06 April 2013

Kecoh bom di mahkamah

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


kecoh bom di mahkamah

Kompleks Mahkamah Melaka kecoh seketika dengan berita bom palsu.
AYER KEROH - Kompleks Mahkamah Melaka di sini, terpaksa ditutup setelah timbul kekecohan apabila sebutir bom dikatakan terdapat di pekarangan kompleks itu pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Taja Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan hal berkenaan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan jam 8.30 pagi oleh seorang lelaki menggunakan nombor tidak dapat dipastikan lagi kerana tidak tertera.

“Lelaki berkenaan memberitahu telah meletakkan bom di Kompleks Mahkamah Melaka sebelum mematikan talian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, skuad pemusnah bom bersama-sama unit anjing pengesan (K9) kemudian bergegas ke lokasi.“Bagaimanapun kami tidak menemui sebarang bom atau bahan letupan lain ketika pemeriksaan dilakukan sehingga jam 1 petang.

“Semua urusan di kompleks berkenaan berjalan seperti biasa bermula jam 2.45 petang selepas semua kakitangan, orang kena tuduh (OKT) dan pelawat diarahkan mengosongkan bangunan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Sementara itu, seorang kakitangan kompleks berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, dia dan rakan-rakannya diarahkan keluar dari perkarangan kompleks kira-kira jam 9.30 pagi.

“Saya yang datang semula pada jam 12 tengah hari tidak dibenarkan masuk ke kompleks oleh pengawal keselamatan dan jika saya tidak silap Ini merupakan kejadian kali kedua berlaku sejak tahun lalu,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: