24 Oktober 2011

UIA tarik balik penggantungan Aziz Bari

26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Penggantungan tugas terhadap pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Abdul Aziz Bari ditarik balik serta-merta hari ini.

Peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman berkata, makluman penarikan balik itu diberitahu unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan petang tadi.

Sehubungan itu juga Aziz Bari diarah melapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang kampus itu esok.

“Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang,” kata Zulqarnain dipetik The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.

Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.

“Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,” kata Zulqarnain.


Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.

Tiada ulasan: