24 Oktober 2011

RM1.2 juta Untuk Baiki Masalah PPR Kota Damansara

26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA DAMANSARA : Lebih 800 penduduk rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8 di sini melahirkan kegembiraan apabila Kerajaan Negeri menyatakan akan mengatasi masalah kerosakan yang melanda kawasan perumahan mereka sejak sekian lama.

Kawasan rumah pangsa tersebut yang didiami mereka sejak lebih 10 tahun lalu menghadapi masalah kerosakan seperti lift, pam air, lampu, keselamatan dan lain-lain yang dijangka melibatkan kos pembaikan melebihi RM1.2 juta.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa PPR Seksyen 8, Johari Nander berkata, sememangnya selama ini penduduk di situ menghadapi pelbagai masalah dalam kekhidupan harian berikutan pelbagai kerosakan yang merumitkan itu.

Namun, katanya, kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengadakan lawatan di kawasan itu pada hari ini mengubah segalanya apabila penduduk rumah pangsa tersebut dijanjikan segala masalah kerosakan akan diperbaiki dalam kadar segera.

Jelasnya, mereka telah menunggu saat itu hampir sekian lama dan berharap segala perancangan Kerajaan Negeri akan berjalan sebagaimana dirancangkan.

"Semua yang hadir termasuk MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dengan pihak penyelenggara termasuk AJK penduduk dan NGO datang hadir pada hari ini yang mana beliau (Menteri Besar) pun telah berjanji dalam masa tiga bulan ni harus diperbaiki.

"MB pun dah bagi kita harapan janji. Saya rasa janji ini akan ditunaikanlah," katanya ketika ditemui selepas majlis pertemuan antara Menteri Besar dan penduduk di kawasan itu hari ini.

Dalam sesi pertemuan itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengenalpasti segala masalah kerosakan itu dalam tempoh dua minggu dari sekarang dan akan merangka proses membaikpulih segala kemudahan di kawasan itu.

Beliau berkata, segala masalah kerosakan akan diatasi melibatkan sejumlah kos yang akan diperuntukkan menerusi laporan yang akan dibuat beberapa pihak termasuk MBPJ, kontraktor dan yang lain.

Katanya, pihaknya berharap masalah dihadapi itu akan dapat diatasi dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

"Inilah antara masalahnya. Saya rasa MBPJ harus profesional dalam hal ini. Kita ada isu RM1.2 juta dan bukan setakat RM1.2 juta. RM1.2 juta asasnya tapi isu penyelenggaraan berapa banyak.

"Untuk tiga bulan ini kita betulkan lift, kita betulkan pam air, kita tambah lampu dan kita atasi masalah pengawal keselamatan (security)," katanya.

Rumah pangsa PPR Seksyen 8 itu pada asalnya adalah penempatan sementara penduduk namun kebanyakan mereka telah mendiami kawasan itu melebihi 10 tahun dengan kadar sewa bulanan antara RM124 hingga RM250.

Abdul Khalid berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan MBPJ dan kontraktor terlibat dalam tempoh dua minggu lagi bagi mendapat gambaran jelas berhubung segala kerosakan yang akan diperbaiki termasuk kos diperlukan.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap kerja pembaikan itu dapat dijalankan secepat mungkin selepas itu.

Berhubung masalah pembayaran penyelenggaraan yang dihadapi penduduk, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan mengenalpasti berapa ramai jumlah penduduk yang gagal atau tidak menjelaskan bayaran tersebut dan akan mengatasinya mengikut kaedah yang sesuai.

Bagaimanapun, katanya, bayaran tersebut dikutip daripada penduduk adalah bagi tujuan menampung kos membaikpulih segala kerosakan dan mewujudkan kemudahan di kawasan itu.

"Kita akan tentukan setiap sen yang kita kutip kita akan gunakan untuk pembaikan. Kita tak untung, semua guna untuk pembaikan. Kita ada rekod," katanya.

Turut hadir, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad; Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

tv selangor/-

Tiada ulasan: