25 Oktober 2008

Hari Terbuka PAS Perak meriah.

IPOH, 23 Okt :- Jamuan Hari Raya Aidil Fitri PAS Negeri Perak telah diadakan di hadapan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Perak, Medan Ipoh Raya, Ipoh. Pejabat PAS Negeri terletak ditengah kawasan perniagaan, berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Pejabat Kerajaan Negeri.

Majlis yang bermula jam 11.30 pagi dan berakhir 2.30 petang disambut meriah dengan kehadiran ramai orang yang terdiri dari pelbagai bangsa, kakitangan kerajaan dan swasta. Tetamu jemputan dari kalangan peminpin Parti gabungan Pakatan Rakyat, Wakil media dan dan badan-badan NGO turut hadir.


Pesuruhjaya PAS negeri Perak, Ustaz Ahmad Awang telah menyampaikan ucapan alu-aluan dimana beliau amat berbangga sambutan kali ini nampak berlainan, meriah dan amat besar ertinya biarpun jamuan yang tak seberapa hebat. Ini kerana kehadiran ramai dari pelbagai kaum dan ugama, pegawai kerajaan dan swasta tanpa ada rasa takut kepada PAS seperti yang alami sebelum ini.


Kepada umat Islam hari kemenangan setelah sebulan berpuasa melawan nafsu dan teruskan istiqamah meneruskan perjuangan melawan kebatilan. Disamping bergembira jangan dilupakan kepada yang memerlukan seperti orang miskin, anak yatim dan ibu tunggal. Lapangkan masa dan hulurkan bantuan terutama sekarang ini banyak tempat di negeri Perak dilanda banjir hingga ramai yang dipindahkan.



Beliau mengucapkan terima kasih kepada yang terlibat terutama Badan Perhubungan PAS negeri Perak yang diketuai oleh Tuan Hj Abdul Rahim Mat Ariff, para muslimat dan Unit Amal yang menjayakan Program Sambutan hari Raya ini.

http://bumiperak.blogspot.com/
Sayang sekali untuk tahun ini saya tidak dapat menghadiri program yang julungkali diadakan PAS Perak setelah Pakatan Rakyat mengambil teraju pemerintahan Perak.
Dari China saya telah menghubungi Ust. Ahmad Awang memaklumkan keberadaan saya di sana kerana urusan resmi kerajaan Perak bersama Exco Yb. Thomas Su.
Kata PJ Perak yang merupakan guru politik saya itu datanglah kejamuan pada Ahad 26 Okt di Balai Tasawur Islam kerana dia adakan hari terbuka. Menu istemewanya ialah nasi Arab.
Hari ini saya masuk pejabat seperti biasa, jadual yang telah dicetak oleh PA di meja mengejutkan juga, esok ada 12 kenduri kahwin dalam DUN Titi serong dan ada 7 Program lain termasuk hari Terbuka yang saya janjikan dengan Ustaz untuk hadir. Mudah-mdahan saya mampu hadir dalam kesemua 19 program yang telah siap disusun oleh Pejabat.

Dun Selangor: Kerajaan negeri tetap tidak iktiraf JKKP

SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari berkata kerajaan negeri tetap tidak mengiktiraf JKKP sebagai satu pertubuhan sah.

Sebelum melantik ketua kampung beliau telah menghantar surat kepada semua ketua kampung untuk membuat pertemuan di bangunan SUK tetapi mereka menolak kerana kerajaan Pusat telah berjanji akan menubuhkan JKKP.


Menjawab soalan Khashim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya) dalam sesi soal jawab Dun, katanya, JKPP dilantik sebelum ketua kampung dilantik dan ini menunjukkan keangkuhan pimpinan BN yang tidak menghormati demokrasi dan sengaja mahu memecahbelahkan masyarakat.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah JKKP kerajaan negeri pertingkatkan ketua-ketua kampung�kerajaan negeri dan semua ketua kampng telah menghadiri kursus SPIES.

"Dengan ini orang kampung akan mendapat ketua kampung berkualiti," tegasnya.

Sebelum itu beliau berkata, kerajaan negeri Selangor masih mengguna pakai pekeliling yang dibuat oleh BN terdahulu melalui Perkara 3 manual panduan kerja JKKK yang diluluskan pada tahun 2001.

"Kuasa melantik ketua kampung dan JKKK adalah kuasa penuh MB," katanya.

Menurut beliau, walaupun kerajaan Pakatan Rakyat memerintah ia tetap membenarkan Umno umpamanya menggunakan dewan milik kerajaan negeri berbanding ketika Umno memerintah, pihak lain dilarang menggunakannya.

Bukan Islam mulai faham Dasar Membangun Bersama Islam

KOTA BHARU - Masyarakat bukan Islam kini semakin memahami dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dilaksanakan di Kelantan, kini genap 18 tahun.

Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam dan mereka diberi layanan yang sama.

"Kerajaan negeri juga melibatkan kaum bukan Melayu dalam program kerajaan termasuk melantik mereka jawatan tertentu termasuk penghulu dan ahli majlis daerah," katanya ketika menjawab soalan Abdul Fatah Haron (PAS-Bukit Tuku) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata, setiap dasar yang dilaksanakan di Kelantan berteras kepada MBI.

"Dasar itu juga sudah menjadi ikutan beberapa negeri terutamanya negeri di bawah Pakatan Rakyat," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Dato' Anuar Tan Abdullah berkata, seramai 75 usahawan dilahirkan sejak 2006 melalui kewujudan Dataran Usahawan di setiap jajahan.

Ketika menjawab soalan dari Ustaz Abdullah Ya'kub (PAS-Air Lanas) katanya, projek Dataran Usahawan dibina di 13 lokasi di seluruh negeri membabitkan kos RM30,000 hingga RM50,000 setiap satu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar ketika menggulung perbahasan titah ucapan diraja berkata, golongan armalah, warga emas dan anak yatim akan terus dibela kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh memberi pelbagai bantuan kepada mereka termasuk melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, skim Takaful Kifaalah, dan skim bantuan pinjaman tanpa faedah.

Beliau juga berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi menangani masalah rumah tangga seperti mengadakan program Cakna Keluarga yang melibatkan wakil rakyat dan masyarakat setempat.

"Bagi membela nasib golongan armalah pula pasukan Hawariah telah ditubuhkan bagi memantau kehidupan mereka yang terdiri daripada wanita kematian suami dan ditinggalkan suami tanpa memberi nafkah," ujarnya.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Speaker Dun menghalang wartawan Berita Harian membuat laporan persidangan wajar memandangkan laporannya keterlaluan bertujuan mengeruhkan hubungan antara kerajaan negeri dan istana.

Menurutnya juga hubungan kerajaan negeri dengan pusat dalam bidang pelancongan begitu baik, namun dalam konteks di Kelantan kurang mendapat kerjasama daripada Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan (MTPNK).

"Sehingga kini saya masih lagi tidak dapat berbincang bersama Pengerusi MTPNK yang juga Adun Kuala Balah, Abdul Aziz Derasid," ujar beliau.

Oleh itu beliau berharap teguran Sultan Kelantan setidak-tidaknya membolehkan MTPNK bekerjasama rapat dengan Pusat Pelancongan Negeri (TIC) bagi mempertingkatkan industri pelancongan di negeri ini.

Sumber: harakahdaily.net

RM5 billion wang KWSP hangus, BN perosak ekonomi negara

Suntikan RM5 bilion yang diumumkan oleh Menteri Kewangan baru sebagai langkah untuk mengangkat nilai syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang dianggap dibawah nilai yang sebenarnya atau "undervalued companies", menggemparkan pelbagai pihak.

Yang menjadi lebih memeranjatkan ialah RM5 bilion itu akan diambil dari dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai loan atau pinjaman yang diarah oleh Menteri Kewangan.

Persoalannya ialah apakah hak menteri untuk mengarahkan KWSP untuk menghulurkan pinjaman kepada ValueCap Sdn Bhd, sebuah pengurus dana yang dimilikki oleh Khazanah, PNB dan Kumpulan Wang Amanah Pencen.

KWSP punya panel pelaburan profesional yang mempunyai tanggungjawab mempastikan bahawa warga pencarum-pencarum dari titik keringat mereka, mendapat pulangan keuntungan yang terbaik.

Arahan Menteri KWSP ke atas KWSP adalah tindakan paling tindak bertanggungjawab.

Ini menjadi lebih parah dalam suasana 'US-led Global Meltdown' yang telah pun menjejaskan semua bursa saham bukan sahaja di Amerika, Eropah, bahkan Asia- Hong Kong, Korea Selatan, Cina, Singapura dan lain-lain, yang kehilangan 'market capitalisation' ke jumlah trillion USD, paling parah dalam sejarah mengingatkan dunia kepada peristiwa Wall Street Crash 1987.

Pada hari Jumaat 17hb Oktober lalu sahaja, Bursa Malaysia, penanda aras KLCI jatuh sebanyak 3.14 peratus atau 29.86 mata ke 920.02.

Hari itu sejumlah RM 20.6 bilion telah lenyap dalam 'market capitalisation'. Jumaat sebelum (10hb Okt) Bursa kehilangan RM25bilion dalam 'market capitalisation'. Kini KLCI terus jatuh di bawah 'paras priskologi' 900.

Apa jaminan Menteri Kewangan bahawa kehangusan dana seperti telah berlaku pada jumaat lalu tidak berulang dengan kata lain, suntikan RM5bilion wang rakyat dari keringat rakyat yang mereka carum dalam KWSP tidak akan mengalami nasib yang sama?

Sumber: harakahdaily.net

23 Oktober 2008

5 cara orang PATI diseludupkan.

Gambar-gambar ini saya dapat dari kiriman sdr. Ibrahim Ujar (ibymaz@hotmail.com). Menarik untuk jadi tontonan umum khususnya pengunjung blog cina Islam.

Disebalik gambar ini mengajar kita arti sebuah perjuangan untuk melangsungkan kehidupan. apa pun sanggup dilakukan demi sesuap nasi oleh warga asing yang melihat Malaysia tempat yang subur untuk mencari rezekiSedangkan warganya mengabaikan nikmat yang dibentang Allah SWT ini, sama-sama kita renungkan apakah gerangannya

Azhan Atan di Parit Buntar.

PARIT BUNTAR, 21 Okt.:- Hadapan Pusat khidmat ADUN Titi Serong sekali lagi merakam nostalgia apabila berjayanya satu Persembahan Nasyid yang menyaksikan persembahan Azhan Atan, juara Akademi Nasyid 2008. Sambutan persembahan juara AN tv 9 itu hampir memenuhi kerusi yang disediakan penganjur terutamanya dari remaja-remaja malah ada juga warga emas dari sekitar DUN Titi Serong walaupun keadaan cuaca tidak begitu mengizinkan.

Azhan Atan juga berkebolehan bukan setakat menghibur dengan irama nasyid, tetapi beliau turut banyak memberi kata -kata motivasi bersesuaian dengan kehendak YB. Drs. Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong yang mahukan persembahan nasyid ini ditampilkan dengan iringan motivasi.

Ucapan aluan daripada Pegawai Khas ADUN Titi Serong, Tn. Hj. Ibrahim Dahlan yang mewakili ADUN Titi Serong yang berada di China bagi urusan Kerajaan Negeri.

Ucapan dari Pegawai Khas ADUN Titi Serong.


Persembahan Nasyid percuma tersebut telah dikelolakan oleh DJ Joe sebagai pengacara menyaksikan berlakunya interaksi dan komunikasi yang menarik berlaku di antara beliau dengan Azhan Atan. Lagu ‘Kau yang Satu’ merupakan lagu permulaan yang dibawa oleh Azhan Atan dan seterusnya di dendangkan lagu-lagu yang versetile seperti keroncong, asli dan sebagainya. MUNA.

Selamat jalan Ku Li

Nama Tengku Razaleigh Hamzah memang tidak asing lagi dipersada politik tanah air terutamanya apabila rakyat bercerita/bersembang berkenaan pengharaman UMNO pada tahun 1988.

Ianya seakan-akan terpahat dalam sejarah politik Malaysia. Beliau dilahirkan pada 13 April 1937 di Kota Bharu,Kelantan. Sehingga sekarang,nama beliau masih menjadi sebutan ekoran sikap 'keras kepala' beliau yang terus kemaruk dengan jawatan Presiden UMNO walaupun sudah beberapa kali kecundang atau gagal.

Mungkin sudah ditakdirkan atau tersurat dalam perjalanan politik negara bahawa tahap kegemilangan beliau hanyalah setakat Bekas Naib Presiden UMNO. Melalui jawatan tersebut beliau telah mencatat sejarah sebagai Menteri Kewangan paling lama bermula 5 mac 1976 hinggalah 1984 sebelum diambil alih oleh Tun Daim Zainuddin. Pada tahun 1981,beliau ingin mengorak langkah setapak lagi ke hadapan dengan bertanding kerusi Timbalan Presiden UMNO mencabar Tun Musa Hitam pada ketika itu namun kecundang. Beliau mencuba nasib sekali lagi pada tahun 1984 namun kegagalan tetap berada ditangan beliau.

Pada 24 April 1987, beliau benar-benar memberi kejutan kerana bertindak diluar dugaan kerana beliau bersama Tun Musa Hitam mencabar regu Tun Dr. Mahathir dan Tun Ghafar Baba bagi kerusi Presiden dan Timbalan Presiden. Memang benar kata orang bahawa dalam politik tidak ada istilah malu apatah lagi segan. Sepatutnya, Tun Musa Hitam yang mencabar Tun Dr. Mahathir bagi kerusi Presiden tetapi Tengku Razaleigh yang kecundang sebanyak dua kali bagi kerusi Timbalan Presiden pula yang berbuat demikian. Malangnya beliau sekali lagi kalah ditangan Tun Dr. Mahathir sebanyak 43 undi. Kekalahan tersbeut merupakan titik pusing bagi kerjaya politiknya.

Kekalahan tersebut juga benar-benar mengecewakan beliau kerana ianya boleh dikatakan 'membunuh' karier politik beliau dalam Parti UMNO. Masakan tidak beliau kecewa kerana kerusi emas Perdana Menteri sedang menunggu beliau namun gagal dan berputih mata. Beliau mengambil tindakan Undang-undang (tidak hairan kerana beliau sememangnya bercita-cita menjadi peguam sebelum berkecimpung dalam politik) terhadap Parti UMNO khususnya Mahathir sehingga membawa kepada pengharaman UMNO pada tahun 1988. Beliau bersama dengan Datuk Seri Rais Yatim menubuhkan Parti Semangat 46 dan menyertai Pilihan Raya Umum 1990 dengan kerjasama PAS dan DAP dimana pakatan tersebut dinamakan sebagai Angkatan Perpaduan Ummah.

Malangnya,pakatan tersebut gagal membentuk kerajaan cuma PAS yang berjaya menawan kembali Kelantan dan PBS di Sabah. Pada tahun 1996,Parti Semangat 46 dibubarkan dan beliau bersama dengan ahli-ahli yang lain menyertai semula UMNO atas ehsan Mahathir. Beliau menjadi gurkha UMNO dan menjadi 'hiasan sampingan' yang kurang berfungsi. Memang benar seperti diduga,tindakan Mahathir yang menerima semula Tengku Razaleigh dan bekas ahli Semangat 46 yang lain ibarat "melepaskan anjing yang tersepit ekor". Pada tahun 2000,beliau menawarkan diri untuk bertanding melawan Tun Dr. Mahathir bagi kerusi Presiden UMNO dalam pemilihan Parti UMNO namun gagal melepasi kuota pencalonan sebanyak 30 peratus daripada bahagian-bahagian UMNO. Pada masa yang sama, beliau juga mencabar Datuk Seri Abdullah Badawi bagi kerusi Timbalan Presiden namun gagal melepasi kuota seterusnya beliau memohon 'belas kasihan' daripada perwakilan bagi bertanding kerusi Naib Presiden yang pernah beliau duduki namun turut kecundang kerana kuota.

Pada tahun 2004,beliau sekali lagi mencuba nasib dengan mencabar Datuk Seri Abdullah Badawi bagi kerusi Presiden namun gagal melepasi kuota dan hanya menerima pencalonan daripada bahagian Gua Musang dimana belaiu merupakan Ketua Bahagian. Dengan tidak berasa jemu dan malu,sekali lagi beliau mencuba nasib pada tahun 2008 ini bagi bertanding merebut kerusi Presiden atas alasan ingin membawa perubahan dan menjadikan UMNO terus relevan. Malangnya, sehingga artikel ini ditulis beliau gagal mendapat pencalonan walaupun hanya satu dan semuanya berpihak kepada Datuk Seri Najib Razak bagi kerusi Presiden.

Pada hemat saya,mungkin ini merupakan kali terakhir beliau mencuba nasib bagi merebut kerusi emas tersebut memandangkan beliau pernah berjanji "Sekiranya hasrat saya untuk mengubah UMNO tidak diterima oleh ahli-ahli UMNO, maka lebih baik saya tempah tiket pergi ke Makkah beribadat di sana tanpa perlu memikirkan masalah-masalah UMNO lagi". Pada pemilihan UMNO yang akan datang (sekiranya masih ada atau pun nyawa-nyawa ikan) mungkin usia beliau tidak mengizinkan lagi bagi beliau berbuat demikian. Sedangkan pada masa sekarang, beliau dipandang sebagai 'orang tua' yang tidak 'bergetah' lagi dan diseru agar 'bermain dengan cucu'.

Saya berpendapat sebagai orang muda bahawa beliau hanyalah sesuai menjadi 'penasihat' kepada Parti UMNO dengan memberi tunjuk ajar mana yang perlu dan berkongsi pengalaman sepanjang berada dalam Kerajaan suatu ketika dahulu. Adalah lebih afdal sekiranya beliau mengundur diri terus daripada kancah politik jika beliau terus ingin berada dalam UMNO yang mana suatu ketika dahulu menjadi cacian dan maki hamun beliau (semasa dalam Semangat 46).

Kepada Tengku Razaleigh@Ku Li, sedarlah bahawa generasi muda pada masa kini memerlukan pemimpin yang berjiwa 'muda' dan boleh membawa idealisme baru bukannya idealisme 'konservatif' seperti mana yang Tengku perjuangkan. Bagaimana beliau mahu membawa perubahan sedangkan ahli-ahli UMNO sendiri tidak menerima perubahan yang beliau perjuangkan?.Jika dalam UMNO sendiri beliau 'ditolak' mentah-mentah apatah lagi rakyat Malaysia keseluruhannya. Dalam masa beberapa minggu selepas ini adalah lebih baik beliau menempah tiket untuk menunaikan umrah ke Makkah kerana biasanya harga tiket akan semakin mahal apabila masa tempahan dibuat semakin singkat. Mungkin pada ketika perwakilan UMNO sibuk dan bergembira dalam pemilihan Mac ini, beliau bolehlah menghabiskan masa berada di Makkah dengan riang hatinya.

Memang terlalu pahit bagi Tengku Razaleigh menerima hakikat tersebut namun ada kalanya yang pahit itu menjadi ubat. Sesungguhnya perjuanganmu belum selesai tetapi apakan daya ianya tidak boleh diguna pakai!
Bagi kebanyakan rakyat Kelantan mereka tidak lupa dengan pilihanraya umum yang menyaksikan Kul Li berdepan dengan Tok Wali Hassan yang terkenal dengan karamah dan mulut masinnya.
Walaupun Ku Li menang, dikatakan sesudah itu kerier politiknya tidak menyerlah lagi sehinggalah sekarang, sekejap tenggelam sekejap timbul sedikit-sedikit.
Saya sempat mendengar berita sesudah pilihanraya itu ditemui tong-tong undi yang dibuang di dalam sungai Kelantan yang majoritinya mengundi Tok Wali Hassan....

22 Oktober 2008

Rombongan Kerajaan Perak dan KPerak Inc Corp berada di China.

SUZHOU, CHINA, 22 Okt. :- Satu rombongan Jelajah Peluang Perniagaan wakil Kerajaan Perak dan KPerak Inc Corporation berada di China dari 21 Okt hingga 24 Okt 2008 dalam rangka memenuhi jemputan dari Kerajaan Tempatan Daerah Bandar Suzhou, China.

Mesyuarat yang diadakan pada hari pertama.


Kerajaan Perak diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi , YB. Su Keong Siong dan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim. Manakala KPerak diwakili oleh CEO nya, Dato' Yaacob Nordin dan Ho Hsieh Hsiung(Head, KWorkers Development & Infrastructure Unit) serta ahli rombongan yang lain yang diurus oleh Walter Rhodes Global SSO Center

YB. Su, Drs. Khalil dan Dato' Yaacob mengetuai rombongan Perak

Rombongan perdagangan tersebut telah disambut oleh wakil kerajaan tempatan di Pudong Airport Shanghai dan dibawa ke bandar Xiangcheng, Suzhou.

Pada hari pertama satu mesyuarat resmi dari jam 1.00 petang hingga 5.oo petang telah diadakan antara kedua pihak.
YB. Su Keong Siong telah mengetui taklimat dengan memperkenalkan Kerajaan Perak kepada Wakil-wakil Kerajaan Tempatan.
Semua wakil rombongan telah memberikan penerangan berkaitan syarikat masing-masing terdiri dari KPerak Inc Corporation yang disampaikan oleh Dato' Yaacon Nordin sendiri.

Selain itu syarikat lain ialah Shinjiru Tecnology Sdn. Bhd, SMR Technologies Berhad, CSF Adviser Sdn. Bhd, Esente Communications Sdn Bhd. Metro Education Limited, TESS International Group of Companies dan SEAL Incorporated Berhad.


Makan tengah hari dengan minuman air jus jagung.

Semasa mengalu-alukan kedatangan rombongan dari Perak, Wakil Kerajaan Tempatan Suzhou berharap kedua-dua pihak dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat dan mencapai hasil yang direncanakan.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian(MoA) antara Kperak yang mewakili Kerajaan Prak dengan Kerajaan Tempatan Perbandaran Xiangcheng dan Walter Rhodes SSO Center akan diadakan pada akhir lawatan nanti.

Rais: Kawal rasuah Umno atau buka tender

Jika Umno tidak mengawal amalan rasuah dalam pemilihan barisan pemimpinnya, lebih baik parti itu membuka tender dan sesiapa yang lebih tinggi bidaan akan menjadi ketuanya, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Saya kira mereka yang menyumbang (politik wang), kalau begini lebih baik Umno itu adakan sistem tender, siapa yang lebih tinggi dia jadi ketua.

"Kalau begitu Umno ambil duitnya, siapa yang banyak duit buat bidaan, kan jadi bahan ketawa, tetapi hal macam ni kena dibincang," katanya seperti dilaporkan Bernama.

"Politik wang atau korupsi politik tidak selesai sebab ia sudah menjadi
budaya di dalam Umno sekian lama. Cuma tak ramai yang mahu mengaku perkara ini berjalan.

"Lebih baik kita mengaku dan rakyat menghukum kita bersama-sama supaya orang ramai dapat melihat parti politik ini bersih dari amalan rasuah ataupun tumbuk rusuk dan penggunaan wang secara berleluasa."

Dr Rais, yang juga menteri luar, berkata antara kekangan utama dalam membanteras gejala itu ialah ketiadaan bukti kerana pihak yang terlibat cukup licik dan licin memainkan peranan mereka.

"Masalahnya ialah bukti. Bukti orang memberi cukup sukar sebab pihak-pihak ini memainkan peranan licik dan licin.

"Dalam masa tempoh orang tidur, masa tempoh orang tak sedar tidak dapat diambil gambar, tidak dapat diambil tindakan sebab buktinya tidak ada tapi dalam undang-undang baru Akta Pencegahan Rasuah, saya dapati hal ini dapat diatasi sekiranya laporan daripada pihak-pihak berkenaan ada," katanya.

Umno, kata Dr Rais lagi, tidak cukup berupaya untuk memantau dengan rapi amalan politik wang, justeru lebih wajar jika ia
diserapkan bawah bidang kuasa undang-undang negara, lapor agensi berita itu lagi.

Semalam anggota Majlis Tertinggi Umno itu dilaporkan berkata beliau diminta memberikan wang untuk mendapatkan undi bagi pencalonan jawatan naib presiden yang menjadi sasarannya dalam pemilihan, Mac tahun depan.

Beliau berkata "majoriti" ahli parti itu lebih berminat mengejar wang ketika kempen berlangsung sekarang daripada memilihan pemimpin yang benar-benar layak, lapor sebuah agensi berita.

"Kami didekati dengan berselindung sebalik bantuan dan sumbangan. (Tetapi) saya tidak bersedia (berbuat demikian), jadi anda lihat undi (pencalonan) saya tidak begitu banyak.

"Jika ada ingin turut serta (dalam perebutan jawatan), anda mesti mengiyakannya," beliau dipetik sebagai berkata.

Dr Rais hanya memperolehi enam pencalonan daripada bahagian-bahagian yang bermesyuarat setakat ini, sejak 9 Oktober.

Beliau memerlukan 14 lagi sokongan untuk layak pertandingan.

malaysiakini/kemaskini dari Xiangcheng District,Jiangsu Province, CHINA.

Exco: Peneroka tanah diperdaya k'jaan Pakatan 'prihatin'

Beberapa sindiket menjual tanah Perak secara haram dengan memberi gambaran kepada peneroka haram bahawa kerajaan Pakatan Rakyat itu "prihatin" dan tidak akan bertindak tegas. "Mereka memberi mesej konon kerajaan sekarang akan mengurniakan tanah yang diterokai itu dengan hanya mengenakan denda atau penalti sahaja...

"Kita ingin memberi amaran jangan melanggar undang-undang kerana kerajaan negeri tidak membenarkan tanah diterokai secara haram," tegas pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam, Nga Kor Ming.

Menurut Bernama, beliau berkata mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

"Mereka (sindiket) turut menggunakan nama beberapa exco bagi tujuan menipu mangsa," beliau dipetik berkata.

Tanah bagi tujuan pertanian di daerah Batang Padang dan Manjung dijual dengan harga RM500 hingga RM5,000 seekar.

Nga menambah, kegiatan itu dikesan sejak beberapa bulan lepas dan tidak kurang 10 mangsa dipercayai telah terpedaya, lapor agensi berita itu lagi.

"Kita harap mangsa membuat laporan polis serta membuat aduan kepada kerajaan negeri supaya siasatan dapat dijalankan bagi mengenal pasti dalang terbabit dan tindakan dilakukan bagi mencegah kegiatan berterusan...

"Kita tahu mereka kena tipu dan ada yang malu untuk tampil," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ipoh hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan negeri Mohd Zainuddin Mohd Yusof yang hadir di sidang akhbar itu, mengingatkan bahawa isu penerokaan tanah secara haram boleh merosakkan alam sekitar.

"Isu ini bukan setakat terokai tanah sahaja tetapi perbuatan itu menimbulkan masalah yang lebih besar kerana ia menganggu hutan simpan dan kawasan tadahan air.

"Ia menganggu ekologi dan menyebabkan pelbagai masalah seperti banjir. Mana boleh ganggu hutan sesuka hati," katanya.
malaysiakini/ dari Xiangcheng District,Jiangsu Province, CHINA.

Sokong Presiden PAS, Najib patut bersih dan dibersihkan


PARIT, 20 Okt (Hrkh) - PAS Kawasan Parit menyokong penuh saranan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membersihkan nama timbalannya yang bakal mengambil-alih tempatnya Mac depan, di mahkamah kerana terlalu banyak tuduhan terhadapnya. Menurut Ketua Penerangannya, Rafaie Kasini Haji Bahari, imej Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang kini diuar-uarkan sebagai pengganti Abdullah patut dibersihkan reputasinya dengan sebarang cara termasuk dengan menggunakan mahkamah jika Abdullah benar-benar ikhlas untuk melakukan reformasi.

Katanya kepada Harkahdaily sebentar tadi, adalah amat malang bagi rakyat Malaysia, jika Najib dilantik menjadi Perdana Menteri Mac depan dengan imej yang begitu buruk. Oleh itu, tegas beliau, menjadi tanggungjawab Abdullah untuk mempastikan penggantinya bersih dari sebarang rekod buruk atau kes mahkamah.

Saranan Presiden PAS itu juga disokong penuh Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya.Dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, beliau mahu PAS mendesak Perdana Menteri agar menggunakan ruang selama lima bulan ini untuk mempastikan bakal penggantinya seorang yang amanah, bersih dan berakhlak.

"Abdullah boleh menggunakan kuasanya untuk berbuat demikian. Jangan terikat dengan mana-mana pihak. Utamakan kepentingan rakyat. PM suatu jawatan yang penting, jadi pastikan orang yang jadi PM itu bersih atau dibersihkan terlebih dahulu," tegasnya. -dipetik dari sumber HarakahDaily

20 Oktober 2008

Memberi Salam

“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu” (QS. An-Nisaa‘: 86).

Setiap hamba Allah dianjurkan untuk pandai melihat peluang untuk berbuat baik dan tidak memandang rendah terhadap setiap kebaikan yang dilakukan orang lain walaupun kecil. Peluang untuk mendapatkan pahala dari Allah, misalnya, ada pada setiap kesempatan bertemu dengan manusia. Memberi salam adalah di antaranya.


Namun kebanyakan peluang baik itu diabaikan begitu saja. Sebahagian orang kadangkala merasa dirinya terlalu tinggi pangkat dan derajatnya, sehingga tidak perlu memberi salam ketika bertemu dengan orang lain. Rasa sombong itu sebenarnya bukan menambah mulia derajatnya, tetapi membuatnya hina. Sebab dia telah menggantikan peluang kebaikan dengan keburukan. Kesombongan adalah perbuatan yang dimurkai Allah.


Padahal memberi salam adalah pekerjaan yang sangat ringan dan mudah, Namun waktu dan tenaga yang singkat dan sedikit itu hasilnya kita mendapatkan kebaikan yang banyak. Bukan hanya pahala sedekah yang didapat dengan salam, tetapi juga pahala silaturrahim. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda, “Maukah kalian aku tunjukkan suatu amalan yang jika kalian kerjakan niscaya kalian akan saling menyayangi? Tebarkanlah salam di antara kalian” (HR Muslim).

Keselamatan bahan makanan dunia hadapi cabaran baru

Hari ini merupakan Hari Makanan Sedunia ke-28. Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) menetapkan "Keselamatan Bahan Makanan Dunia: Cabaran Berikutan Perubahan Iklim dan Penggunaan Biotenaga" sebagai tema hari makanan tahun ini dengan harapan agar orang ramai memberikan perhatian yang lebih besar terhadap kedua-dua cabaran ini.

Perubahan iklim telah memberikan kesan yang besar kepada kehidupan harian setiap orang di dunia ini, terutamanya kaum tani, nelayan serta golongan yang mencari rezeki dari hutan. Cuaca yang melampau akibat perubahan iklim, seperti banjir dan kemarau, akan menjejaskan pengeluaran makanan, dan membawa cabaran terhadap keselamatan bahan makanan sedunia. Pihak FAO berpendapat bahawa aktiviti pertanian memainkan dwiperanan dalam proses perubahan iklim. Ia boleh mengakibatkan perubahan iklim menerusi pelepasan gas rumah hijau. Di samping itu, ia juga menjadi penyumbang kepada pengurangan pelepasan gas ini. Berdasarkan statistik FAO, jumlah pelepasan gas rumah hijau berikutan aktiviti pertanian dan penebangan hutan mencapai lebih 30% daripada jumlah keseluruhan pelepasan gas ini di dunia. Namun, jika kita menggunakan cara pengeluaran yang lebih mesra alam, seperti mengurangkan penebangan hutan, meningkatkan perlindungan terhadap kawasan hutan, dan mengawal aktiviti ternakan di padang ragut, maka kita boleh membekalkan makanan yang lebih daripada mencukupi.

Beberapa tahun kebelakangan ini, industri biotenaga di seluruh dunia telah berkembang dengan pesat. Biotenaga ini digunakan sebagai satu kaedah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Keadaan ini mengundang satu lagi cabaran kepada keselamatan bahan makanan sedunia. Mesyuarat Khas Peringkat Tinggi Keselamatan Bahan Makanan Dunia telah diadakan pada bulan Jun lalu. Dalam mesyuarat itu, hubungan antara biotenaga dan keselamatan bahan makanan telah menjadi topik yang diberi perhatian utama.

Laporan "Keadaan Makanan dan Pertanian" yang dikeluarkan oleh FAO baru-baru ini menyebut bahawa dasar-dasar yang berkaitan dengan biotenaga perlu dikaji semula untuk menjamin keselamatan bahan makanan sedunia, meningkatkan taraf hidup kaum tani yang miskin di samping mendorong pembangunan yang menyeluruh di kawasan desa dan pembangunan alam sekitar yang berterusan. Dalam laporan ini dinyatakan bahawa antara tahun 2000 hingga tahun 2007, jumlah pengeluaran bahan api biologi yang berasaskan produk pertanian telah meningkat 3 kali ganda. Kini, ia menyumbangkan 2% daripada bahan api untuk sistem pengangkutan di seluruh dunia. Kadar ini dijangka akan terus meningkat. Walau bagaimanapun, sumbangannya terhadap tenaga dunia tetap akan terhad. Namun, permintaan bahan api biologi terhadap bahan mentah pertanian dijangka terus meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ini mungkin akan memberikan tekanan kepada harga bahan makanan. Laporan tersebut berpendapat bahawa permintaan terhadap bahan api biologi yang semakin meningkat ini akan menyebabkan kenaikan harga produk pertanian. Keadaan ini amat baik untuk membantu negara-negara membangun menjadikan pertanian sebagai pemangkin untuk menjana ekonomi dan mengurangkan kemiskinan.

Kini, krisis kewangan global pula kian meruncing. Krisis ini telah menambah kebimbangan orang ramai terhadap kenaikan harga bahan makanan dan bahan api. Maka, ia telah menjadi satu lagi cabaran kepada keselamatan bahan makanan sedunia. Ketua Pengarah FAO, Jacques Diouf menyatakan bahawa krisis kewangan ini akan memberikan tamparan hebat kepada ekonomi makro, lebih-lebih lagi sektor pertanian dan keselamatan makanan di negara-negara membangun. Dengan itu, perlu diingat supaya krisis bahan makanan tidak dilupakan. Untuk menangani masalah kelaparan dan kemiskinan, sektor pertanian juga perlu diberikan perhatian yang serius.

PM bidas Mahathir

KOTA KINABALU 18 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahir Mohamad yang menurutnya berlagak seolah-olah pengarah pilihan (pemilihan) parti yang menentukan “siapa yang perlu berada dalam parti UMNO dan siapa yang perlu dikeluarkan”.

Perdana Menteri berkata, UMNO tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

“Siapakah Tun yang dah keluar parti UMNO itu nak cuba membuat arahan kepada orang UMNO apa yang patut dilakukan?

“Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu... orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?,” katanya pada persidangan akhbar di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini malam ini.

Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan UMNO “mengusir orang-orang Abdullah” dalam pemilihan parti itu Mac depan.

“Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya. Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk UMNO dan kerajaan.

“Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli UMNO, mengajar ahli UMNO bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Abdullah berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.

“Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.

“Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan. Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam UMNO,” kata Abdullah.

Menurut Perdana Menteri, gesaan Mahathir itu tidak akan mendatangkan kebaikan.

“Inikah “reform” yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli UMNO ada kebebasan untuk bertanding.

“Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.

“Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding... tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang UMNO menentukannya,” katanya.

Dalam hal ini, anggota UMNO tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.

“Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Abdullah juga kecewa apabila Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak mengendahkan keputusan peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dan Najib pada Mac tahun depan.

“Sebenarnya dialah (Muhyiddin) yang menimbulkan isu mempercepatkan peralihan kuasa dilakukan dengan membuat kenyataan-kenyataan di luar, di Singapura.

“Semua orang dah bersetuju. Mereka sendiri tak kata tak bersetuju. Datuk Seri Mohd. Najib dengan saya dah ada persetujuan yang direstui dan dipersetujui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Abdullah berkata, beliau telah menerangkan sebab beliau memerlukan masa yang dipersetujui antara beliau dan Najib, antaranya, terdapat perkara berkaitan dengan reform yang beliau hendak laksanakan dan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

“Apakah dia takut reform? Apakah dia tidak mahu reform? Apakah ini sebagai satu langkah untuk menggagalkan usaha-usaha sedangkan reform itu dikehendaki oleh rakyat.

“Saya dimarah oleh rakyat kerana tidak memenuhi janji. Sebab itu ada dalam manifesto 2004 apabila saya bertanding, apabila kita memenangi pilihan raya pada 2004 dengan sokongan yang kuat.

“Mengapa pula dia mencadangkan seperti itu? Ertinya nak menggagalkanlah.

Nak menggagalkan saya atau menghalang saya mengambil tindakan-tindakan yang saya telah usahakan.

“The point is that there is an agreement. Dah setuju. Mengapa mengungkit lagi?

Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itupun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia,” katanya. Bernama

Bernard Dompok perlekeh Islam, PAS Sabah lapor polis

KOTA KINABALU, 19 Okt :- Dewan Pemuda PAS Sabah menyifatkan kenyataan media Tan Sri Bernard Dompok yang disiarkan dalam akhbar tempatan Sabah baru-baru ini,sebagai memperlekeh agama Islam dan dianggap biadap serta mengandungi unsur hasutan.

Justeru, Naib Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu dan diiringi oleh beberapa orang pimpinan kanan PAS Sabah telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Karamunsing di sini, semalam bagi menunjukkan bantahan.

"Kami harap tindakan tegas dapat diambil dari pihak berwajib terhadap Bernard Dompok yang secara terang-terangan mencabar dan menentang kuasa Majlis Raja-Raja sebagai pelindung agama Islam di negara ini,"katanya.

Tambahnya,"kami kecewa dengan tindakan Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) yang seolah-olah dilihat ingin mencetuskan polimik antara agama yang berpanjangan di Malaysia."

Beliau yang juga bekas Setiausaha Pemuda Sabah berkata,tindakan Bernard jelas berniat jahat kerana ia akan menimbulkan suasana tegang di antara penganut agama Islam dengan penganut agama lain di negeri ini.

Pemuda PAS Sabah juga berasa janggal dengan pimpinan Barisan Nasional (BN) khususnya yang beragama Islam kerana tiada bantahan yang dibuat dalam isu ini, sedangkan ketika isu forum Majlis Peguam dahulu ramai yang tampil cuba menjadi juara.

"Bagi kami hal ini menunjukkan sikap double standard pemimpin BN dalam mempertahankan agama Islam dan sikap terlalu menjaga kedudukan politik BN yang dilihat tidak mendapat sokongan rakyat ,"ujar beliau.

Berkait isu ini, Dewan pemuda PAS khususnya PAS Sabah mengingatkan kepada pemimpin atau individu dalam negara ini agar jangan sesekali berani bermain api dengan menyentuh sentimen agama kerana kami komited mempertahankan kesucian Islam dengan apa cara sekalipun.

Lahirul turut mencadangkan agar Bernard memfokuskan halatuju perjuangan beliau untuk membantu menyelamatkan negara di saat dunia mengalami masalah ekonomi, bukan cuba menimbulkan huru hara kepada Malaysia.

Baru-baru ini Presiden UPKO, Bernard Dompok membuat onar dalam ucapannya pada Kongres ke-12 pertubuhan itu dengan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini umumnya dan umat Islam di Sabah khususnya.

Turut hadir dalam membuat laporan tersebut, Ketua Pemuda PAS Sabah, Anuar Ali;Timbalan Persuruhjaya PAS, Hamzah Abdullah; Setiausaha Pemuda Sabah, Firdaus Fuad; Setiausaha Yayasan Amal, Saifuddin Ahmad dan beberapa ahli Yayasan Amal Sabah .