25 Jun 2011

Rakyat Palestin kagum komitmen Kelantan

23 Rejab 1432H. [MOD] -



KOTA BHARU, 25 Jun: Rakyat Palestin, Dr Naji Abu Zuhair Al-Sirhi melahirkan rasa kagum dengan kepimpinan ulama Kelantan diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat khususnya kepada komitmen kepimpinan negeri terhadap isu Palestin.
Beliau melihat Menteri Besar dan rakyatnya ada kelainan dalam ‘menghayati’ isu tersebut dengan menunjukkan simpati yang tinggi.
“Isu Palestin adalah isu sejagat, isu akidah dan isu ummah seluruhnya, bukan isu Palestin semata-mata.
“Semoga apa yang dibuat ini berterusan dan Allah swt mengembalikan kemuliaan ummah dan kemuliaan Islam, seterusnya akan membebaskan Masjidil Aqsa, hasil perjuangan seluruh umat Islam,” tegasnya.
Beliau bercakap kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Misi Bantuan Ke Gazza oleh Menteri Besar di Medan Ilmu, semalam.
Beliau kini menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di negara ini. Hadir sama rakannya Arafat Abdullah. Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Nik Wan Yusoff.
Program misi penghantaran bantuan untuk rakyat Palestin menjelang Ramadhan, Aidul Fitri dan Qurban Aidul Adha itu anjuran Sekretariat Misi Cakna Palestin (Cakna Palestin) dengan kerjasama Badan Kebajikan Ar-Rahmah, Daerah Khan Younis Palestin (BKA) yang diasaskan sejak 1993 di Palestin di samping kerjasama Al-Quds Travel Sdn Bhd.
Menurut Dr Naji, komitmen itu satu terjemahan kepada komitmen Tok Guru dan rakyat Kelantan seluruhnya terhadap isu Palestin.
“Dan saya lihat di Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dan rakyat Kelantan ada ‘kelainan’ terhadap rakyat Palestin dari sudut kesihan belas dan kesayangan mereka kepada rakyat Palestin dan perjuangannya di Palestin.
“Saya tidak mampu untuk mentakbir (menggambarkan) dengan kata-kata terhadap komitmen Tok Guru dan Kerajaan Negeri, namun sambutan program ini menjelaskan keadaan sebenarnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Cakna Palestin Nazri Deraman menjelaskan perancangan Cakna Palestin ialah menghantar  bantuan kepada rakyat Palestin sebelum penghujung Sya’aban atau awal Ramadhan, 1432 Hijriah.
“Justeru bantuan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin, akan disampaikan khususnya bagi menghadapi Ramadhan di Palestin.
“Program hari ini dilancarkan untuk rakyat Kelantan di mana mulai hari ini mereka bolehlah memberi sumbangan melalui Cakna Palestin untuk dihantar bantuan tersebut ke Gazza, melalui wakil kita sebelum Ramadhan nanti,” katanya.
Pada majlis pelancaran itu, Menteri Besar melepaskan belon bersama bendera Palestin sebelum melepaskan sembilan ekor burung, yang melambangkan bahawa suatu hari nanti Palestin akan bebas, selaras dengan motto perjuangan rakyat Palestin: “Kita yakin Al-Quds adalah milik kita dan kita akan kembali”.
Harakahdaily

Tiada ulasan: