24 Oktober 2011

Layan secara akademik, bukan undang-undang

26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berpandangan bahawa sebarang isu yang melibatkan pandangan, pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik.

Presidennya, Amidi Abdul Manan menyatakan demikian sebagai respons kepada isu surat tunjuk sebab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ditujukan kepada pensyarah undang-undang,

Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar) atas kenyataan yang dikatakan bertentangan dengan kepentingan universiti mengundang polemik yang berpanjangan dalam masyarakat.

Ini, katanya ditambah pula dengan liputan media dan kenyataan oleh pelbagai kelompok yang boleh menjejaskan reputasi kedua belah pihak.

Menurutnya, UIAM mempunyai nama dan kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat di Malaysia dan telah berjasa melahirkan graduan yang berkualiti dan mampu memberikan sumbangan yang besar kepada agama, bangsa dan negara.

Ujarnya lagi, UIAM juga mempunyai reputasi yang baik di peringkat antarabangsa sementara Dr Abdul Aziz adalah seorang tokoh akademik dalam bidang perundangan yang begitu dihormati di Malaysia.

Beliau menambah, Dr Aziz telah banyak menyumbangkan buah fikiran menerusi ceramah dan penulisan buku dan makalah dalam bidang kepakaran beliau iaitu perlembagaan.

“Abim berpandangan bahawa sebarang isu yang melibatkan pandangan , pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Maka, kata beliau sewajarnya segala persoalan akademik dilayan secara akademik juga, bukan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya.

Seharusnya, ujar beliau medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah dan tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan.

“Sekiranya perkara ini terjadi, Abim percaya kredibiliti kedua-dua belah pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu,” katanya lagi.

ABIM juga, ujarnya khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu itu.

“Jika perkara ini berlaku ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia academia di Malaysia.

“Abim menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak,” katanya lagi.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: