06 April 2013

Zaid jelaskan kenapa Melayu mesti undi Pakatan

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Setelah lama berdiam diri, bekas defakto Menteri Kehakiman, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) menulis dan meminta orang Melayu mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini.

"Kepada mereka (orang Melayu), saya cadangkan, inilah peluang anda untuk mendapat kerajaan baru.

"Kerajaan baru akan membolehkan anda membuat perbandingan antara yang ada sekarang dengan yang baru," tulis Zaid dalam blognya.

Menurut Zaid, rakyat telah diberitahu dari masa ke semasa bahawa hanya Umno dan BN boleh memerintah dan melindungi mereka.

"Adalah lebih baik anda sendiri mengesahkan perkara ini. Macamana kita tahu Pakatan akan terlebih buruk dari Umno kalau kita tidak bagi mereka peluang?" kata Zaid.

Bagi Zaid, rakyat negara ini khasnya orang Melayu tidak patut membiarkan mereka dibuli sentiasa.

"Parti pembangkang yang ada sebenarnya mempunyai Melayu lebih ramai berbanding BN, jadi mereka tidak akan menyusahkan anda," katanya.

Katanya, mereka (Pakatan Rakyat) telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan layak diberikan peluang.

"Apa yang pasti, anda akan mendapat sekolah yang lebih baik, guru yang lebih baik untuk anak anda (kerana mereka lebih memberikan masa untuk mengajar dari berpolitik) dan juga suasana yang lebih selamat dari polis dan tentera.

"Hatta, pendapatan anda akan meningkat dari kerajaan yang dipimpin oleh mereka yang kurang rasuahnya," jelas Zaid lagi.

Zaid juga berkata, rakyat tidak akan rugi apa-apa dengan mengundi pembangkang.

"Jika pembangkang lebih kuat dengan undi anda tetapi BN tetap menang, anda akan mendapat lebih banyak wang tunai yang akan diberi sebagaimana yang mereka janji.

"Wang dan projek hanya diberikan kepada anda kerana pembangkang kuat, jika pembangkang lemah, tentu anda tidak akan mendapat BR1M 1 dan 2.

"Adalah jelas, jika anda mahukan lebih dari BN, anda undi pembangkang. Belajarlah menghargai undi anda untuk memperbaiki hidup anda," tegas Zaid.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: