06 April 2013

PRU13: PAS Perak isytihar calon 9 April

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


IPOH: PAS Perak akan mengsiytiharkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan  raya Umum ke-13 (PRU13) nanti pada 9 April ini.


Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussien berkata, pengisytiharan tersebut akan dibuat dalam satu majlis di Pasir Panjang, Manjung.

Katanya, setakat ini proses pemilihan calon sudah selesai 100 peratus dan tidak ada sebarang masalah yang timbul.

“Pemilihan calon selesai tanpa sebarang masalah dan jika tidak ada aral yang melintang PAS Perak akan mengisytiharkan pada 9 April ini di Pasir Panjang, Lumut,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat PAS Perak.

Mengulas lanjut, Ustaz Abu Bakar menggesa semua ahli serta penyokong PAS dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihanraya.

Katanya, dalam masa yang ada ini, semua pihak berperanan besar untuk membantu menarik sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat itu sendiri.

Semua ahli juga, katanya hendaklah sentiasa bersama-sama rakyat dan berusaha memberi kefahaman yang jelas tentang perjuangan PAS untuk menegakkan kalimah Allah di Negara ini.

Ujarnya, manifesto yang ditawarkan hendaklah disebar luaskan kepada semua masyarakat pelbagai khususnya golongan atas pagar dan orang Umno.

“Yang diberi amanah hendaklah bekerja lebih kuat manakala yang tidak berjawatan juga mempunyai tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej dan maklumat kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Dalam suasana pilihanraya ini, beliau meminta supaya semua ahli dan pendokong mendekatkan diri kepada Allah dengan mengadakan munajat dan solat hajat kepada Allah agar memberi perlindungan kepada semua jentera.

“Semua ahli PAS juga diseru mengadakan qunut nazilah dan solat hajat supaya Allah jauhkan diri kita daripada sebarang ancaman, kezaliman dan pihak yang berusaha untuk melakukan huru-hara dan penganiayaan,” jelasnya.

Harakahdaily/-

Tempoh 'berpantang' dari media arus perdana

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


TEMERLOH: Rakyat Malaysia digesa agar 'berpantang' dari mengikuti berita arus perdana khsusnya saluran televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima sepanjang tempoh pilihan raya ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar berkata, ini kerana media berkenaan kini sepenuhnya menjadi media propaganda yang berkempen untuk BN.

Ianyanya termasuk juga media cetak lain seperti Utusan Malaysia dan lain-lain yang sejak sekian lama berkempen untuk BN.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan berita yang disajikan oleh media berkenaan, kini sepenuhnya dikendalikan oleh pasukan gerak saraf BN.

Menurutnya, rakyat biasa wajar menolak media berkenaan yang bertopengkan media bebas tetapi sebenarnya dikuasai sepenuhnya oleh BN.

“Rakyat wajar tidak memperdulikan media propaganda ini untuk tempoh kempen pilihan raya ini sahaja kerana selepas itu ia akan kembali seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi ruang kepada perti-parti politik yang bertanding pada PRU13 untuk membentangkan manifesto mereka di saluran RTM.

Bagaimanapun, kerajaan mengenakan syarat bahawa ianya akan dibuat secara rakaman dan akan diedit mengikut kesesuaian kerajaan untuk siaran hanya 10 minit.

Ekoran syarat itu, Pakatan Rakyat berpendapat pelawaan kerajaan itu tidak ikhlas dan hanya sebagai cuba menunjukkan kerajaan BN mengamalkan prinsip kebebasan media kepada mata dunia.

Sehubungan itu, semua parti dalam Pakatan Rakyat menolak pelawaan tersebut.

Harakahdaily/-

Kemunculan selesema burung di China dijangka naikkan pasaran getah

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR — Kemunculan selesema burung di China dijangka menaikkan pasaran getah pada minggu depan, kata seorang peniaga.
Katanya permintaan mendapatkan sarung tangan getah penjagaan kesihatan akan meningkat berikutan kemunculan penyakit itu.

“Kemunculan mana-mana penyakit yang menular akan memberi tekanan besar pada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sekali gus meningkatkan permintaan mendapatkan sarung tangan getah,” katanya.
Katanya pasaran getah Malaysia akan turut menjejaki pergerakan harga getah di Bursa Komoditi Tokyo pada minggu depan.
Berasaskan minggu ke minggu, harga rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 turun 57.5 sen kepada 787 sen sekg pada Jumaat berbanding 844.5 sen sekg pada Khamis minggu lepas.
Pasaran getah ditutup pada Jumaat lepas berikutan cuti Good Friday. Harga lateks pukal turun 21.5 sen kepada 595 sen sekg berbanding 616.5 sen sekg.
Harga penutup penjual tidak rasmi bagi gred tayar SMR20 turun 68 sen kepada 764 sen sekg berbanding 832 sen sekg minggu lepas manakala harga lateks pukal turun 24 sen kepada 591.5 sen sekg berbanding 615.5 sen sekg sebelum ini. — Bernama

Gempa 5.8 magnitud gegar sempadan China-Russia

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


BEIJING: Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud melanda sempadan China-Russia kira-kira jam 8.29 pagi (waktu tempatan Beijing), demikian menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).

Menurut agensi berita tempatan Xinhua, gempa berlaku pada kedudukan 42.8 darjah latitud utara dan 131.1 darjah longitud timur manakala pusat gempa dicatatkan berlaku pada kedalaman 570 kilometer. 



Ia berlaku kira-kira sembilan kilometer di sempadan China dan kira-kira 60 kilometer di bandar Huichun, timur laut wilayah Jilin. 

Gempa berukuran 6.5 magnitud turut melanda kawasan sama jam 9 malam semalam waktu tempatan.

Tiada kematian atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini. - BERNAMA

MB Kedah sifatkan insiden jatuh ‘petanda baik’

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Azizan Abdul Razak

Azizan
ALOR SETAR - Spekulasi Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kembali sakit selepas jatuh kelmarin di Kuala Lumpur, terjawab apabila beliau kelihatan sihat ketika hadir di Istana Anak Bukit bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dun Kedah.

Beberapa akhbar dan blog kelmarin melaporkan, mengenai Azizan dikatakan jatuh ketika menuruni anak tangga selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di Petaling Jaya.

Malah ada yang mendakwa Azizan kini nazak dan kembali sakit sejurus kejadian itu.

Azizan ketika ditanya perkara itu sebaliknya hanya ketawa kecil, sambil menyifatkan ‘itu petanda baik’.

“Orang nak menang pilihan raya memang macam tu, pijak anak tangga kedua terus, langkau satu anak tangga,” katanya.

Menurutnya, beliau tergelincir kerana anak tangga itu diperbuat daripada batu marble, menyebabkan pandangannya terganggu.

“Saya tergelincir sahaja. Kereta empat tayar pun boleh terbalik, takkan manusia dua kaki jatuh pun jadi isu. Saya tidak biasa dengan tempat tu, nampak sahaja kereta, terus pijak langkau anak tangga. Ada pula tulis saya pengsan, tak betul tu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Azizan menuruni tangga ibu pejabat PKR menuju ke kenderaannya tetapi tiba-tiba tersadung sesuatu lalu hampir terjatuh.

Sinar/-

Hangus sekelip mata

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Hangus sekelip mata

Pihak bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke rumah-rumah.
Hangus sekelip mata

Rumah yang hanya tinggal arang sahaja.
Hangus sekelip mata

Zaituni bersama anak-anaknya tidak dapat menahan sebak melihat rumah mereka terbakar.
Hangus sekelip mata

Api yang masih lagi marak di rumah salah seorang mangsa.
KUANTAN – Sebanyak lapan buah rumah termasuk kedai dan sebiji kereta kancil musnah sekelip mata dalam kejadian kebakaran di Kampung Haji Ali Batu 6,Jalan Gambang di sini kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Ketika kejadian, seorang ibu hamil empat bulan, Zaituni Radimus Ali Ahmad, 40, cemas mencari anak bongsunya yang ditinggalkan di rumah jiran sebelah yang turut terbakar dalam kejadian tersebut.

“Sejurus dimaklumkan rumah kami terbakar, tiada apa yang terbayang di minda saya melainkan keselamatan dan nyawa anak bongsu, Mohd Haikal Mohd Saipul, 6 yang ditinggalkan bersama jiran kerana saya pagi itu daya pergi ke Klinik Kesihatan Jaya Gading untuk melakukan pemeriksaan di sana.

“Sebaik sahaja sampai, saya bertambah panik apabila melihat asap dan api yang marak serta pada masa yang sama saya masih belum menemui Mohd Haikal. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu,” kata Zaituni yang berasal dari Indonesia.

Ibu enam anak ini berkata, ketika kejadian suaminya, Mohd Sipul Mohd Nor, 31 tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu lori di Kemaman, Terengganu, manakala tiga anaknya bersekolah selebihnya sedang bekerja.

Lebih menyedihkan, salah seorang anak Zaituni, Nor Aliza Ramidus,17 yang baru sahaja memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam SPM tidak sempat menyelamatkan sijilnya itu yang turut menjadi abu.

Dalam kejadian membabitkan lapan buah rumah itu, tiga daripadanya dan sebuah kedai makan serta sebuah kereta Perodua Kancil dijilat api menyebabkan semua penghuninya tinggal sehelai sepinggang.


Hanya tinggal arang

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Omar Yaakob, 56 berkata ketika kejadian dia berada di luar bersarapan bersama keluarga dan bergegas pulang sejurus dimaklumkan rumah mereka terbakar.

“Sebaik sahaja sampai, saya lihat rumah saya hanya tinggal arang sahaja, tiada satu barang pun yang sempat diselamatkan.

“Sudah hampir 40 tahun saya tinggal di sini, bukan sahaja rumah yang terbakar, segala kenangan lama saya juga musnah dijilat api menyebabkan saya kini tinggal sehelai sepinggang.

“Selain itu, saya baru sahaja mengemas bilik untuk menyambut kepulangan cucu baru ke rumah ini, namun semua persiapan juga turut musnah,” katanya.

Justeru, Omar berharap agar nasib kesemua mangsa kebakaran di sini mendapat perhatian segera daripada pihak atasan bagi memulakan hidup baru semula.

“Bermula hari ini, kami sudah tidak mempunyai apa-apa. Sudahlah tempat tinggal terbakar dan kini hanya boleh menumpang rumah saudara sahaja.

“Oleh itu, saya berharap agar kami masih boleh teruskan hidup untuk hari-hari yang mendatang dan kejadian hari ini hanya mimpi semata-mata untuk kami terus tabah,” katanya.


Bomba ambil masa 45 minit

Sementara itu, Penguasa Bomba (Bahagian Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Alimaddia Bukir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 10.15 pagi sebelum membuat hebahan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas untuk meminta ke tempat kejadian.

“Bagaimanapun, kita dapati kebakaran terbabit merebak ke rumah berhampiran lalu mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Bandar Indera Mahkota dan Gebeng bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 32 anggota dan lima jentera.

“Kita terpaksa mengambil masa selama 45 minit untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran selain sempat menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikatakan berada seorang diri di dalam rumah selepas ditinggalkan ibunya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan meminta bantuan daripada Bahagian Penyiasatan Kebakaran negeri (BPK) untuk membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang didakwa api mula merebak melalui salah sebuah rumah penduduk.

Katanya, siasatan awal mendapati, faktor cuaca yang panas serta angin turut dipercayai menjadi salah satu penyumbang berlakunya kebakaran berkenaan sehingga memusnahkan lapan buah rumah termasuk kedai dan sebuah kereta Perodua Kancil tidak sempat diselamatkan.

Alimaddia berkata, bagaimanapun, jumlah kerugian setakat ini berkemungkinan dianggarkan lebih daripada RM100,000 namun siasatan akan terus dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian.

Sinar/-

Zaid jelaskan kenapa Melayu mesti undi Pakatan

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Setelah lama berdiam diri, bekas defakto Menteri Kehakiman, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) menulis dan meminta orang Melayu mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini.

"Kepada mereka (orang Melayu), saya cadangkan, inilah peluang anda untuk mendapat kerajaan baru.

"Kerajaan baru akan membolehkan anda membuat perbandingan antara yang ada sekarang dengan yang baru," tulis Zaid dalam blognya.

Menurut Zaid, rakyat telah diberitahu dari masa ke semasa bahawa hanya Umno dan BN boleh memerintah dan melindungi mereka.

"Adalah lebih baik anda sendiri mengesahkan perkara ini. Macamana kita tahu Pakatan akan terlebih buruk dari Umno kalau kita tidak bagi mereka peluang?" kata Zaid.

Bagi Zaid, rakyat negara ini khasnya orang Melayu tidak patut membiarkan mereka dibuli sentiasa.

"Parti pembangkang yang ada sebenarnya mempunyai Melayu lebih ramai berbanding BN, jadi mereka tidak akan menyusahkan anda," katanya.

Katanya, mereka (Pakatan Rakyat) telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan layak diberikan peluang.

"Apa yang pasti, anda akan mendapat sekolah yang lebih baik, guru yang lebih baik untuk anak anda (kerana mereka lebih memberikan masa untuk mengajar dari berpolitik) dan juga suasana yang lebih selamat dari polis dan tentera.

"Hatta, pendapatan anda akan meningkat dari kerajaan yang dipimpin oleh mereka yang kurang rasuahnya," jelas Zaid lagi.

Zaid juga berkata, rakyat tidak akan rugi apa-apa dengan mengundi pembangkang.

"Jika pembangkang lebih kuat dengan undi anda tetapi BN tetap menang, anda akan mendapat lebih banyak wang tunai yang akan diberi sebagaimana yang mereka janji.

"Wang dan projek hanya diberikan kepada anda kerana pembangkang kuat, jika pembangkang lemah, tentu anda tidak akan mendapat BR1M 1 dan 2.

"Adalah jelas, jika anda mahukan lebih dari BN, anda undi pembangkang. Belajarlah menghargai undi anda untuk memperbaiki hidup anda," tegas Zaid.

Harakahdaily/-

50 jam siapkan kasut berlian

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


50 jam siapkan kasut berlian

Kepuasan terpancar di wajah Wilson dan Hutchings ketika lelongan kasut berlian di New Zealand.
50 jam siapkan kasut berlian

Ratusan berlian digunakan untuk menyaluti sepasang kasut.
Sepasang kasut bertumit tinggi bertatahkan berlian asli bernilai £276,000 (RM1.3 juta) muncul sebahagian aksesori wanita paling mahal di dunia.

Perekanya, Kathryn Wilson berasal dari New Zealand berkata, penghasilan kasut berlian itu diilhamkan oleh Pengarah Auckland’s Orsini Fine Jewellery, Sarah Hutchings dengan menyediakan berlian bermutu kepadanya.

"Proses menyiapkan sepasang kasut ini memerlukan ketelitian bagi mengelakkan berlian bercalar atau tertanggal," katanya yang dipetik dari laporan MailOnline

Wilson berkata, impiannya untuk menghasilkan kasut idaman jutaan wanita menerusi kisah dongeng Cinderella akhirnya tercapai.

"Saya terpaksa menghabiskan lebih 50 jam semata-mata mahu menghasilkan sepasang kasut eksklusif ini yang menggunakan lebih 21.18 karat berlian, labuci dan perhiasan lain yang bermutu," katanya.

Bagaimanapun, kasut paling cantik dan mahal itu sebenarnya dihasilkan khusus untuk majlis lelongan amal di Ronald McDonald, New Zealand dan jumlah bidaan mencecah NZD$22,000 (RM57,000) bagi membantu keluarga miskin dan pesakit kronik.

Sinar/-

Abdul Ghani lawan Kit Siang?

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Abdul Ghani Othman

Abdul Ghani Othman
LEDANG - “Tak mau, tak mau...nantilah," kata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang enggan mengulas lanjut ketika ditanya spekulasi beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU13.

Beliau kemudian meninggalkan pihak media sebelum masuk menunaikan solat Jumaat di Masjid  Batu 18, Sengkang, Bukit Gambir  dekat sini, semalam.

Terdahulu kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, Abdul Ghani melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sengkang dan PDM Parit Babok,  diiringi bekas Ahli Parlimen Ledang, Ir  Hamim Samuri dan Ketua Pemuda Umno  Ledang, Zaidi Abd. Majid.

Kelmarin, akhbar tempatan melaporkan beberapa pemimpin Umno di peringkat negeri mencadangkan Abdul Ghani bertanding di Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Abdul Ghani dikatakan sebagai calon paling sesuai untuk bertanding di kawasan  itu yang merupakan sebahagian daripada Iskandar Malaysia yang dibangunkan dan dilancarkan semasa di bawah pentadbirannya.

Di Skudai, MCA seakan memberi laluan malah tidak menolak kemungkinan Abdul Ghani bakal bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi lek berkata, belum ada sebarang keputusan mengenai isu pertukaran kerusi di Parlimen milik MCA itu diperbincangkan.

“Perbincangan di kalangan pemimpin komponen BN akan diadakan, keutamaan kita adalah untuk menang dan mampu pertahankan kerusi yang disandang.

“Kita yakin pengundi mahukan calon yang mempunyai rekod yang baik. Abdul Ghani mempunyai ‘track record’ yang terbukti sebagai menteri besar yang diterima oleh semua kaum,” katanya.

Soi Lek menggesa masyarakat negeri ini khususnya di Gelang Patah agar tidak terpedaya dengan hasutan pembangkang seterusnya memberi sokongan terhadap calon BN dengan berpegang kepada semangat gagasan 1 Malaysia.

“Berdasarkan ramalan DAP, mereka yakin mampu memperolehi 85 peratus sokongan kaum Cina kerana jumlahnya di Parlimen Gelang Patah telah mencecah lebih 53 peratus. DAP sudah memperolehi 45 peratus undi daripada masyarakat Tiong Hua.

“Untuk menang di Gelang Patah, DAP berpendapat hanya memerlukan lima peratus daripada sokongan kaum Melayu dan India. Bagi memperolehi undi pengundi Melayu mereka mengharap Pas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan berhubung isu calon hanya akan diputuskan di peringkat Pusat.

“Saya enggan ulas, sama ada ia benar Abdul Ghani bertanding di peringkat Parlimen sekali gus ke federal. Biar pucuk pimpinan Pusat tentukan,” katanya.

Sinar/-

Rejim Israel semakin biadab

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Rejim Israel semakin biadab

Ribuan penduduk Palestin menghadiri pengebumian Amer Nasser serta Naji Balbisi di Anbata, Tebing Barat, kelmarin.
Rejim Israel semakin biadab

Ribuan penduduk Palestin menghadiri pengebumian Abu Hamdiyeh di Hebron. Gambar kecil: Abbas.
RAMALLAH - Presiden Palestin, kelmarin menegaskan Israel semakin biadab dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketegangan di Tebing Barat.

Mahmoud Abbas berkata, rejim Zionis seperti sengaja mencetuskan huru-hara di wilayah Palestin dengan tindakan membunuh dua penunjuk perasaan di Tulkram, Rabu lalu.

"Israel mahu menggugat keselamatan di Palestin dengan cara menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan walaupun protes itu dilakukan secara aman. Ia sememangnya tidak boleh diterima," jelasnya yang dipetik dari laporan AP.

Abbas memaklumkan beliau menangguhkan secara sementara tindakan sebelah pihak yang akan diambil ke atas Israel bagi memberi peluang kepada rundingan damai antara kedua-dua negara tersebut.

Palestin memberikan tempoh selama dua bulan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry untuk memastikan usaha itu berjaya kerana beliau dijangka mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

Difahamkan, sepanjang masa itu, kepimpinan Palestin tidak akan membuat tuntutan baru kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mendakwa Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Mereka turut memberi amaran, jika Israel gagal untuk menghentikan projek penempatan haram Yahudi, Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak teragak-agak untuk mengambil langkah seterusnya.

"Projek pembangunan E1 jelas melangkaui garis sempadan yang dilihat sebagai punca utama kegagalan penyelesaian politik dua negara ini," jelasnya.  
   
Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes besar-besaran selepas menghadiri pengebumian dua remaja yang ditembak mati selepas mereka melempar bom  petrol ke arah tentera rejim Zionis.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan keadaan kembali reda menjelang malam.

Sehari sebelum itu, kira-kira 4,500 tahan Palestin juga nekad mogok lapar selama tiga hari dalam protes terbaru susulan daripada insiden kematian Maysara Abu Hamdiyeh, 64, yang meninggal dunia akibat barah tekak.

Sejak Selasa lalu, penduduk Palestin mengadakan demonstrasi mengutuk tindakan sambil lewa Israel kerana tidak memberikan rawatan sepatutnya kepada Abu Hamdiyeh walaupun mereka sedar keadaan kesihatannya semakin buruk.

Sinar/-

13 penumpang maut, bas hilang kawalan jatuh di Banjaran Peru

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


LIMA: Sekurang-kurangnya 13 penumpang maut apabila bas yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum jatuh dari Banjaran Peru, iaitu berdekatan sempadan Bolivia. 

Pegawai Polis Daerah Puno, Amador Vilca berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan 14 penumpang lain cedera selepas ia terjatuh pada ketinggian 80 meter, lebuh raya Banjaran itu. 

Punca kemalangan difahamkan, katanya, adalah kegagalan pemandu bas berkenaan mengawal pemanduannya ketika mengambil satu selekoh di lebuh raya yang berdekatan dengan bandar Iskaycruz. - AFP 

Insiden Lahad Datu: ‘Biar mati daripada ditawan’

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Insiden Lahad Datu: ‘Biar mati daripada ditawan’

Almasi menunjukkan tempat dia dan abangnya mengambil kedudukan sebelum melakukan serangan ke atas lelaki bersenjata itu.
SEMPORNA - “Apa nak jadi, jadilah.... Kalau mati... matilah aku hari ini,” kata Almasi Ansyah, 27, wira Kampung Senallang Lama yang mula-mula menerkam pengganas Kiram bersama abangnya, Boi Ansyah, 29, dalam kejadian penduduk kampung itu ditawan seorang lelaki, 3 Mac lalu.
 
Menceritakan peristiwa pagi Ahad itu, Almasi bersama 200 penduduk Kampung Senallang Lama dikejutkan dengan teriakan seorang lelaki yang berusia 50-an, ‘akulah yang menembak mati polis malam tadi’ yang turun dari arah sebuah bukit sambil membawa raifal M16 memerintahkan penduduk kampung berhimpun di dalam masjid.
 
Ansyah yang sedikit pendiam berkata, di dalam masjid kampung itu, lelaki tersebut dilihat menelefon seseorang berkemungkinan rakannya yang juga pengganas Kiram.
 
“Kami menjadi takut melihat lelaki itu seperti tidak waras dan mengarahkan kami semua keluar dari rumah dan berkumpul di masjid.

“Kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan... lebih-lebih lagi lelaki separuh abad itu melepaskan satu das tembakan ke lantai,” katanya.
 
Menurutnya, lebih kurang sejam dikurung, penduduk kampung tersebut kemudiannya diarahkan berjalan menuju ke sebuah bukit kira-kira satu kilometer dari masjid itu tanpa ada sikit pun belas kasihan.
 
Katanya, ada orang tua dan kanak-kanak tidak larat berjalan dipaksa berjalan sejam lamanya sehinggalah tiba di sebuah pondok di kaki bukit yang tingginya kira-kira 300 meter.
 
“Saya lihat lelaki itu duduk di bawah pokok nangka seperti menunggu rakannya dan ketika itulah saya bersama abang dan seorang lagi penduduk kampung, Mohd Saparudin Abdul Hatam mula merancang untuk bertindak.
 
“Kami mengambil kedudukan masing-masing di mana saya duduk di hadapan sebelah kiri, abang saya di sebelah kanan dan Saparudin di belakang menunggu peluang untuk melakukan serangan,” katanya.
 
Almasi berkata, tidak berapa lama selepas itu, lelaki yang mengacukan M16 ke arah orang kampung meneguk minumannya dan ketika anggota pengganas Kiram itu hendak meletakkan botol minuman, ketika itulah dia dan abangnya serentak menyerang lelaki tersebut.
 
“Mujurlah saya dapat merampas senjata di tangannya, manakala abang saya dapat melepaskan tumbukan ke arah mukanya, manakala Saparudin menendang dari arah belakang sehingga dia rebah.
 
“Apabila rebah, penduduk kampung yang ketakutan pada mulanya, terus menyerang dan memukul lelaki itu dengan kayu dan batu... malah wanita dan kanak-kanak juga turut memukul pengganas Kiram itu seperti melepaskan marah,” katanya.
 
Menurutnya, tidak berapa lama selepas itu lelaki tersebut tidak lagi bergerak dan apabila diperiksa lelaki itu sudah tidak lagi bernyawa menyebabkan penduduk kampung yang ditawan melarikan diri dan segera melaporkan kejadian itu kepada polis.
 
Ketika ditanya apa menyebabkan dia berani bertindak sedemikian, Almasi berkata, dia yang pada awalnya takut, secara tiba-tiba menjadi berani apabila melihat kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan.
 
Menurutnya, mujurlah rancangan mereka untuk menyerang lelaki itu berjaya dan sekiranya gagal mungkin ramai penduduk yang menjadi korban pengganas Kiram yang sehari sebelum itu membunuh enam anggota polis dalam satu serang hendap di Kampung Air Simunul.
 
“Selepas kejadian itu, ramai penduduk kampung melarikan diri kerana bimbang rakan-rakan lelaki itu datang semula dan membalas dendam sehinggalah pasukan keselamatan mengisytiharkan kampung itu selamat,” katanya.
 
Sementara itu, Saparudin melahirkan kesyukuran kerana terselamat dalam insiden itu, namun mereka masih lagi risau dan mengharapkan pihak polis meningkatkan kawalan di kampung itu.
 
“Jarak kampung ini dengan Simunul bukannya jauh sangat, kami bimbang tentang keselamatan anak isteri kami yang masih trauma dengan kejadian tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memuji keberanian penduduk kampung melawan pengganas bersenjata yang ceroboh kampung mereka.

Sinar/-

Perompak bocor rahsia

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Perompak bocor rahsia

Sharifuddin bersama Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff (kiri) dan Mohd Nayan menunjukkan rampasan terbaru daripada suspek.
KUANTAN - Sepucuk pistol jenis Norinco semi auto 9 mm kaliber bersama kelopak dan enam butir peluru ditemui dalam sebuah beg yang disorok dalam semak belakang sebuah rumah di jalan pintasan ke Taman Astaka Village, Jalan Tanjung Lumpur di sini, 2 April lalu.

Penemuan senjata api buatan China itu susulan siasatan lanjut ke atas salah seorang daripada empat suspek yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan bersenjata api ke atas tujuh sekeluarga di Taman Ceria di sini, 27 Mac lalu.

Suspek berusia 41 tahun itu mendedahkan dia menyembunyikan pistol itu di belakang rumah sewanya selepas disoal siasat kira-kira jam 9.30 pagi hari yang sama.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, susulan maklumat itu, siasatan dijalankan sebelum menemui sebuah beg dalam belukar yang mengandungi senjata api berserta peluru itu.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan  termasuk mengenal pasti kemungkinan pistol itu pernah digunakan untuk tujuan jenayah lain.

“Bagaimana pun, polis tidak menemui sebarang harta curi di lokasi penemuan pistol tersebut,” katanya di sini, semalam.

Pada 28 hingga 30 Mac lalu,  suspek bersama tiga rakannya ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes rompakan bersenjata api yang dilaporkan berlaku di daerah ini.

Susulan penahanan suspek berusia antara 37 hingga 41 berasal dari sekitar Kuantan dan Selangor itu, polis menemui dan merampas sepucuk pistol jenis Revolver, sebilah parang dan 10 butir peluru hidup.

Turut ditahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah pusat hiburan di sini kerana didapati menyimpan peluru hidup bagaimana pun lelaki itu  menafikan terlibat dalam kejadian samun tersebut.

Shaifuddin berkata, pihaknya percaya beberapa kes samun bersenjata api yang dilaporkan di daerah ini sejak tahun lalu berjaya diselesaikan berikutan penahanan empat suspek terlibat.

Sinar/-

Kerajaan sementara: Pulang semua kemudahan termasuk kenderaan

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Semua pegawai kerajaan negeri Selangor mesti memulangkan kemudahan milik kerajaan negeri melainkan untuk tujuan rasmi termasuk semua kenderaan rasmi dan aset kerajaan negeri semasa kerajaan sementara.

Peraturan tegas itu terkandung di dalam surat pekeliling Selangor yang dikeluarkan pada 19 Februari - menggariskan agar tiada polisi baru, kontrak, projek pembangunan mahupun perlantikan jawatan dibuat semasa menjadi Kerajaan Sementara. 

Ia melambangkan Pakatan Rakyat komited menguruskan Kerajaan Sementara secara telus selepas pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri Rabu lalu.

Harakahdaily/-

Pemuda Pas sambut baik Mat Sabu tanding di Pendang

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Mohamad Sabu

Mohamad Sabu
ALOR SETAR – Pemuda Pas Pendang menyambut baik kenyataan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu untuk bertanding di Kedah, khususnya di Parlimen Pendang.

Ketuanya, Muhd Fuzi Saad berkata, pihaknya gembira dengan kenyataan tersebut memandangkan beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ amat disegani masyarakat setempat.

“Pada Pemuda, kita terima siapa saja calon yang telah diputuskan pusat dan akan terus menggerakkan kerja lebih serius untuk mengekalkan kemenangan Pas di Pendang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Pemuda Pas juga telah mengatur pelbagai pendekatan yang melibatkan rakyat untuk merapatkan lagi hubungan kepimpinan Pas di peringkat akar umbi secara berterusan.

“Alhamdulillah, respons yang kami perolehi terutama dari penduduk Pendang amat positif. Dalam masa sama, memberi keyakinan untuk Pas terus kekal di kawasan Pendang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan kemungkinan Mat Sabu akan bertanding di kerusi Parlimen Pendang pada PRU13.

Katanya lagi, pihaknya juga tidak akan menolak siapa sekalipun calon yang telah diputuskan oleh pusat untuk bertanding, sebaliknya akan terus menyokong dan membantu memenangkan Pas di Pendang.

“Kita akan ikut arahan pusat. Tidak kisah siapa pun calon, asalkan Pas menang,” katanya.

Sinar/-