda parti itu untuk turut sama berdemonstrasi pada hari berkenaan bagi tujuan yang hampir sama dengan apa yang dibawa oleh Bersih.
"Sehingga sekarang Umno masih mengamalkan budaya politik lama dengan cara menggunakan segala jentera kerajaan untuk menang dalam pilihanraya, tanpa dengan kekuatan parti mereka," katanya.
Semalam, Bernama melaporkan, kira-kira 20,000 ahli Umno Bahagian Pasir Puteh dijangka menyertai program lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke jajahan itu dalam rangka lawatan kerja sehari beliau ke Kelantan pada 2 Julai ini.
Ketua Umno  Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, selain itu badan bukan kerajaan (NGO) terutama golongan belia, peniaga, petani dan nelayan akan turut serta pada majlis berkenaan.
"Lawatan ini julung kali diadakan selepas Datuk Seri Najib Razak menyandang jawatan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di Pasir Puteh.
Beliau berkata, Perdana Menteri akan menemui peniaga di Pasar Pasir Puteh dan pemandu kereta sewa yang dilantik sebagai "duta kecil" untuk membantu kerajaan dalam usaha menyampaikan konsep 1Malaysia kepada masyarakat umum.
Katanya, selepas majlis berkenaan, Najib akan ke Sekolah Kebangsaan Seri Aman untuk menemui ahli parti termasuk pegawai Kerajaan Persekutuan terutama kaum pendidik dan akan menyampaikan amanat penting kepada mereka.
Zawawi dilaporkan berkata, pada kesempatan itu, beliau akan menyampaikan hasrat penduduk Pasir Puteh yang mahukan Kerajaan Pusat menyegerakan pembinaan sebuah institusi pengajian yang berasas kejuruteraan laut yang dicadangkan dibina di Tok Bali.
Perdana Menteri kemudian akan menemui veteran Umno di Masjid Pulai Lima dan menunaikan solat sebelum ke Machang. Pada sebelah malam, Najib akan ke Kota Bharu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Menurut Mohd Nazry, beliau yakin mereka yang dipaksa hadir ke majlis berkenaan cerdik untuk menilai pendekatan politik pembangunan yang bertujuan memberi candu kepada rakyat.
"Sedangkan banyak lagi projek Kerajaan Pusat yang terbengkalai dan ada yang masih belum dimulakan, termasuk jambatan yang dijanjikan dibina untuk pengundi Dun Manek Urai 2009 yang lalu.
"Saya cabar Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh mengumpulkan ahli sebenar Umno untuk hadir ke majlis itu, tanpa ada kerahan wajib kakitangan kerajaan sekiranya beliau inginkan keaslian dalam perjuangan dan melihat keutuhan semangat ahli," ujar beliau

Harakahdaily

Tiada ulasan: