25 Oktober 2011

Apa Kejadah RM4 Juta Beli Kuda Tapi Tak Boleh Berlumba, Beli Teropong Harga 29 Kali Ganda?

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sebanyak 18 ekor kuda dibeli dengan kos hampir RM4 juta oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi tidak dapat diturunkan dalam persaingan World Endurance Championship (WEC) 2008 sebab tidak memenuhi syarat kelayakan termasuk masalah kesihatan.

Hanya lima ekor kuda layak untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.

Kesemua 23 kuda itu dibeli dengan kos RM5.66 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut “pihak Audit dimaklumkan 18 ekor kuda dengan kos perolehan berjumlah RM3.94 juta tidak layak bertanding kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Persekutuan Equestrian Antarabangsa.”

“Ini disebabkan kuda yang dibeli tidak mendapat latihan yang mencukupi memandangkan peroleh kuda dibuat dua bulan sebelum kejohanan.

“Di samping itu beberapa ekor kuda juga mengalami kecederaan sebelum kejohanan bermula,” kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Pada Februari 2007, MSN telah diminta untuk membeli enam ekor kuda bagi tujuan WEC 2008 dengan mendahulukan peruntukan sedia ada dan agensi itu telah membelanjakan RM1.98 juta bagi tujuan itu.

Pada Jun tahun yang sama, Kementerian Belia dan Sukan telah menetapkan spesifikasi dan bilangan kuda untuk ditambah sebanyak 17 ekor lagi menjadi 23 ekor untuk pertandingan tersebut.

Kata beliau, pada pandangan Audit perancangan perolehan kuda hendaklah dibuat secara teliti dengan mengambil kira tahap kesihatan dan kebolehan kuda untuk bertanding.

“ISN (Institut Sukan Negara) sepatutnya merancang perolehan dengan mengambil kira tempoh latihan yang diperlukan bagi setiap kuda untuk memenuhi syarat kelayakan FEI.

“Ini menyebabkan sebahagian besar kuda yang diberi tidak dapat menyertai (World Endurance Championship) WEC 2008,” katanya.

Kata laporan, walaupun usaha dilakukan untuk memastikan kuda tersebut sihat, kesihatan kuda tidak dapat dijamin sempurna sepanjang masa.

Laporan Audit berkata pihaknya mendapati ISN perlu memastikan perolehan kuda digunakan untuk menyertai kejohanan peringkat antarabangsa dan pembangunan sukan berkuda bagi tempoh tertentu sebelum diserahkan kepada agensi kerajaan yang lain. -TMI

DAP dakwa KM Melaka bina lagi projek 'gajah putih'

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kerajaan negeri Melaka didakwa hanya mengutip sekitar RM57,500 daripada hasil pembinaan sebuah restoran terapung yang membabitkan kos binaannya berjumlah hampir RM1.2 juta di Ayer Keroh.

Pendedahan dibuat ADUN kawasan terbabit dari DAP, Khoo Poay Tiong yang menyatakan pengusaha terpaksa gulung tikar tahun lalu sehingga menyebabkan sewa serta bil air dan elektrik tertunggak mencecah sehingga RM26,000.

Dakwanya, restoran berkenaan kini sudah hampir setahun terbiar kosong tanpa berpenghuni, padahal perjanjian mengusahakan restoran itu adalah selama tiga tahun sehingga Mei tahun ini.

Sambil melabelkan projek berkenaan sebagai satu lagi 'projek gajah putih' kerajaan negeri Melaka, beliau berkata, kos RM1.2 juta membina restoran berkenaan adalah dari peruntukan Kementerian Pelancongan.

Menurutnya, meskipun perjanjian dengan pengusaha adalah untuk tempoh tiga tahun, namun pengusaha terpaksa gulung tikar lebih awal memandangkan restoran berkenaan tidak mendapat sambutan.

Tak mampu bertahan

"Pengusaha itu hanya mampu bertahan selama 23 bulan. Akibatnya, baki sewa serta bil elektrik dan air untuk restoran itu menjadi tertunggak sehingga mencecah hampir RM26,000.

"Sepanjang restoran ini disewa, kerajaan hanya mendapat sejumlah RM57,500 sedangkan kos membinanya mencecah RM1.2 juta," katanya semasa meninjau persekitaran restoran itu di Ayer Keroh.

Malaysiakini difahamkan, restoran berkenaan, yang terletak berhampiran Taman Tasik di Ayer Keroh, kini berada di bawa pengurusan pihak Zoo Melaka.

Menurut Khoo, kerajaan negeri harus memikirkan cara terbaik untuk mengunakan bangunan restoran berkenaan bagi mengelak ia daripada terus terbiar.

Menurutnya, restoran ini merupakan satu lagi contoh pembaziran yang diamalkan kerajaan sehingga ia akhirnya menjadi gajah putih.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan tidak menjalankan kajian terperinci sebelum melaksanakan sesuatu projek sehingga akhirnya ia merugikan rakyat memandangkan wang yang digunakan adalah wang rakyat.

"Ini bukan kali pertama perkara sebegini terjadi, malahan sudah seringkali berlaku," katanya.

malaysiakini/-

Hormati, pertahan hak kebebasan akademik

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengucapkan tahniah kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana menarik balik penggantungan Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar).

Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari berkata, UIAM adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa yang sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea bukannya menekan ahli akademik yang berbeza pandangan terhadap parti memerintah.

Katanya, kemungkinan keputusan menarik balik penggantungan ini disebabkan ekoran tekanan daripada kakitangan universiti, mahasiswa, ahli akademik dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri serta orang awam.

“Apa pun kita semua kesal dengan tindakkan UIAM sebelum ini yang menggunakan seksyen 15(1) terhadap pakar undang-undang itu dan tidak menggunakan pertimbangan yang baik serta mengakibatkan persepsi bahawa pihak berkuasa universiti di Malaysia kurang kebebasan dan hanya bertindak sebagai alat kepada parti pemerintah,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, universiti-universiti sepatutnya menggalakkan perkongsian pendapat dan debat untuk membuka minda mahasiswa serta masyarakat.

Katanya, jika seorang ahli akademik yang dihormati dihukum kerana memberi ulasan dalam bidang beliau, maka semua ahli akademik secara tidak langsung akan dibisukan.

“Gamis menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati serta mempertahankan hak kebebasan akademik,” ujarnya lagi.

harakahdaily/-

Muhyiddin TPM Pengecut?

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjadi pengecut dengan terus menekan anaknya dengan isu mencabul seorang gadis seperti didakwa bloger pro Umno.

Menurutnya, adalah sangat zalim jika Timbalan Perdana Menteri itu terus melakukan demikian terhadap anaknya yang berumur 16 tahun itu dalam keadaan 'mangsa' yang didakwa dicabul itu sudah tampil menafikannya.

"Jika Muhyiddin benci saya sangat, dia boleh buat yang lebih buruk untuk jatuhkan saya melalui politik.

"Namun, Muhyiddin tidak perlu menyertai kumpulan pengecut dengan memfitnah anak saya yang berusia 16 tahun dan meletakkan anak saya sekali lagi melalui pengalaman yang trauma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno seperti dilapor media yang mahu Guan Eng memberi kenyataan yang kukuh berhubung isu yang dibangkit bloger Umno itu.

Guan Eng sebelum ini telahpun menafikan perkara itu dan dikukuhkan lagi dengan penafian oleh gadis tersebut, Anya Corke bahawa gambarnya telah disalahgunakan tanpa pengetahuannya.

Beliau juga menjelaskan tidak pernah menjadi mangsa dalam apa-apa cara oleh anak ketua menteri Pulau Pinang itu ataupun keluarganya.

"Apa pernyataan yang lebih kukuh diperlukan daripada saya apabila saya menafikan dan mengutuk fitnah ini sebagai tidak bertamadun dan sama sekali tidak boleh diterima, tidak berperikemanusiaan," katanya.

Tambah beliau lagi, beliau yakin apa yang menimpa anaknya adalah percubaan bloger Umno untuk menjatuhkannya ekoran urus tadbir yang bersih dan berkesan untuk rakyat di Pulau Pinang.

Merka selama ini ujarnya menggunakan taktik pembohongan dan politik kebencian, namun apabila gagal, mereka kini mengalihkan senapang mereka pada anak yang masih bersekolah dan tidak berdosa.

"Jika Muhyiddin mahu dilihat sesuai untuk jawatan Perdana Menteri, dia mesti bermoral dan beretika.

"Dia gagal ujian moral dan etika ini apabila menekan seorang anak lelaki berusia 16 tahun yang masih bersekolah dan tidak mempunyai peluang mempertahankan dirinya," katanya.

Harakahdaily

Jawab aduan : Terima kasih kepada Plus

Sinar Harian 25 Oktober 2011


27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Saya mengucapkan terima kasih dengan maklum balas dari pihak PLUS atas aduan mengenai tompok merah di antara plaza tol Changkat Jering ke plaza tol Taiping/Kamunting (di sini) yang saya siarkan dalam blog Cina Islam dan di siar dalam Akbar Sinar Harian.

Namun saya ingatkan kepada pihak PLUS untuk memantau secara berkala kejadian yang berlaku itu disebabkan dalam minggu lepas saya mendapat semacam tumpahan baru yang berlaku sepanjang laluan tersebut.

Selain itu PLUS juga mestilah melaporkan kepada pihak atau jabatan yang berkaitan sekiranya terjadi semacam kecuaian seperti yang dijawab.

Kecuaian yang berterusan yang tidak ada tindakan dari pihak berkuasa yang berkenaan akan menganggu keselesaan pengguna lebuhraya PLUS.

Langkah ini dikira wajar bagi memastikan syarikat yang membawa bahan 'iron oxide' tersebut memenuhi piawaian dan peraturan bagi mengelak kejadian yang sama berulang dan memberi kesan sampingan kepada pengguna lebuhraya itu.

Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong.

Lulus rang murtad di parlimen, bukan di stadium

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan bahawa untuk memastikan murtad tidak berlaku di negara ini ialah dengan meluluskan Rang Undang-undang Hudud di Parlimen dan bukannya di stadium yang turut menangani masalah hukuman riddah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim sepertimana yang dilaporkan Utusan hari ini.

Mashitah berkata, hala tuju perjuangan PAS kabur kerana PAS tidak menyokong Akta Murtad dan penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun).

Kenyataan Ustaz Harun itu merujuk kepada usaha yang telah dilakukan oleh PAS sebelum ini untuk memerangi murtad termasuk membawanya ke parlimen.

PAS sudah tiga kali membawa undang undang persendirian di Parlimen sejak 1990 oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk mengawal murtad.

Malangnya usul yang memerlukan cadangan daripada anggota kabinet tidak diangkat walaupun sidang Parlimen habis.

Menurut Ustaz Harun lagi, undang-undang hudud yang telah diluluskan di Terengganu dan Kelantan menjelaskan secara terang lagi jelas tentang bagaimana untuk menangani permasalahan murtad mengikut apa yang terkandung dalam syariah Islam.

Beliau turut mengulas mengapa PAS tidak terlibat secara rasmi dengan Himpun baru-baru ini.

"Himpunan adalah satu program yang dianjurkan oleh NGO dan sebagai sebuah institusi politik, PAS tidak mahu mengambil kesempatan politik dari isu agama kerana isu agama mesti dibuktikan melalui tindakan dan itulah apa yang telah PAS lakukan,

meluluskan akta murtad tempatnya di Parlimen dan bukan melalui cara berarak," ujarnya yang juga Adun Manir.

harakahdaily/-

Ibu bapa merana dibebani hutang anak

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

CHAN WOOI bersama isterinya, Moy Thye menunjukkan kertas amaran ah long serta gambar kereta dan dinding rumah yang disimbah cat merah pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri merayu kepada anak lelaki mereka yang dipercayai berhutang sekeliling pinggang supaya pulang ke rumah ekoran diganggu oleh ah long sejak Ogos lalu.

Menurut mangsa, Chan Wooi, 73, keluarganya kini sentiasa diselubungi kebimbangan kerana sering diganggu ah long melalui telefon yang meminta supaya menjelaskan hutang anak lelakinya itu.

"Saya tidak membuat sebarang pembayaran kerana tidak tahu sama ada anak saya betul-betul berhutang dengan mereka.

"Tambahan pula saya tidak tahu jumlah sebenar hutang tersebut," katanya kepada pemberita di Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Parti Gerakan di sini semalam.

Katanya, apa yang menakutkan adalah apabila ah long terbabit mula bertindak ganas kerana permintaan supaya membayar hutang itu tidak dilayani dan bertindak menyimbah cat merah ke atas rumah dan kenderaan mereka pada 19 Oktober lalu.

"Selepas berbuat demikian, mereka menelefon saya dan mengugut saya bahawa sekiranya saya masih enggan melangsaikan hutang anak saya, mereka tidak akan jamin apa yang akan berlaku kelak," ujarnya.

Dia menganggarkan anaknya itu, Chan Siew Keong, 43, berhutang lebih seratus ribu untuk menjalankan perniagaan spa kecantikannya.

Isteri Wooi, Chong Moy Thye, 72, pula berkata, anaknya itu merupakan seorang anak yang baik dan taat kepada ibu bapa sebelum ini.

Namun sikapnya mula berubah sejak lapan tahun yang lalu apabila dia ingin memulakan perniagaan sendiri.

"Anak saya telah meminjam wang sebanyak RM60,000 daripada saya sejak beberapa tahun yang lalu. Namun dia tidak pernah membayar balik malah kini telah menghilangkan diri tanpa sebarang berita," jelasnya.

Kedua-duanya merayu Siew Keong yang hilang sejak Ogos lalu kembali dan tampil untuk menyelesaikan masalah ini.

Di samping itu, mereka meminta kepada pihak ah long terbabit supaya jangan mengganggu mereka lagi kerana mereka tidak mempunyai wang untuk menjelaskan hutang tersebut.

kosmo/-

Kajian ringkas terhadap Laporan Ketua Audit Negara

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -


Sengal tulang dan bengkak urat serta otot akibat terjung tiruk bersama KIA Sedona masih belum hilang. Tapi, badan menjadi gagah tiba-tiba setelah mendapat sepucuk SMS dari seorang teman di Malaysia. Laporan Ketua Audit Negara dah keluar. Itu isi mesejnya.

Saya bangkit dari pembaringan, menekan suis laptop dan melayari internet. Web Jabatan Audit diakses dan terus memuat turun fail. Berbekalkan segelas susu dan beberapa keping biskut Ulker, saya meneliti audit tersebut. Beberapa bahagian penting dicetak keluar untuk simpanan anak cucu.

Ringkasan audit 2010 :


KEMENTERIAN PELAJARAN

RM160.7 JUTA telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran untuk membina 300 makmal komputer yang dijangka siap sepenuhnya pada April 2008. Namun, sehingga kini, hanya 2 buah makmal yang siap. Kata seorang kawan, beliau teringat sewaktu melakukan kajian yang di Sabah dulu. Rakyat Sabah kata komputer sedia, tapi elektrik tak ada! Aduhai.

KEMENTERIAN PERTAHANAN
  1. Rak akhbar dan majalah : RM 1445.
  2. Ubahsuai katil : RM 950
  3. Katil Bujang : RM 700
  4. Kerusi Plastik : RM 761
  5. Meja Kayu kecil : RM 950


KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH
  1. 55.2% atau 79 buah dari 143 buah Tabika tidak menepati menu dan piawaian makanan yang ditetapkan.
  2. Makanan tamat tempoh.
  3. Makanan disimpan dalam bilik air dan tempat beracun.



KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR (Jabatan Taman Laut Malaysia)

Pembelian alatan yang jauh lebih mahal dari harga tertinggi pasaran.
  1. Laptop dan pencetak dengan RM 11 845 berbanding pasaran RM 3428 : 246% lebih mahal
  2. LCD TV dan DVD Player dengan RM 16 100 berbanding pasaran 2182: 638% lebih mahal.
  3. Radar X-Band dengan RM 47 725 berbanding pasaran RM 8 255 : 478% lebih mahal
  4. Bushnell Binocular dengan RM 56 350 berbanding pasaran RM 2 827 : 1893% lebih mahal
  5. Marine Binocular dengan RM 56 350 berbanding pasaran RM 1 940 : 2 805 % lebih mahal
  6. Walkie-Talkie dengan RM 4 324 berbanding pasaran RM 1561 : 177% lebih mahal.

Peralatan tidak mengikuti spesifikasi kontrak :
  1. Enjin bot aluminium : Kontrak enjin 4 stroke RM 11 553, beri enjin 2 stroke RM 6549 : Rugi RM 5396
  2. Peti sejuk : kontrak peti jenis Panasonic RM 1299, beri peti Mitsubishi RM 629 : Rugi RM 670
  3. Dapur : Kontrak dapur Electrolux RM 6955, beri dapur TAIYO RM 2110 : Rugi RM 4855
  4. LCD TV dan DVD Player : Kontrak jenama Toshiba RM 16 100, beri jenama Philips RM 195 : Rugi RM 15 905
  5. GPS : Kontrak jenama SAMYUNG, RM 5080, beri jenama FURONO, RM1055 : Rugi RM 4025
  6. CCTV : Kontrak jenama PARADOX RM5750, beri jenama Belco, RM 640 : Rugi RM 5110
  7. Laptop dan Printer: Kontrak jenama Acer Aspire dan HP CP1518, RM 11 945, beri Acer Travelmate dan Canon Pixma RM 2137 : Rugi RM 9808


MAJLIS SUKAN NEGARA

MSN telah membeli 23 ekor kuda baka khas untuk sebuah pertandingan dengan harga RM 5.66 juta. Pembelian ini dibuat secara runding terus tanpa mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan. Namun, 18 ekor darinya tidak melepasi piawaian Federation Equestre International, hanya lima ekor sahaja lulus untuk menyertai pertandingan.

KEMENTERIAN KESIHATAN

Anggota tiruan tanpa kelulusan berjumlah RM 310 696.

Laporan Audit bukanlah perincian SEMUA jabatan, unit dan sebagainya. Setakat pengetahuan saya dalam hal ini, ia hanya mengambil sampel jabatan, unit dan sebagainya untuk diaudit. Kebarangkalian untuk lebih teruk atau lebih baik masih sangat besar.

Kajian ini pula adalah kajian ringkas yang tidak merangkumi perincian lain yang bakal mendedahkan lebih banyak kecacatan, pengkhianatan dan tidak amanah terhadap pengurusan kewangan.

Sumber : Laporan Ketua Audit Negara 2010 : LINK

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

4 mangsa gempa bumi dikeluarkan hidup-hidup

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Reuters - BEBERAPA anggota penyelamat berjaya menarik keluar seorang mangsa gempa bumi di Ercis, dekat bandar Van, Turki semalam.

ERCIS - Empat orang mangsa gempa bumi dikeluarkan dari celah-celah runtuhan hidup-hidup semalam selepas salah seorang daripada mereka meminta bantuan menerusi telefon bimbit.

Gempa bumi yang berukuran 7.2 pada skala Richter itu membunuh 270 orang di timur Turki manakala puluhan mangsa terperangkap di celah runtuhan kelmarin.

Ratusan bangunan di dua buah bandar di timur Turki yang terletak bersempadan dengan Iran runtuh dalam kejadian itu.

Salah seorang mangsa yang terselamat itu, Yalcin Akay menghubungi talian kecemasan polis bagi meminta bantuan selepas dia terperangkap di celah runtuhan.

Yalcin memberitahu lokasi dia terperangkap kepada polis, lapor agensi berita Anatolia.

Tiga orang lagi kemudian termasuk dua kanak-kanak turut diselamatkan di bangunan tempat Yalcin terperangkap, 20 jam selepas gempa bumi berlaku.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan turut melawat ke tempat kejadian.

Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin menyatakan, angka kematian dijangka meningkat. - Agensi

LPKP ambil masa 700 hari untuk selesai kes, aduan

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan ada kes tangkapan dan aduan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengambil masa lebih 700 hari untuk diselesaikan.

Menurut laporan itu, tempoh tersebut bermula daripada tarikh tangkapan sehingga tindakan amaran, pembayaran kompaun, penggantungan atau pembatalan lesen yang boleh diselesaikan dalam masa sehari.

Perkara tersebut dikesan menerusi semakan terhadap 486 kes tangkapan dari tahun 2008 hingga Mei 2010, menurut laporan itu.

Selain itu, semakan juga mendapati LPKP mengambil masa antara 41 hingga 756 hari untuk menyelesaikan 123 daripada 257 aduan, yang mana bertentangan dengan piagam organisasi iaitu 30 hari bagi urusan pengendalian aduan.

Jabatan Audit Negara turut mendapati ada kelemahan lain dalam LPKP seperti tidak mengambil tindakan pendakwaan, prosedur kerja penguatkuasaan tidak dipatuhi dan pengurusan fail serta dokumen yang tidak teratur.

Sehubungan itu, jabatan tersebut mengesyorkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang ditubuhkan 31 Jan lalu bagi menggantikan LPKP di Semenanjung Malaysia, memperbaiki kelemahan LPKP tersebut bagi memastikan penguatkuasaan dan pengurusan yang cekap dan teratur.

Jabatan antara lain mencadangkan SPAD menetapkan tempoh masa bagi pelesen atau pemandu untuk hadir ke pejabat bagi menentukan sama ada mereka dikenakan tindakan amaran, kompaun atau dibebaskan.

Turut disyorkan agara pegawai pendakwa dilantik segera bagi membolehkan tindakan mahkamah diambil terhadap pesalah yang mempunyai kompaun tertunggak melebihi tempoh kuatkuasanya.

Jabatan itu juga menyarankan SPAD meminta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) menjalankan kajian menyeluruh terhadap prosedur bahagian penguatkuasaan bagi memastikan kecekapan, integriti dan ketelusan operasinya.

- Bernama

Gaddafi dikebumi hari ini

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Jenazah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi akan dikebumikan pada upacara ringkas di satu lokasi yang dirahsiakan di padang pasir negara itu, kata pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) semalam.

Muammar yang memerintah negara itu selama 42 tahun terbunuh dengan satu kesan tembakan di kepala Khamis lalu.

"Dia akan dikebumikan esok (hari ini) dalam majlis yang ringkas dengan dihadiri oleh ulama.

Ia satu lokasi tidak diketahui di kawasan gurun terbuka," kata pegawai itu kepada Reuters menerusi telefon.

"Tiada persetujuan dicapai antara kumpulan sukunya untuk mengambil jenazah (Muammar)," kata beliau.

Ditanya jika anak lelaki Muammar, Mo’tassim akan dikebumikan pada upacara yang sama, pegawai itu berkata: "Ya." - Reuters

Bina bazar rakyat bantu tingkat daya saing IKS

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, : Pihak kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diminta memperbanyakkan bazar rakyat bagi membantu pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.

Dalam masa yang sama, kementerian terbabit disaran supaya melakukan pelbagai usaha bagi mempertingkatkan daya saing di kalangan pengusaha IKS untuk membolehkan mereka maju seiring dengan pencapaian hypermarket.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib (gambar) berkata, kini para pengusaha IKS menghadapi kerumitan yang amat sangat sehingga sesetengahnya terpaksa "gulung tikar" ekoran persaingan sengit dengan hypermarket.

Menurutnya, untuk membolehkan mereka memasarkan barangan yang dikeluarkan di hypermarket pula, mereka terpaksa menghadapi cabaran getir disebabkan deposit terlalu tinggi yang dikenakan oleh pihak terbabit.

Katanya, fenomena itu jika tidak diatasi akan menyebabkan lebih banyak IKS yang akan gulung tikar pada masa akan datang.

"Jadi untuk membolehkan IKS terus hidup, pihak kementerian perlu membina bazar rakyat dan mempertingkatkan daya saing untuk mereka," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Di samping itu, beliau menyarankan pihak kementerian mengadakan sistem yang lebih konkrit bagi pengeksportan produk halal hub terutama ke negara-negara Timur Tengah.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan usaha-usaha lebih berkesan yang akan dilakukan bagi membantu pengusaha IKS memasarkan produk mereka.

Pertanyaan itu dikemukakan memandangkan ruang pasaran yang amat terhad terhadap pengusaha-pengusaha IKS sehingga mereka hampir tidak mendapat tempat terutama di pasaraya-pasaraya besar.

Ketika menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim turut menghargai pendedahan tersebut.

IMenurut Rohani, ia merupakan satu maklum balas yang diperlukan oleh pihak kementerian untuk membolehkan pihaknya menyusuli dengan langkah-langkah yang sewajarnya bagi kepentingan IKS di tanah air.

harakahdaily/-

Mayat Gaddafi berbau busuk

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Reuters - MAYAT Muammar Gaddafi yang masih diletakkan di dalam sebuah bilik sejuk di Misrata, Libya semalam.

MISRATA, Libya - Mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mula mereput dan berbau busuk selepas empat hari ditempatkan di dalam sebuah bilik sejuk simpanan daging di sini sejak Khamis lalu.

Pejuang-pejuang yang mengawal jenazah Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim bertindak meletakkan lapisan plastik di bawah jenazah mereka ekoran cecair mayat mula mengalir di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar tempat kedua-dua jenazah itu disimpan.

Warna kedua-dua mayat itu menjadi semakin hitam selepas tidak dikebumikan selama empat hari.

Para pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mula memberikan topeng bedah kepada para pelawat untuk melindungi daripada terhidu bau busuk yang tersebar ke dalam bilik sejuk beku tersebut.

"Tuhan mencipta firaun sebagai teladan kepada manusia lain," kata seorang penduduk, Salem Shaka yang melawat kedua-dua jenazah itu semalam.

"Jika beliau seorang yang baik, kami pasti akan mengebumikannya.

Namun, beliau sendiri yang memilih jalan ini (jalan kehancuran)," tambahnya.

Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim mati dibunuh di bandar kelahiran Gaddafi, Sirte selepas mereka ditangkap pada Khamis lalu.

Seorang lagi lelaki menyatakan dia memandu sejauh 400 kilometer untuk melihat mayat Gaddafi.

"Saya datang ke sini untuk memastikan dengan mata saya sendiri. Semua penduduk Libya mesti melihatnya," katanya.

Pengebumian Gaddafi masih menjadi perbalahan dalam kalangan anggota-anggota NTC yang memerintah Libya buat sementara waktu.

Para pemimpin NTC mahu mayat Gaddafi dikebumikan di sebuah lokasi rahsia supaya makamnya tidak dipuja.

Namun, suku kaum Gaddafi mahu mayatnya dikebumikan di bandar kelahirannya di Sirte. - Reuters

Empat perompak berputih mata

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANGGOTA polis forensik memeriksa barang-barang bukti di lokasi kejadian Datuk cuba disamun di Jalan USJ 1, Subang Jaya semalam.

SUBANG JAYA - Seorang ahli peniagaan bergelar Datuk mengalami detik-detik cemas apabila beg berisi wang RM200,000 miliknya cuba dirompak empat lelaki di tempat letak kereta berhampiran pusat beli-belah The Summit USJ di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 4.30 petang, Datuk yang juga peniaga barangan lusuh berusia 50-an itu ditemani seorang adik lelaki dan pengawal peribadinya.

Ketiga-tiga mangsa ketika itu sedang berbincang mengenai urusan pembelian timah dengan dua pekerjanya di tempat letak kereta itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Tan Ah Chua berkata, ketika perbincangan sedang berlangsung, empat lelaki menaiki sebuah kereta Proton Iswara berwarna biru meluru ke arah mangsa.

"Tiga daripada suspek yang bersenjatakan kapak dan parang cuba merampas beg dibawa Datuk manakala pengawal peribadi Datuk pula diserang menyebabkan dia cedera di tangan kiri dan paha kanan akibat ditetak dengan parang.

"Pengawal peribadi itu kemudian melepaskan empat das tembakan ke arah ketiga-tiga suspek itu," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut beliau, akibat tembakan itu, dua suspek masing-masing berusia 32 tahun cedera di perut manakala dua lagi berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Iswara yang menunggu mereka.

"Penjenayah itu gagal menyamun beg berisi wang tunai milik Datuk itu," kata beliau.

Jelas beliau, kedua-dua suspek yang cedera dan pengawal peribadi berusia 44 tahun dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.

Tambah beliau, polis tidak menolak kemungkinan salah seorang suspek yang melarikan diri turut cedera dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka supaya menghubungi balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, Ah Chua berkata, pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemui beberapa kelongsong peluru yang dilepaskan oleh pengawal peribadi Datuk itu.

kosmo/-

24 Oktober 2011

UIA tarik balik penggantungan Aziz Bari

26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Penggantungan tugas terhadap pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Abdul Aziz Bari ditarik balik serta-merta hari ini.

Peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman berkata, makluman penarikan balik itu diberitahu unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan petang tadi.

Sehubungan itu juga Aziz Bari diarah melapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang kampus itu esok.

“Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang,” kata Zulqarnain dipetik The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.

Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.

“Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,” kata Zulqarnain.


Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.