20 April 2013

MB Perak: Kamilia orang tidak ada prinsip

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kamilia

Kamilia (tengah) tiba di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar dengan diiringi penyokongnya sebelum ke dewan penamaan calon.
LUMUT -  Peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahan kerusi Parlimen Kuala Kangsar tidak tergugat dengan tindakan bekas Naib Ketua Umno, Datuk Kamilia Ibrahim menjadi calon Bebas bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini, kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Beliau sudah buat keputusan, jadi kita (BN) anggap beliau bukan calon BN dan kita terima keputusannya... BN tidak bimbang dengan peluang untuk menang meskipun beliau bertanding di situ dan kita akan lawan.

"Namun saya kecewa apabila beliau menjadi orang yang tidak ada prinsip selepas tidak dapat menerima keputusan parti yang menawarkannya bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun Bukit Chandan," katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.
 
Beliau berkata, Kamilia (yang dipecat secara automatik sebagai anggota Umno hari ini) sepatutnya mencontohi mereka yang senior dan mempunyai jawatan lebih tinggi daripadanya seperti bekas Presiden Gerakan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas yang sanggup bertanding kerusi Dun.

"Meskipun Kayveas memegang jawatan presiden parti namun beliau dengan rendah hati menerima amanah daripada BN untuk bertanding kerusi Dun Pasir Berdamar... jadi saya tidak fahamlah kenapa ini yang berlaku," katanya.

Keng Yaik juga pernah bertanding kerusi negeri Jalong, Perak pada PRU 1978 walaupun ketika itu beliau merupakan timbalan presiden Gerakan.

Zambry berkata, BN telah buat yang terbaik dan memberikan kedudukan yang sebaik-baiknya malah telah memberitahu alasan mengapa, tetapi Kamilia tetap juga dengan pendirian beliau.

Pemilihan calon BN dibuat selepas mendapatkan maklum balas daripada anggota dan rakyat peringkat akar umbi sebelum pucuk pimpinan tertinggi membuat keputusan muktamad, katanya.

Mengulas pertandingan tiga penjuru yang akan dihadapinya bagi kerusi Dun Pangkor, Zambry berkata beliau tiada masalah untuk bertanding dengan sesiapa sahaja.

Zambry akan dicabar calon PKR, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli dan calon Bebas Benard Parenpa.

"Calon Bebas itu kita tak kenal, dengar kata dia dari Selangor, bukan tempatan tetapi tiada masalah. Saya boleh faham mengapa, mungkin mereka tidak mahu beri laluan mudah tetapi dalam proses demokrasi sesiapa pun boleh
bertanding," katanya.

Zambry juga kesal ada penyokong pembangkang yang membuat bising dan melanggar garisan yang ditetapkan Suruhajaya Pilihan Raya ketika berhimpun di pusat penamaan calon sehingga mengganggu kelancaran pengumuman calon oleh pengawai pengurus pilihan raya.

"Ini ialah permulaan contoh tidak baik, tindakan mereka melanggar peraturan, sedangkan penyokong BN mematuhi dengan berkumpul di lokasi yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata BN Perak akan terus bekerja  keras termasuk memperbanyak kerja turun padang untuk meyakinkan dan memenangi hati pengundi di seluruh pelusuk negeri. 

- Bernama

Tanding bebas: Umno pecat Fadzil Hanafi

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Bekas Exco kerajaan negeri Fadzil Hanafi, yang hari ini bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu, dipecat keanggotaan daripada Umno serta-merta berikutan tindakan beliau itu.
    
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tindakan Fadzil bertanding sebagai calon Bebas merupakan satu tindakan mengkhianati parti.
    
"Kami berasa kesal apabila dia (Fadzil) telah mengkhianati parti apabila bertanding sebagai calon Bebas. Fadzil meletakkan dirinya lebih utama daripada kepentingan seluruh parti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata BN Kedah dan DUN Alor Mengkudu tidak tergugat dengan tindakan berkenaan malah menaruh penuh keyakinan kepada calon BN bagi DUN Alor Mengkudu Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, akan menerima sokongan oleh pengundi.
    
Sementara itu, Fadzil, 55, berkata beliau tidak gentar dengan tindakan disiplin yang dikenakan Umno apabila bertanding sebagai calon Bebas kerusi DUN Alor Mengkudu. 
    
"Saya tak risau dengan masalah disiplin yang akan dihadapi kerana saya berjuang untuk memenuhi suara akar umbi," katanya.
    
Sebelum ini beliau pernah menjadi Adun BN di Alor Mengkudu selama dua penggal selepas menang pilihan raya umum 1999 dan 2004 serta menjadi Exco kerajaan negeri pada 1999 hingga 2004.

Malaysiakini/-

Pencalonan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BERIKUT adalah senarai calon layak bertanding bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur:
PARLIMEN
P. 114 - KEPONG
CHANDRAKUMANAN A/L ARUMUGAM -BN
TAN SENG GIAW @ TAN CHUN TIN-DAP
YEE POH PING-BEBAS
P. 115 - BATU 
ATAN BIN JASIN-BEBAS
CHUA TIAN CHANG -PKR
DOMINIC LAU HOE CHAI -BN
HASHIM BIN ABDUL KARIM-BERJASA
NAZARIAH BINTI ABBAS-BEBAS
P. 116 - WANGSA MAJU
MOHD SHAFEI BIN ABDULLAH-BN
TAN KEE KWONG-PKR
P. 117 - SEGAMBUT
JAYANTHI DEVI A/P BALAGURU-BN
LIM LIP ENG-DAP
P. 118 - SETIAWANGSA
AHMAD FAUZI BIN ZAHARI-BN
IBRAHIM BIN YAACOB-PKR
P. 119 - TITIWANGSA
AHMAD ZAMRI BIN ASA'AD KHUZAMI-PAS
JOHARI BIN ABDUL GHANI-BN
P. 120 - BUKIT BINTANG
FONG KUI LUN-DAP
GAN JOON ZIN-BN
P. 121 - LEMBAH PANTAI
NURUL IZZAH BINTI ANWAR-PKR
RAJA NONG CHIK BIN RAJA ZAINAL ABIDIN-BN
RUSLI BIN BABA-BEBAS
P. 122 - SEPUTEH
TERESA KOK SUH SIM-DAP
WONG SIAW TINGBN
P. 123 - CHERAS
TAN KOK WAI-DAP
TEOH CHEE HOOI-BN
P. 124 - BANDAR TUN RAZAK
ABD KHALID BIN IBRAHIM-PKR
MOHAMAD SUKERI BIN ABDUL SAMAT-BEBAS
MOKHTAR BIN SALAHUDIN-BEBAS
TAN KOK ENG-BN
-mStar

Guan Eng Hadapi Saingan Tiga Penjuru Di Parlimen Bagan

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BUTTERWORTH: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mempertahankan kerusi parlimen Bagan akan menghadapi pertandingan tiga penjuru apabila dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).
Calon BN Chua Teik Siang (BN) dan calon PCM Lim Kim Chu adalah muka baharu yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya.
Kawasan yang mempunyai 59,385 pengundi itu merupakan kubu kuat pembangkang namun sekarang lebih condong kepada BN ekoran Chua yang selalu turun padang dan disukai ramai.
Kerusi DUN Bagan Dalam dalam parlimen Bagan, menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon BN Karuppanan M.Malairaja (MIC), Tanasekharan Autherapady (DAP), Lim Seang Teik (PCM) dan calon bebas Asoghan Govindaraju.
DUN Bagan Jermal pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon B NTan Chuan Hong (MCA), Lim Hock Seng (DAP) dan Lim Kim Chu (PCM) manakala DU NSungai Puyu pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Sum Yoo Keong (MCA) dengan DAP Phee Boon Poh.
Guan Eng yang ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di sini, berkata semua calon DAP boleh menggunakan simbol roket parti untuk PRU13 ini.
"Tiada bantahan dari pegawai pilihan raya menggunakan simbol roket DAP," katanya.
Guan Eng berkata ini adalah kerana ibu pejabat DAP telah menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada pukul 10 malam tadi menyatakan ia tidak mempunyai bantahan terhadap penggunaan simbol roket dalam PRU13. 
mStar/-

71 maut gempa kuat di Sichuan

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

71 maut gempa kuat di Sichuan FOTO menunjukkan rumah yang musnah selepas gempa bumi melanda wilayah Sichuan, hari ini. - Foto Reuters
BEIJING: Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Wilayah Sichuan, awal hari ini meningkat kepada 71 orang, demikian menurut agensi berita Xinhua.

Jumlah mereka yang cedera pula dilaporkan 600 orang mengikut laporan stesen televisyen CCTV News. 

Gempa berlaku jam 8 pagi waktu tempatan di kedalaman 12 kilometer dengan menyebabkan kemusnahan kepada kediaman serta kejadian tanah runtuh. - AFP 

Pertembungan 3 penjuru di 6 kerusi di Perlis

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KANGAR: Penamaan calon bagi piihan raya umum ke 13 di negeri Perlis hari ini menyaksikan lima orang calon bebas bakal bertanding di enam kerusi di Perlis.


(Calon-calon yang bertanding di Parlimen Arau)

Di Dewan Maktab Rendah Sains MARA Beseri, penamaan calon bagi palimen Padang Besar menyaksikan kerusi Dun N.01 Titi Tinggi bakal ditandingi oleh tiga orang calon.

Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan bakal dicabar oleh muka baru dari MCA, Khaw Hock Kong dan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Padang Besar, Yaakob Man yang bertanding di atas tiket bebas.

Sementara itu, Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Padang Besar yang bertanding di kerusi P001 Padang Besar bakal dicabar oleh Ketua Umno Bahagian, Datuk Zahidi Zainul Abdidin.

Di Dun N.05 Santan, Yang DIpertua PAS Kawasan,  Yang juga AJK PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir bakal dicabar penyandang dari BN, Sabry Ahmad. 

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Wan Kharizal Wan Khazim juga bakal dicabar oleh penyandang Datuk Mat Rawi Kassim di Dun N.02 Beseri.

Di Dun Chuping, Wan Mohd Fishaal Wan Daud dari KeADILan bakal dicabar Ketua Puteri Umno, Asmaiza Ahmad dan di Dun Mata Ayer, Ketua AMK Perlis, bakal menetang penyandang Khairi Hassan dari BN.

Perarakan calon Pakatan Rakyat di sertai kira-kira 1000 orang ahli dan penyokong.

Sementara itu, tiga kerusi di parlimen Kangar bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru. 

Di Dun Sena, Tuan Marja Tuan Mat dari KeADILan akan dicabar oleh penyandang, Jamil Saad dari BN dan calon bebas, Ahmad Rizal Effande Zainol.

Di Dun Indera Kayangan, Chang Ming Kai (KeADILan) akan dicabar oleh Dr Por Choo Chor (BN) dan Yang Dipertua Perkasa Perlis, Ameir Hassan (bebas).

Dun Kuala Perlis pula bakal menyaksikan Amin Ahmad (KeADILan) dicabar oleh Mat Hassan (BN) dan ahli KeADILan, Shaari Ludin yang bertanding tiket bebas.

Baharuddin Ahmad (PAS) akan bertanding di parlimen Kangar menentang Shaharudin Bin Ismail (BN), Ustaz Ya'akub Abu Seman (PAS) melawan Ahmad Bakri Ali (BN) di Dun Kayang dan Abd Jamil Kamis (BN) menentang Rela AHmad (BN) di Dun Bintong.

Dalam pada itu, di parlimen Arau, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din akan ditentang oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (BN) dan Zainuddin Yom, ahli Umno yang bertanding tiket bebas.

Zainuddin juga bertanding tiket bebas di Dun Sanglang menentang Mohd Shukri Ramli (PAS) serta Ustaz Fathul Bari Mat Jaya (BN).

Yang Dipertua PAS Arau, Rus'sele Eizan akan dicabar oleh NurulHisham Yaakob (BN) di Dun Simpang Empat; Ketua Dewan Ulama Perlis, Ustaz Idris Yaacob (PAS) akan melawan Azlan Man (BN) di Dun Pauh; Zulmi Sabri (PAS) melawan penyandang, Jafperi Othman (BN) di Dun Guar Sanji dan Azhar Amir (KeADILan) melawan Datuk Ismail Kasim di Dun Tambun Tulang.

Harakahdaily/-

5,000 iringi calon PAS Marang

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Ustaz Hadi memberikan ucapan kepada semua yang mengiringi beliau semasa penamaan calon)

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru kepada seluruh jentera parti agar dapat melaksanakan kerja-kerja kempen pil;ihan raya dengan baik, bersabar serta mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau turut menjelaskan pernah bertanding dalam beberapa siri pilihan raya sejak tahun 1986 dan tidak ada sebarang masalah.

“Seperti biasa dan ini bukan pertama kali saya bertanding di sini (Marang)…sejak tahun 1986. Saya menyeru kepada seluruh jentera parti supaya bekerja dengan baik, sabar dan mengikut peraturan pilihan raya yang ada, Insya’Allah,” ujarnya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon PRU13, Pejabat Daerah Marang, hari ini.

Sebelum itu, lebih para penyokong dan ahli PAS mula berkumpul di perkarangan Pejabat Majlis Tindakan Dun (MTD) Rhu Rendang yang dijadikan Markas Pilihan Raya Muslimat dan Pemuda PAS Dun Rhu Rendang.

Perarakan calon bermula kira-kira jam 8.40 pagi dari pejabat Majlis Tindakan Dun (MTD) Rhu Rendang sejauh hampir satu kilometer ke pusat penamaan calon selepas calon-calon PAS menunaikan solah hajat di Masjid Kampung Kijing.

Sekitar jam 9.00 pagi, rombongan calon dan pengiringnya mula masuk ke kawasan Pusat Penamaan Calon PRU13 di Pejabat Daerah Marang.

Kesemua calon-calon PAS bertanding menyerahkan borang pencalonan masing-masing pada jam9.15 pagi dan selesai pendaftarannya kira-kira 10 minit kemudian.

Pada jam 10.00 pagi, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) waktu penyerahan borang pencalonan tamat dan diumumkan calon-calon bertanding secara rasminya pada jam 11.00 pagi. 

Keputusan pencalonan menyaksikan pertandingan satu lawan satu kecuali di N17 Alor Limbat terdapat calon bebas iaitu Encik Jaafar Jambol bekas rakan sekutu Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ini bermakna, perlawanan tiga penjuru antara calon PAS, Ustaz Ariffin Deraman menentang penyandang BN, Alias Abdullah serta calon bebas, Jaafar Jambol.

P37 Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempertahankan kerusinya yang akan ditentang oleh Pengerusi Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Pencalonan Ustaz Abdul Hadi bertanding di kerusi Parlimen Marang dicadangkan oleh Haji Ibrahim Long dan disokong oleh Embong Ngah.

Kerusi N18 Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah mempertahankan kerusi tersebut yang akan ditentang oleh musuh tradisinya Zaidi Muda yang pernah bertanding tahun 2008 lalu.

Encik Muda Abdullah adalah pencadang dan Mohd Nasir Ismail pula penyokong kepada Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu.

Ustaz Abdul Hadi Awang yang juga penyandang kerusi N19 Rhu Rendang akan mempertahankannya dari pencabar calon BN, Nik Dir Nik Wan Ku.

Haji Hashim @ Ibrahim Mohamad merupakan pencadang dan Mohamad Deraman pula adalah penyokong kepada pencalonan Dato’ Seri Abdul Hadi mempertahankan kerusi tersebut.

Manakala, calon termuda PAS bagi kerusi N20 Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong, 37, pula akan ditentang oleh calon BN, A Latif Awang.

Beliau dicadangkan oleh Hamzah Muda dan disokong oleh Mohd Faizol Ismail untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di Dun Pengkalan Berangan.

Tinjauan Harakah mendapat jumlah penyokong PAS jauh lebih ramai dari penyokong Umno-BN sekaligus menggambarkan sokongan moral cukup kuat kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Marang.

Harakahdaily/-

Hanipa bersaing 4 penjuru di Sepang

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SEPANG: Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berhadapan pertarungan empat penjuru bagi Parlimen P113 Sepang. 

Lawan beliau ialah penyandang kerusi ini iaitu Dato’ Ir. Mohd Zin Mohamed dari Barisan Nasional.

Dua lagi adalah dari calon bebas iaitu Dato’ Haji Suhaimi Mohd Ghazali dan Hanafiah Mohamad. 

Pada PRU12 tahun 2008, Dato’ Ir. Mohd Zin Mohamed menewaskan calon PAS Mohamed Makki Ahmad dengan majoriti 4,849. 

Pada PRU11 tahun 2004, beliau menang dengan majoriti 18,837 undi. Berdasarkan perkembangan semasa dan pergolakan dalaman Umno, tidak mustahil kali ini kerusi Parlimen Sepang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

“Kehadiran dua calon bebas dari Umno, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Berdasarkan tinjauan yang telah kita lakukan beberapa bulan lalu, peluang untuk PR mencipta kejutan tidak mustahil kerana rakyat sudah sedia membuat perubahan,” demikian kata Mohamed Hanipa Maidin, calon parlimen PAS.

Hanipa juga menyatakan bahawa PR akan menjalankan kempan secara bersih dan tidak menyerang keburukan individu. 

PR bakal menyatakan polisi dan manifestonya dalam usaha meyakinkan pengundi. Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa sejarah bakal tercipta di parlimen Sepang. 

Bagi DUN pula, N54 Tanjong Sepat menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu Nisman Yusuf (BN), Ir Mohd Haslin Hassan (PAS) dan Muventhen Munusamy (Bebas).

N55 Dengkil juga melibatkan pertarungan tiga penjuru iaitu Shahrom Md Sharif (BN), Borhan Aman Shah (PKR), dan Azmi Othman (KITA).

N56 Sungai Pelek menampilkan persaingan empat penjuru iaitu Ng Chong Sing (BN), Lai Nyuk Lan (DAP), Ab Manaf Suhardi (Bebas) dan Zakaria Mohd Mokhtar (KITA).

Harakahdaily/-

Muhyiddin: Umno pecat Kamilia Ibrahim

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


penamaan calon

KUALA LUMPUR - Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim keluar daripada semangat kesepakatan parti dengan mengemukakan pencalonan untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 5 Mei ini.
   
Tindakan beliau mendorong tindakan segera Umno untuk memecat keanggotaan Kamilia dalam parti secara automatik.
   
Pemecatan beliau diumumkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas tamat proses penamaan calon bagi PRU13 di seluruh negara hari ini dan Kamilia disahkan bertanding di Kuala Kangsar.
   
"Tindakan beliau (Kamilia) jelas bertentangan dengan perlembagaan dan peraturan Umno, serta tidak selari dengan semangat perjuangan parti," kata timbalan perdana menteri kepada pemberita selepas mengemukakan kertas pencalonan beliau sendiri untuk kerusi Parlimen Pagoh di Johor.
   
Surat pemecatan Kamilia akan dikeluarkan Isnin ini.
 
Sebelum ini, Kamilia pernah menyuarakan kekecewaannya dengan mengatakan Barisan Nasional tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13, sedangkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa Kamilia yang menolak tawaran bertanding, bagi kerusi Dun Bukit Chandan kerana mahu bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
   
Kamilia juga turut ditawarkan jawatan Exco jika BN menubuhkan kerajaan di negeri Perak tetapi beliau turut menolaknya, kata perdana menteri.
   
Beliau berkata sehubungan itu, tidak timbul sama sekali soal Kamilia tidak diberi tempat dalam PRU13 atau tidak dihargai oleh BN.
   
Sementara itu Kamilia mengumumkan dalam laman Facebooknya bahawa beliau meletakkan semua jawatan dalam Umno berikutan beliau bertanding sebagai calon Bebas.
   
Selain naib ketua Wanita Umno, Kamilia juga memegang jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Wanita Umno Kuala Kangsar.
   
Kamilia akan menentang calon BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr Khalil Idham Lim daripada Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.  

- Bernama

Anggota polis meninggal di pusat penamaan calon

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Seorang koperal polis meninggal dunia semasa bertugas di pusat penamaan calon Politeknik Merlimau, dipercayai mengalami serangan jantung di pintu masuk pusat itu di Melaka hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamudin Hashim berkata Kpl Nordin Ahmad, 50, dari Balai Kemendor, di sini disahkan meninggal dunia pada 8.15 pagi semasa dalam perjalanan ke Hospital Jasin. 
    
"Allahyarham ketika itu dilaporkan baru selesai bersarapan pagi apabila
 tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri.
    
"Beliau dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan sewaktu berada dalam ambulans," katanya kepada pemberita di pusat penamaan itu.
    
Allahyarham antara 150 anggota polis dari seluruh Jasin yang bertugas pada hari penamaan calon bagi parlimen Jasin di pusat itu.
    
Beliau meninggalkan balu Norhayati Nordin, 48, dan dua anak lelaki iaitu Mohammad Saifuddin, 13, dan Muhammad Riduan, 16.
    
Bernama

Tok Pa: BN terkejut calon tarik diri untuk beri laluan kepada Ibrahim Ali

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 20 April — Barisan Nasional (BN) tidak dimaklumkan mengenai keputusan calon mereka Che Johan Che Pa untuk tidak menghantar borang penamaan calon sehingga menyebabkan calon bebas, Datuk Ibrahim Ali melawan calon PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz secara satu lawan satu di kerusi Parlimen Pasir Mas, kata Datuk Seri Mustapa Mohamad. 

Menurut Pengerusi Perhubungan BN Kelantan itu yang mesra dengan panggilan Tok Pa, gabungan pemerintah memandang serius mengenai perkara ini dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap Che Johan. 
“Saya sebagai Pengerusi Perhubungan BN Kelantan, ingin menegaskan bahawa kepimpinan Tertinggi BN Kelantan tidak dimaklumkan mengenai keputusan Che Johan Che Pa untuk tidak bertanding sebagai calon Parlimen BN di Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
“BN Kelantan terkejut dengan keputusan beliau dan akan merujuk kes ini kepada Lembaga Disiplin parti,” tambah beliau lagi. 
Hari ini heboh apabila calon BN Che Johan yang hadir di Pusat Penamaan Calon tidak menghantar borang pencalonannya. 
Che Johan yang merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu juga dikatakan mempunyai talian persaudaraan dengan Ibrahim. 
Sementara calon PAS Nik Abduh juga merupakan anak lelaki kepada menteri besar sementara Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 
Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu kecewa sebelum ini kerana tidak diberikan alasan mengapa tidak dicalonkan sedangkan Naib Presidennya Datuk Zulkifli Noordin dipilih menjadi calon BN bagi kerusi parlimen Shah Alam. 
“Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya,” katanya awal minggu ini. 
Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan BN agar meletakkan Ibrahim sebagai calon dan berjanji untuk berkempen di Pasir Mas sekiranya presiden Perkasa itu terpilih. 
Dr Mahathir yang juga merupakan penaung kepada Perkasa juga berkata, orang-orang seperti Ibrahim diperlukan oleh negara. 
Ibrahim sebelum ini pernah mengugut mahu membakar bible berbahasa Melayu dan menjadi jaguh mempertahankan hak keistimewaan golongan Bumiputera walaupun ianya telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. 
Pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim bertanding di atas tiket PAS dan menang kerusi Parlimen Pasir Mas selepas mengalahkan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad dengan majoriti 8,991 undi. 
Beliau kemudian berkrisis dengan PAS dan mengumumkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.
-The Malaysian Insider

Pertembungan pelbagai penjuru dalam PRU13

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pilihan raya umum ke-13 dijangka menyaksikan paling banyak pertembungan pelbagai penjuru dalam sejarah apabila ramai calon 'masuk gelanggang' untuk bertanding di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berikut adalah antara pertandingan pelbagai penjuru yang menarik:

JOHOR


Gelang Patah (parlimen) menyaksikan calon Bebas Rajandran Ramasamy turut serta bersaing di kerusi panas itu bersama-sama dengan Menteri Besar Johor Datuk Seri Abdul Ghani Othman (Umno) dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Kulai (parlimen) - pertandingan tiga penjuru antara Teo Nie Ching (DAP), yang merupakan penyandang MP Serdang, Tay Chin Hein (MCA) dan K Surendiran (Bebas).

Pengerang (parlimen) - pertandingan tiga penjuru di mana Datuk Azalina Othman (Umno) berdepan dengan Tengku Intan Tengku Abdul Hamid (PKR) dan Mohd Azaman Johari (Bebas).

SELANGOR

Kajang (negeri) - Enam enam calon menyertainya, iaitu Lee Ban Seng (MCA), Lee Chin Cheh (PKR), Mohamad Ismail (Berjasa) dan tiga calon Bebas (Ong Yan Foo, Mohd Iwan Jefry Abd Majid dan Mohd Khalid Kassim).

PERAK

Kuala Kangsar (Parlimen) mempunyai calon yang mengejutkan. Naib Ketua Wanita Umno Malaysia, Kamilia Ibrahim yang tidak puas hati dengan pemilihan calon, telah bertanding sebagai calon Bebas. Beliau akan berdepan dengan Khalil Idham Lim (PAS) dan Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN).

Tapah (parlimen) - pertandingan empat penjuru antara Ketua PKR Cabang Tapah, Ridzuan Bani (calon Bebas) berdepan dengan M Saravanan (MIC-penyandang), bekas tahanan ISA, K Vashantha Kumar (PKR) dan Shaharuzzaman Bistamam (Berjasa).

PULAU PINANG

Permatang Pauh (parlimen) - Pertandingan tiga penjuru antara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-penyandang) dengan Mazlan Ismail (Umno) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas).

Tasek Gelugor (parlimen) - Pertandingan tiga penjuru antara bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Mohd Shariff Omar - yang merupakan penyandang kerusi tersebut dan kini bertanding sebagai calon Bebas - dengan Shabudin Yahaya (Umno) dan bekas ahli korporat Datuk Abdul Rahman Maidin (PAS).

Sungai Acheh (negeri) akan melihat sekutu politik PAS dan PKR berentap di kerusi yang sama. Badrul Hisham (PKR), yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, akan berdepan dengan Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Yusni Mat Piah dan Mahmud Zakaria (Umno).
KEDAH

Padang Serai (parlimen) - Pertandingan lima penjuru antara penyandang N Gobalakrishnan (bekas MP PKR kini bertanding Bebas), N Surendran (PKR), Heng Seai Kie (MCA), Hamidi Abu Hassan (Berjasa) dan Othman Wawi (Bebas).

Alor Setar (parlimen) - Pertandingan empat penjuru antara penyandang MP Datuk Chor Chee Heung (MCA) berdepan dengan Gooi Hsiao-Leung (PKR) dan Abdul Fisol Mohd Isa (Berjasa) dan Jawahar Raja Bin Abdul Wahid (Bersama) .

Berjasa adalah parti serpihan PAS manakala Bersama sebuah parti yang berpusat di Sabah yang pada asalnya dikenali sebagai Setia.

Sungai Limau (negeri) - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (PAS) berdepan dengan pertandingan empat penjuru dengan Fadzilah Mohd Ali (BN), Abdullah Hashim (Bebas) dan Sobri Ahmad (Bebas).  
KUALA LUMPUR

Lembah Pantai (parlimen) - Perjuangan tiga penjuar antara peniaga dari Bangsar, Rosli Baba (Bebas) dengan penyandang MP Nurul Izzah Anwar (PKR) dan Raja Nong Chik Zainal Abidin (Umno).

Bandar Tun Razak (parlimen) - Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim (PKR) yang akan mempertahankan kerusi tersebut, berdepan dengan Sukeri Abdul Samat (Bebas), Mokhtar Salahuddin (Bebas) dan Tan Kok Eng (MCA).

Kepong (parlimen) - Pertandingan tiga penjuru antara Tan Seng Giaw (DAP), A Chandrakumanan (PPP) dan Yee Poh Ping (Bebas).

Batu (parlimen) - Pertandingan lima penjuru antara penyandang MP Chua Tian Chang (PKR) dengan Dominic Lau (Gerakan), Hashim Abdul Karim (Berjasa) dan dua Bebas, Atan Jasin dan Nazariah Abbas.

PAHANG

Cameron Highlands (parlimen) - Pertandingan lima penjuru antara Presiden MIC, Datuk G Palanivel yang berdepan dengan M Manogaran (DAP), dua Bebas - K Kisho Kumar dan T Alagu - dan Mohd Shokri Mahmood (Berjasa).

Indera Mahkota (parlimen) - Pertandingan tiga penjuru antara Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang merupakan pemimpin Umno bekas, yang akan berdepan dengan Wan Adnan Wan Mamat (Umno) dan G Ponusamy (Bebas). Ponusamy merupakan calon PKR bagi kerusi Parlimen Bentong pada 2008.

TERENGGANU

Kuala Terengganu (Parlimen) - Pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zubir Embong (Umno), Raja Kamarul Bahrin Shah, sepupu sultan Terengganu, (PAS) dan nenek Maimun Yusuf, 94.

PERLIS
Arau (parlimen)- Datuk Shahidan Kassim (Umno) berdepan dengan Datuk Haron Din (PAS) dan Zainudin Yom (Bebas). Shahidan adalah bekas menteri besar Perlis manakala Haron adalah timbalan mursyidul Am PAS.

NEGERI SEMBILAN

Seremban (parlimen) - Pertandingan lima penjuru antara Loke Siew Fook (DAP) yang berdepan dengan penyandang MP John Fernandez yang kini bertanding Bebas, Abdul Halim Abdullah (Berjasa), dan dua calon Bebas - Bujang Abu dan Yeow Chai Thiam.

 SABAH

Kimanis (parlimen) - Pertandingan empat penjuru antara penyandang MP, Datuk Anifah Aman (Umno), dengan Jaafar Ismail (PKR), Jamil William Core (SAPP) dan Lusin Bulangon (Star).

Menariknya, Bukit Bintang di Kuala Lumpur akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Fong Kui Lun (DAP) dan Frankie Gan (MCA) selama bertahun-tahun.

KELANTAN

Di Pasir Mas, Kelantan - calon Umno Che Johan Che Ba tidak memfailkan kertas pencalonannya, untuk membolehkan penyandang MP, Datuk Ibrahim Ali berentap satu lawan satu dengan Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS), anak menteri besar Kelantan.

Malaysiakini/-

Surat pecat ahli BN tanding Bebas keluar Isnin ini

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


penamaan calon

PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata surat pemecatan kepada pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum 5 Mei ini, akan dikeluarkan pada Isnin.

Perdana menteri yang juga pengerusi BN berkata langkah itu dibuat bagi menjaga disiplin anggota BN supaya memberi keutamaan kepada parti daripada kepentingan peribadi.

"Salah satu ketetapan, sesiapa (pemimpin dan anggota BN) yang bertanding atas tiket Bebas, tidak boleh kekal sebagai ahli parti.

"Oleh itu, parti akan ambil tindakan pada Isnin ini untuk keluarkan surat memecat ahli-ahli yang bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kali ini," katanya ketika berucap pada jamuan tengah hari di kediaman beliau, di sini hari ini.

Antara anggota BN yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU13 ini ialah Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar (Perak) dan bekas Ketua Bahagian Umno Tasek Gelugor Datuk Seri Mohd Shariff Omar bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor (Pulau Pinang).

Kamilia akan menentang calon BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr Khalil Idham Lim daripada Pas manakala Mohd Shariff mencabar Shabudin Yahaya (BN) dan Datuk Seri Abdul Rahman Maidin (Pas).

Najib berkata, bukan menjadi kesalahan kepada BN memecat anggota dan pemimpinnya yang belot kerana tindakan itu perlu dan penting bagi menjaga disiplin parti.

Beliau berkata, jika disiplin BN tidak dijaga, ia boleh merosakkan parti berkenaan.

"Kalau ada satu dua yang terpaksa kita korbankan, lebih baik kita korbankan mereka daripada kita korbankan parti yang kita kasihi," katanya.

- Bernama

Husam dulu ke Putrajaya

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



Ketika Pakatan Rakyat sedang mara ke Putrajaya, Datuk Husam Musa pergi ke situ dulu seolah-olah dia menunggu dan menyambut ketibaan ekspidisi itu.
Sebelum Husam, Naib Presiden PAS membuat tawaran untuk bertanding di Putrajaya, kota pentadbiran Malaysia itu dikira kubu BN dan ia adalah berayakan Tengku Adnan Mansor yang menjadi wakil rakyat di situ sejak tahun 2004.
Tiada siapa berfikir Anwar Ibrahim akan meninggalkan kawasan Permatang Pauhnya dan Abdul Hadi Awang akan mengosongkan Marang untuk bertanding di Putrajaya. Lim Kit Siang yang suka mengejutkan berubah tempat bertanding pun tidak akan ke Putrajaya. Maka tempat itu seolah-olah selamat buat Tengku Adnan dan Umno.
Bila Husam mula menyebut dia ingin bertanding di Putrajaya, reaksi Tengku Adnan begitu tenang, datanglah Husam kalau hendak menggali kubur.
Husam bersungguh. Dia tahu Putrajaya bukanlah laluan yang mudah tetapi dia mahu mencuba, bukan sekadar mencuba, dalam  suasana yang penuh cabaran dan serba kepayahan itu dia mahu ke situ juga, bukan untuk kalah bahkan untuk menang.
Baginya kalah di situ adalah lebih senang dari menang. Tetapi dia mahu mencuba yang susah itu.
Maka setelah disahkan Husam bertanding di situ, barulah Tengku Adnan, Umno dan seluruh jentera pilihanraya BN mengira ia adalah satu pertandingan yang hebat, dan Husam adalah sebaik calon yang boleh melucutkan pengaruh Tengku Adnan.
Husam sebenarnya berkata kepada saya menjelang PRU 2004 dulu, dia ingin bertanding di Putrajaya. Masa itu saya Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Tetapi saya tidak memberi perhatian kepadanya.
Hasrat Husam sudah berputik sejak itu dan sekarang kemahuannya itu bertambah kuat.
Saham PAS dan Pakatan Rakyat melunjak apabila Husam disahkan sebagai calon di situ. Harapannya, walaupun payah, tetapi bagi kebanyakannya, dia adalah yang terbaik dari semua orang dalam PAS. Kalau Husam tidak boleh menang, orang lain lagi tidak boleh menang.
Husam sedar dia bermula di belakang Tengku Adnan dan akan mengejarnya dengan harapan untuk memintasnya.
Tawaran Husam itu adalah tawaran seorang panglima. Pakatan Rakyat telah nekad untuk merampas Putrajaya dari BN. Untuk menawan Putrajaya, kerusi Parliman Putrajaya tidak boleh dibiarkan di tangan orang lain.
Mengambil kerusi Parlimen Putrajaya itu sama penting dan sama susahnya dengan menawan kuasa Putrajaya itu sendiri.
Amat mustahak kerusi Putrajaya itu diambil serentak. Maka atas kepekaan itulah Husam mengambil risiko untuk bertanding di tempat yang mencabar itu dengan memberikan kerusi yang lebih selamat di Kelantan kepada orang lain.
Mesti ada orang yang mesti ke depan untuk bekerja menggerakkan Putrajaya. Itulah dia datang menyerahkan jiwa raganya bagi membantu Pakatan dari dalam untuk mengambil kuasa Putrajaya.
Apakah semua pegawai awam di Putrajaya itu pengundi di situ? Tidak semua. Mereka juga ada yang mengundi di tempat lain. Tetapi ramai dari pegawai itu adalah rakan seuniversiti denganya dulu. Dan semua orang di Putrajaya itu kenal Husam sama dengan mereka mengenal Tengku Adnan.
Pebandingannya, Tengku Adnan adalah pekerja, tetapi dia bukan otak, tetapi Husam adalah otak yanag boleh menggerakkan tangan dan kaki.
Tengku Adnan kiranya dikekalkan sebagai calon, baru bertemu dengan orang yang terbaik. Husam datang untuk menewaskannya  bagi membuka pintu Putrajaya untuk dimasuki oleh ekspidisi Pakatan Rakyat.
-The Malaysian Insider

Noh Omar dicabar Herman Tino, calon Pas

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


penamaan calon

TANJONG KARANG - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada pilihan raya umum 5 Mei ini menghadapi pertandingan tiga penjuru apabila ditentang penyanyi dangdut Herman Tino dan seorang calon Pas.

Noh, 55, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor merupakan anggota Parlimen selama empat penggal bagi kerusi Tanjong Karang sejak 1995.

Herman Tino, penyanyi era 80-an bertanding sebagai calon Bebas sementara calon Pas ialah Timbalan Yang Dipertua Pas Tanjong Karang, yang juga bekas guru, Mohamad Rashdi Deraman, 49.

Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, popular dengan lagu seperti 'Yale Yale' dan 'Pelita Dalam Kabus' mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga di Sek Men Keb Dato' Haron di sini.

Beliau akan menggunakan lambang bunga raya pada pilihan raya ini.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang, pertandingan tiga penjuru berlaku antara calon BN Sulaiman Abdul Razak yang juga penyandang kerusi itu, calon PKR Mohd Yahya Mat Sahri dan calon Bebas peniaga, Low Tan.

Dun Sungai Burong pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mohd Shamsuddin Lias (penyandang) dan calon Pas, Mohamad Judi Sarjo.

Noh yang ditemui pemberita selepas mengemukakan kertas percalonan di Dewan Datuk Hormat di sini, berkata kawasan Parlimen itu mencipta sejarah apabila pertama kali mempunyai calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Noh yang berasal dari Parit 2, Sungai Burung di Tanjong Karang menewaskan Mohamed Hanipa Maidin (Pas) dengan majoriti 3,820 undi.

"Trend calon Bebas pada pilihan raya umum kali ini menunjukkan negara kita mengamalkan demokrasi, siapa pun boleh bertanding. Apapun saya yakin BN akan
mengekalkan kerusi Parlimen dan dua Dun ini memandangkan kita telah memberi khidmat yang baik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu Herman Tino ketika ditanya mengapa bertanding sebagai calon Bebas, berkata beliau sebagai seorang artis hanya ingin 'mencantikkan keadaan'.
"Saya tidak kisah kalau terlepas pandang, tetapi saya kisah kalau saya tidak dipandang," katanya.

Parlimen Tanjong Karang menjadi satu-satunya kawasan di Selangor yang mengekalkan kesemua calon BN yang bertanding pada pilihan raya umum 2008 lalu
pada PRU13.

Parlimen itu mempunyai 42,410 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 31,096 orang, Cina (7,043), India (4,158) dan kaum lain (113). 

- Bernama