06 April 2013

6 cedera rumah ranap ditimpa bongkah batu

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


TAWAU - Tiga wanita dan tiga kanak-kanak cedera selepas tujuh buah rumah di Kampung Bukit Kukusan dekat sini, ranap dihempap tiga bongkah batu besar, dari kawasan sebuah kuari di atas Bukit Kukusan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tawau Albert Jiran Tanjung berkata kesemua mangsa yang  cedera, ada di antaranya cedera di bahagian kaki dan tangan, dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Bagaimanapun, katanya identiti kesemua mangsa yang cedera berkenaanbelum dikenal pasti.

Katanya mangsa merupakan sebahagian daripada 65 orang daripada 12 keluarga di kampung itu yang menjadi mangsa dalam kejadian itu.

Terdapat kira-kira 300 buah rumah di kampung  berkenaan. Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 11.43 pagi dan sejurus tiba di tempat kejadian, anggotanya yang dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam, polis dan tentera  membantu menyelamatkan mangsa yang tersepit dan terperangkap di bawah runtuhan rumah.

Katanya siasatan awal mendapati bongkah-bongkah batu berkenaan bergolek kebawah bukit dan menimpa rumah penduduk  berkenaan selepas berlaku gegaran akibat letupan bahan peledak yang digunakan memecahkan batu di kuari itu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah yang ditemui di lokasi kejadian berkata syarikat kuari itu sudah diarah menghentikan operasi berkuat kuasa serta merta.

Katanya penduduk kampung berkenaan juga dinasihatkan supaya mengosongkan rumah masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang penduduk, Wakalobe Lakambera, 55, berkata sejurus terdengar letupan bahan peledak dari kuari itu, bongkah batu besar  dilihat bergolek dari atas bukit dan menimpa beberapa buah rumah yang dibina di lereng bukit sebelum meranapkan rumah jirannya.

Katanya nasib baik tiada keluarganya yang cedera namun dua buah tangki air di belakang rumahnya rosak.

Edi Lasuasa, 54, pula berkata dia berada di bawah rumah tempat dia menyewa bersama tujuh individu lain apabila melihat  beberapa buah rumah di lereng bukit dirempuh batu.

Katanya belum sempat dia melarikan diri, batu berkenaan sudah merempuh rumah sewanya dan dalam sekelip mata keadaan  menjadi gelap dengan dia tertiarap di bawah runtuhan rumah sewanya itu.

Katanya mujur runtuhan rumah berkenaan tidak menghempapnya dan dia berjaya menyelamatkan empat orang termasuk dua  kanak-kanak keluar dari runtuhan rumah sebelum dia merangkak keluar.

Selain calar di beberapa bahagian kaki, Edi turut  mengalami kecederaan ringan di kepala. - Bernama

Tiada ulasan: