18 September 2012

Bekas polis kanan: Mahathir boleh disiasat kerana subahat

2 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad, yang memainkan peranan penting dalam dalam pemecatan timbalannya pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin boleh disiasat kerana bersubahat dengan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan atas dakwaan mereka dan menyembunyikan fakta material.

Melainkan, Mahathir boleh menunjukkan bukti bahawa beliau mengambil langkah perlu untuk menghalang Gani dan Musa daripada berbuat demikian, kata bekas ketua CID Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim, yang bertanggungjawab ke atas siasatan kes mata lebam Anwar.

Mat Zain berkata, beliau menyatakan demikian berdasarkan pengakuan Musa dalam satu wawancara dengan Malaysiakini bahawa bekas ketua polis itu mengambil sampel darah Anwar daripada siasatan mata lebam Mat Zain untuk ujian DNA bagi satu kes lain – melibatkan dakwaan liwat.

Musa merupakan penyiasat untuk kes dakwaan liwat tersebut.

Mahathir dalam memoirnya A Doctor in the House (bab 53, halaman 684) menulis bahawa beliau yakin bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Musa dan ketua polis negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Perkara itu, dan juga soalsiasat ke atas mangsa yang didakwa, menyebabkan Anwar dipecat dan kemudiannya ditahan.

Anwar kemudiannya didakwa atas tuduhan liwat, yang digelar Liwat I, melibatkan pemandu Azizan Abu Bakar.

Mat Zain juga mempersoallkan keperluan Musa untuk "mencuri" sampel darah Anwar daripada Hospital Kuala Lumpur untuk menjalankan ujian DNA, sedangkan Musa – yang merupakan penyiasat untuk kes dakwaan liwat dan penyalahgunaan kuasa – didakwa telah menyiapkan siasatannya untuk dua kes tersebut.

Katanya lagi, pengakuan Musa kepad Malaysiakini juga mengesahkan pengakuan Dr Zahari Noor dari HKL semasa perbicaraan Anwar pada Disember 1998, bahawa Musa dan ASP Mohd Rodwan Mohd Yusof pada 15 Oktober 1998 secara paksa mengambil sampel darah Anwar yang disimpan di HKL – yang bertujuan untuk ujian HIV tetapi secara salah digunakan Musa untuk ujian DNA.

"Ini menimbulkan persoalan sama ada Musa benar-benar telah menyiapkan siasatan dalam dakwaan liwat dan mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan Anwar bersalah, atau ada tangan ghaib yang menghasut atau memaksa beliau mereka bukti DNA pada tilam, yang menyebabkan Musa mengambilnya (DNA Anwar) dari HKL. Jika tidak, apa tujuannya?," kata Mat Zain.

malaysiakini/-

AWAS!! Baca kalau berani...



2 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Khas buat makcik dan pakcik Felda serta mak mak penakan kat hujung kampung. Tepuk dada tanya selera samaada berani atau tidak untuk berubah. Semua tu terletak pada diri anda sendiri....


Yang pasti, segala penerangan atau segala macam hal yang berkaitan untuk anda membuat keputusan dan penilaian telah diberikan...

Tak tau la nak kata apa kalau masih ada rasa was-was dan takut mati kebuluran tanpa Be End... Jangan menyesal dikemudian hari sudah..

harakahdaily/-

Ribut, hempap rumah 6 sekeluarga

2 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

TUMPAT – “Mujur saya sekeluarga tiada di rumah, kalau tidak tentu nyawa kami melayang gara–gara pokok durian belakang rumah tumbang dipukul ribut,” kata Nurasyida Kamarulzaman, 37, yang tinggal di Kampung Kutan Hulu.

Ketika kejadian kira–kira jam 6.30 petang, Nurasyida bersama suami, Mohd Ghani Salleh, 38, dan empat anaknya tiada di rumah kerana menghadiri majlis rumah terbuka di rumah kawannya di Kampung Kutan Sungai.

Nurasyida berkata, semasa dia sekeluarga pergi ke rumah kawannya itu, cuaca begitu elok sekali, bagaimanapun selepas itu tiba–tiba hujan lebat melanda.

“Waktu hujan lebat saya sedang enak menjamu selera, tak terlintas langsung bencana akan berlaku di rumah.

“Biasanya kalau sesuatu berlaku, kita akan rasa tidak sedap hati tetapi semalam, tak terlintas langsung perkara buruk ni,” katanya.

Nurasyida berkata, dia menyedari rumahnya ditimpa pokok durian selepas pulang daripada majlis tersebut menyebabkan tiga bilik tidur serta ruang tamu utama rosak teruk.

“Memang saya tergamam seketika apabila melihat bumbung rumah dipenuhi dahan pokok durian menyebabkan kami ragu – ragu untuk masuk ke dalam rumah, khuatir pokok itu jatuh ke atas kami.

“Namun bersyukur hanya sebahagian saja rumah saya rosak,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dia terpaksa menanggung kerugian RM20,000 kerana bumbung rumahnya pecah serta perabot di dalam rumah rosak ditimpa dahan pokok durian itu.

Katanya, pokok durian yang ditanam neneknya banyak berjasa kepada keluarga kerana sering berbuah, namun lain pula jadinya apabila tumbang dipukul ribut.

sinar harian/-

Tidak sanggup kembar dipisah

2 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Keadaan Muaimin Azli (kanan) yang sering demam menyebabkan dia bersama abangnya, Muaiman (kiri) terus dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pembedahan pada Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Meskipun sudah mampu menjalani kehidupan normal, sepasang kembar Siam yang menjalani pembedahan maraton di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hampir dua bulan lalu masih tidak dibenarkan pulang ke rumah mereka di Johor.

Bapa kembar tersebut yang kini berusia 17 bulan, Azli Sabran berkata, hal tersebut disebabkan keadaan Muaimin yang kini memiliki kaki kanan sahaja sering menghidap demam berbanding abangnya, Muaiman yang sentiasa ceria.

Katanya, kedua-dua anaknya itu masih menggunakan saluran paip khas setiap kali mereka mahu membuang air besar selain memakan ubat-ubatan yang ditentukan oleh doktor.

“Saya lebih rela berada lebih lama di hospital untuk menjaga mereka kerana yang penting mereka mesti betul-betul sihat sebelum dibawa pulang ke rumah.

“Tentu sukar untuk kami berulang-alik dari Segamat ke sini sekiranya mereka memerlukan rawatan tertentu selepas dibawa pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Pasangan kembar itu mencatatkan sejarah tersendiri dalam dunia perubatan negara apabila mereka yang mempunyai tiga kaki, bercantum di bahagian tulang pinggul, berkongsi usus dan saluran kencing berjaya dipisahkan oleh sekumpulan pakar perubatan di HKL pada Julai lalu.

Pembedahan maraton yang memakan masa selama 24 jam itu dibiayai sepenuhnya oleh HKL.

kosmo/-

Nikmatnya Bersyukur

2 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Ada seorang bapak yang untuk kesekian kali datang ke Rumah Amalia. Beliau mengatakan kepada saya bahwa hanya dekat dengan Allah lah hatinya menjadi tenang. 'Itulah nikmatnya bersyukur' tuturnya. 'Dalam tekanan hidup membuat saya mencari Allah, meski saya pernah marah dan meninggalkanNya namun Allah tidak pernah meninggalkan saya.'

Pukulan pertama diterimannya. Awalnya tahun lalu istrinya yang dicintai masuk rumah sakit ketika beliau sedang berada di luar kota karena tugas kantor. Tidak lama kemudian sang istri dipanggil oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ditengah kesedihannya beliau jatuh dari kamar mandi yang membuat terbaring di rumah sakit. Terbaring selama satu bulan. Begitu sudah bekerja kembali, pimpinan perusahaan tempatnya bekerja dirinya di PHK. Dalam upaya mencari pekerjaan baru, beliau mencoba untuk berwirausaha namun usahanya tak membuahkan hasil.

Sampai titik nadir, rasa sakit yang dialaminya. menjerit dalam hati 'Ya Allah, aku tidak sanggup lagi.' Pada kesempatan itulah beliau mendengarkan Radio FM Jakarta, kemudian menghubungi saya dan akhirnya berkunjung ke Rumah Amalia. Tidak lama setelah itu beliau mendapatkan pekerjaan baru yang lebih baik daripada sebelumnya. Sekarang justru beliau semakin dekat dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. 'Saya selalu rindu padaNya sebab kasih sayang Allah menerangi jalan hidup saya Mas Agus.' tutur beliau.

Sahabatku, aminkan doa ini mohon kemudahan dalam usaha kita, "Allahuma rahmataka arju fala takilni ila nafsi tharfata ‘ain, wa ashlihli sya’ni kullahu, la ilaha illa anta, “Ya Allah, hanya kasih sayang-Mu yang aku harapkan, maka janganlah Engkau serahkan urusanku pada diriku sendiri meskipun hanya sekejap mata, dan perbaikilah semua urusanku. Tidak ada Tuhan selain Engkau.” (H.R. Abu Dawud dan Ahmad).

posted by :agussyafii

17 September 2012

Deklarasi Kuching: Komitmen PR bela rakyat Sabah, S'wak M

29 Syawal 1433H. [MOD] - KUCHING: Deklarasi Kuching yang ditandatangani pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat semalam mengariskan tujuh perkara pokok bagi membela rakyat Sabah dan Sarawak.

Antara lain ianya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah dan Sarawak serta pembangunan kedua-dua negeri.

Malah ianya juga sebagai komitmen Pakatan Rakyat untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

Deklarasi tersebut telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Chong Ling Park, Kuching petang semalam.

Deklarasi tersebut turut diumumkan pada Sambutan Hari Malaysia di sini semalam.

Tujuh perkara yang terkandung dalam deklarasi tersebut adalah:

PERKARA 1: KERJASAMA BERSEKUTU

Kami akan memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

PERKARA 2: PERWAKILAN YANG ADIL

Kami akan mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

PERKARA 3: KEWARGANEGARAAN

Kami akan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.

PERKARA 4: PENGIKTIRAFAN HAK KE ATAS TANAH ADAT

Kami akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

PERKARA 5: KECEKAPAN DAN KEMANDIRIAN SARAWAK DAN SABAH

Kami akan mengiktiraf perlantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

PERKARA 6: KEADILAN DALAM ISU MINYAK

Kami akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.
PERKARA 7: PEMBANGUNAN SEKATA

Kami akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

Pakatan Rakyat menjelaskan deklarasi ini merupakan satu perjanjian yang tidak boleh disangkal serta dipersoalkan, ia termaktub di antara Pakatan Rakyat dan segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Perjanjian yang ditandatangani pada 16 September itu juga bermatlamat agar kebebasan dapat dicapai dan masyarakat boleh hidup bersatu pada dalam suasana aman dan damai.

Sementera itu, selain ditandatangani oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat, deklarasi tersebut turut ditandatangani oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Adam Ahid, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan juga Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng.

Perjanjian enam salinan itu telah disimpan oleh mereka yang telah menurunkan tandatangan sebagai saksi bahawa deklarasi Kuching adalah janji Pakatan Rakyat kepada seluruh rakyat Malaysia.(HD)

Kumpulan jemaah haji pertama M'sia berlepas

29 Syawal 1433H. [MOD] - Seramai 320 jemaah haji pertama berlepas ke tanah suci pada pukul 1.30 pagi ini dengan penerbangan Saudi Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Pengerusi KL Airport Services Sdn Bhd (KLAS) Datuk Abdul Mutalib Muhamed Razak berkata untuk tahun ini, 61 penerbangan pergi jemaah haji dikendalikan KLAS menerusi Saudi Airlines.

"Kira-kira 14,000 jemaah haji menggunakan penerbangan Saudi Airlines tahun ini, separuh daripada jumlah keseluruhan jemaah iaitu seramai 28,000," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.

Terdahulu pada satu majlis ringkas, beliau menyampaikan sumbangan berupa makanan dan minuman kepada jemaah penerbangan pertama itu.

Seramai 600 pegawai dan petugas Tabung Haji kini berada di Madinah dan Mekah bagi menguruskan jemaah haji negara ini.

Penerbangan terakhir ke tanah suci yang dikendalikan KLAS ialah pada 18 Okt manakala penerbangan pertama pulang ke tanah air pula dijadual 1 Nov.(MK)

Nik Aziz kutuk penerbitan filem 'Innocence of Muslims'

29 Syawal 1433H. [MOD] - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Mat mengutuk pihak yang menerbitkan filem 'Innocence Of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad S.A.W.

Mursyidul Am PAS itu menyifatkan mereka yang bertanggungjawab menerbitkan filem tersebut sebagai orang 'tidak betul' dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan filem itu.

Katanya tidak ada manusia yang lebih mulia daripada Nabi Muhammad S.A.W. kerana baginda dilantik oleh Allah sebagai Nabi sedangkan kemuliaan dan kehormatan seseorang manusia lain hanya dipilih dan dilantik sesama manusia.

"Bila kita hina orang bererti kita mulia, jadi kita mulia daripada Nabi adakah masuk akal?," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perbarisan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Kelantan di Padang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tumpat, semalam.(MK)

Polis N Sembilan nafi sembunyi kes tembakan

29 Syawal 1433H. [MOD] - Polis Negri Sembilan menafikan sebarang dakwaan bahawa pasukan itu menyembunyikan kes melibatkan kejadian tembakan senjata api yang didakwa melibatkan seorang anggota exco negeri.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh ketika dihubungi malam tadi menyifatkan perkara itu sebagai satu "dakwaan" semata-mata.

Osman bagaimanapun enggan menyatakan butiran terperinci mengenai kes berkenaan dan hanya memberitahu bahawa siasatan sedang dijalankan.

Terdahulu, MP Rasah Anthony Loke memberitahu Malaysiakini bahawa "satu sumber yang dipercayai" memaklumkan kepadanya berhubung dakwaan tembakan di rumah anggota exco itu dan cubaan untuk menyembunyikan kes berkenaan daripada pengetahuan ramai.

"Satu tembakan dilepaskan oleh anggota exco satu penggal itu (nama tidak disiarkan)," katanya yang mendakwa satu laporan polis dibuat tetapi kemudiannya ditarik balik.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan mengenai dakwaan cubaan menyembunyikan kes berkenaan atau menamakan pihak terlibat.(MK)

Kaji semula modul latihan fizikal PTD

29 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Digesa mengakaji semula modul latihan fizikal terhadap Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ekoran kejadian seorang pegawai itu meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal di Pekan, Pahang semalam.

Dalam kejadian semalam, pegawai tersebut, Aldy Hasmi Abu Hassan, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan Wataniah.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira dua tahun selepas kematian seorang pelatih PTD Norhashimah Wahid, ketika menjalani latihan ala-komando.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dengan berulangnya kematian seorang lagi anggota PTD semalam membangkitkan persoalan adakah pihak JPA benar-benar belajar daripada tragedi yang lepas dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Saya tidak mempertikaikan perlunya pegawai PTD kita cergas dari segi fizikal dan mental.

"Namun ramai peserta kursus-kursus ini mempersoalkan mengapakah perlu latihan fizikal yang terlalu mencabar berbanding dengan tugas mereka sebagai PTD," katanya.

Difahamkan, latihan modul komando telah pun diberhentikan dan prosedur operasi diubah berikutan tragedi yang berlaku terhadap pelatih wanita itu dua tahun lalu.

Berikutan tragedi yang menimpa Allahyarham Aldy Hasmi semalam pula, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa meminta aktiviti lasak bagi PTD dihentikan serta-merta.

Menurut Nik Nazmi yang juga Adun Sri Setia, JPA harus mendedahkan kepada umum sama ada kedua-dua kes Norhashimah dan Aldy merupakan kemalangan ataupun wujud elemen kecuaian.

"JPA juga harus memikirkan semula secara serius dan menyeluruh latihan buat PTD agar lebih relevan dengan keadaan semasa dan memastikan keselamatan PTD terpelihara.

"Sekali lagi ucapan takziah kepada keluarga arwah Aldy Hasmi dan Norhashimah," katanya.(HD)

Biar PAS jaga Melayu jika Umno kalah

29 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: “PAS jaga Melayu jika Umno kalah di dalam PRU13, inilah jawapan untuk Datuk Seri Najib,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, Najib selaku Presiden Umno jangan duduk perasan Umno sahaja boleh menjaga Melayu.

“Sudah 55 tahun Umno diberi peluang bukan satu masa yang pendek tetapi terbukti Umno gagal menjaga Melayu. Melayu bukan diangkat martabat, sebaliknya bertambah merempat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, bukti PAS boleh menggantikan Umno untuk menjaga orang Melayu boleh dilihat rekod pemerintahan di Kelantan yang berjaya menjelaskan hutang lapuk BN sebanyak RM220 juta daripada hutang peninggalan BN sebanyak RM718 juta.

Idris menambah, Negeri Kelantan berjaya diturunkan kadar kemiskinan daripada nombor 2 kepada 6.

“Sebelum Umno hendak mendabik dada mereka yang jaga Melayu, Umno tolong jawab terlebih dahulu tuduhan ini.

“Bukankah Umno yang menghilangkan 1.3 juta hektar tanah rezab Melayu selepas merdeka?” katanya.

Katanya lagi, Umno yang menyekat 118 projek ke Kelantan sejak 1991 (RMK6).

“Kenapa Umno yang berkuasa tidak menambah kerusi di Kelantan dan Terengganu pada PRU 2004?” tanya beliau lagi.

Beliau berkata, Umno mesti bertanggungjawab terhadap kehilangan saham bumiputera sebanyak RM52 bilion.

“Najib janganlah duduk ulang pita rakaman lama bila berhadapan pengundi Melayu, kononnya DAP yang akan dominan dalam PR manakala Soi Lek, Presiden MCA bila bercakap dengan orang Cina, kata Pas yang akan menguasai PR. Mana satu yang benar, atau kedua-dua pembohong besar” ujarnya.

Katanya, Umno hanya memainkan isu Melayu apabila sokongan politik semakin terhakis dengan meniupkan sentimen kononnya umno pembela Melayu.

Baginya, DAP dijadikan kambing hitam kononnya menindas Melayu dan Islam walaupun hakikatnya telah dibuktikan dengan fakta di Pulau Pinang, banyak projek diperolehi oleh kontraktor Melayu sedangkan yang menangis ialah kontraktor Umno yang menjadi broker dan makan komisyen.

Faktanya, kata Idris kontraktor Melayu dapat 100% daripada nilai projek JPS dan 98% daripada nilai projek JKR yang di bawah kendalian kerajaan negeri.

Jeklas Idris lagi, ertinya Melayu mampu, yang tidak mampu hanya Melayu Umno.

“Peruntukan untuk Jabatan Agama Islam Pulau Pinang semasa zaman Umno hanya RM12.5 juta telah meningkat zaman YAB Lim Guan Eng sebanyak RM64 juta (2012),” katanya.

Beliau menambah, hampir lima tahun DAP yang memerintah Pulau Pinang, tidak ada sebuah masjid dan surau diroboh sebaliknya ketika Umno memerintah Selangor, Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Surau al-Rahmah Seksyen 8, Surau Puchong Perdana ditutup manakala Masjid Bujal, Kemaman dan Surau Kampung Berembang Ampang diruntuh.

Pemimpin Pakatan tandatangan Deklarasi Kuching


29 Syawal 1433H. [MOD] - Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat hari ini menandatangani Deklarasi Kuching yang menggariskan janji gabungan parti itu untuk meningkatkan kualiti hidup warga Sabah dan Sarawak dan menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

Deklarasi berkenaan ditandatangani ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua parlimen DAP Lim Kit Siang di Chong Ling Park, Kuching petang ini.

Deklarasi tujuh perkara itu, diumumkan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, antara lain menggariskan janji Pakatan sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13. (MK)

Ribuan demo anti-polisi kerajaan di Sepanyol

29 Syawal 1433H. [MOD] - MADRID: Ribuan penunjuk perasaan berhimpun tengah hari Sabtu lalu di sepanjang jalan-jalan utama ibu kota Sepanyol membantah tindakan kerajaan yang ingin mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan menaikkan cukai, dalam satu usaha mengelakkan jaminan kewangan.

"Kami mahu mengatakan secara kuat dan jelas kepada kerajaan bahawa kami tidak bersetuju, kerana polisi ini akan menyebabkan kerosakan yang terlalu banyak, dan kami tidak akan berdiam diri kerana kami percaya adanya alternatif," ucapan Ketua Kesatuan Sekerja CCOO, Ignacio Toxo semasa perhimpunan tersebut.

Demonstrasi ini berlangsung selepas Menteri Ekonomi, Luis de Guindos berkata bahawa kos pinjaman Sepanyol masih tidak mencerminkan pelarasan ekonomi dan fiskal negara tersebut, walaupun baru melaksanakan pelonggaran ekonomi baru-baru ini.

Selepas mesyuarat tidak rasmi menteri kewangan Kesatuan Eropah di Nicosia, Cyprus, De Guindos ditanya tentang kadar faedah yang sesuai untuk Sepanyol.

Beliau menjawab: "Kami percaya dengan usaha kerajaan Sepanyol dari segi komitmen terhadap pelarasan fiskal dan reformasi ekonomi, risiko premium sepatutnya lebih rendah [dari tahap semasa]."

Julai lalu, kerajaan konservatif pimpinan Mariano Rajoy menghapuskan bonus Krismas tahunan untuk pekerja awam, yang menyebabkan pengurangan sebanyak tujuh peratus dalam gaji tahunan.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah penjimatan bernilai EUR102billion (RM406billion) yang akan dilaksanakan sebelum 2014 untuk mengurangkan defisit awam Sepanyol.

Penganjur demonstrasi mendakwa langkah-langkah penjimatan kerajaan hanya melibatkan kelas menengah dan rendah dan bukannya golongan kaya serta syarikat-syarikat besar. Mereka mahu diadakan referendum terhadap langkah-langkah penjimatan itu.(HD)

Hina nabi: Pope temu pemimpin Islam di Lubnan

29 Syawal 1433H. [MOD] - BEIRUT: Pope Benedict XVI akan bertemu dengan pemimpin masyarakat Islam di Lubnan Sabtu ini, dalam lawatan yang bertujuan merapatkan jurang antara Kristian dan Muslim di Timur Tengah.

Pertemuan dijangka berlaku dalam suasana yang memilukan selepas insiden keganasan yang membawa maut apabila umat Islam membantah filem Amerika Syarikat yang menghina Islam.

Pope yang tiba di Lubnan Jumaat lalu untuk lawatan tiga hari, akan melawat istana presiden di Beirut dan bertemu Presiden Michel Sleiman, seorang Kristian Maronite.

Sebelum pertemuan beliau dengan pemimpin Islam, beliau akan bertemu Perdana Menteri Nagib Mikati, seorang Ahlus Sunnah wal Jamaah, dan speaker parlimen Nabih Berri, seorang Syiah.

Lubnan mempunyai tradisi yang tidak bertulis tetapi diikuti dengan ketat bahawa tiga jawatan tertinggi sentiasa dikhaskan untuk ahli komuniti kepercayaan masing-masing.

Pope juga akan menyampaikan ucapan kepada para pembesar Lubnan tentang ciri persamaan antara Kristian dan Islam iaitu agama keamanan.(HD)

Jangan hanya pentingkan keselamatan orang asing A

29 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Jangan hanya pentingkan keselamatan orang asing sahaja tetapi utamakan keadaan keselamatan dalam negara ini.

Demikian pesanan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin sebelum itu menyatakan, kementeriannya akan memantau keselamatan Kedutaan Amerika Syarikat di negara ini dan juga pihak lain bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku berikutan penayangan filem 'Innocence of Muslims' yang menghina Islam.

"Jangan jaga keselamatan orang luar sahaja, kalau pun tak mahu jaga keselamatan pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) utamakan keadaan keselamatan dalam negara yang (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri) Mustapa Mohamed sendiri akui membimbangkan para pelabur," kata Mahfuz sambil merujuk kepada kenyataan Hishammuddin yang dilihat menolak untuk memberi jaminan keselamatan untuk pemimpin PR.

Ketika ditanya terhadap jaminan keselamatan terhadap PKR di Johor memandangkan sudah tiga kali bas jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang dan disimbah cat, Hishammuddin berkata, "Tak payah jaminan, yang akan tentukan (penerimaan terhadap PKR) orang Johor itu sendiri".

Mahfuz menyifatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri itu bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan.

"Keselamatan semua rakyat di jamin di dalam undang-undang dan perlembagaan dan kerajaan yang memerintah mesti memastikan keselamatan semua rakyat tanpa sebarang diskriminasi.

"Kalau sebelum ini, Umno Barisan Nasional (BN) mendiskriminasikan rakyat dari segi pembanguna kerana dendam politik, nampaknya hari ini dalam soal keselamatan pun rakyat terpaksa hadapi diskriminasi Umno BN," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau juga menjangkakan piolitik Malaysia akan makin ganas berikutan kenyataan Hishammuddin itu. (HD)