21 Februari 2008

BN yakin tiada masalah pertahan kerusi di Parit Buntar ?

PARIT BUNTAR 20 Feb. - Barisan Nasional (BN) menerusi komponennya, UMNO dijangka tidak menghadapi masalah untuk berhadapan dengan parti pembangkang Pas dalam pilihan raya umum 8 Mac ini.
Ini kerana masalah utama sebahagian besar penduduk seperti kemiskinan, taraf hidup dan setinggan sememangnya diberi perhatian khusus oleh kerajaan untuk mengatasinya sejak BN menawan semula kerusi Parlimen pada 2004.


Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Abdul Rahman Suliman berkata, BN sebenarnya tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ kerana masalah utama yang dihadapi sebahagian besar penduduk yang bersawah dan menjadi nelayan sudah diatasi oleh kerajaan.

"Isu di kawasan ini tidak banyak. Buat masa ini hanya isu nasional yang dibawa masuk oleh parti pembangkang nampaknya yang perlu ditangani oleh jentera pilihan raya BN.''Pengundi kita yakin telah dapat melihat rekod wakil BN memberi khidmat dan membawa pembangunan kepada mereka dan akan memberi sokongan kepada BN," katanya.

Beliau yang disebut-sebut akan bertanding semula pada kali ini berkata, tinjauan jentera BN mendapati penduduk berpuas hati dengan usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan.

Pada 1999, Datuk Dr. Hassan Ali menang bagi kerusi Parlimen dengan kelebihan 2,094 undi menewaskan Abdul Rahman yang mendapat 13,837 undi."Bagaimanapun saya telah menasihati jentera BN supaya jangan terlalu yakin, adalah penting untuk bekerja keras walaupun pembangkang dianggap lemah," katanya.

Pengaruh Parlimen Parit Buntar yang mempunyai dua kerusi DUN iaitu Titi Serong dan Kuala Kurau sememang mempunyai pengaruh kuat Pas yang telah bertanding sejak dulu lagi.

Parit Buntar yang dikenal pasti antara empat kerusi Parlimen milik BN yang dianggap 'kelabu' pada pilihan raya umum kali ini mempunyai 45,065 pengundi dengan Melayu sebanyak 30,077, Cina pula 12,790 pengundi, India seramai 2,155 serta lain- lain 43 pengundi.

Kekalahan BN pada pilihan raya umum 1999 yang didorong oleh isu pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi kesan besar kepada penerimaan Pas di kalangan penduduk Parit Buntar.

Ia menyaksikan calon BN, Abdul Latif Mat Ali tumpas kepada calon Pas, Ahmad Azhar Sharin dengan kelebihan undi sebanyak 4,893 undi.

Senario di Kuala Kurau pula mempamerkan Ahmad Shariffuddin A. Aziz, calon BN menewaskan Asman Ismail (Pas) dan Zainuddin Abdul Rashid (Keadilan) dengan majoriti 3,991 undi.

Bagaimanapun, pertembungan 'buku dengan ruas' pada pilihan raya umum 2004 antara Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin dan Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hassan Ali yang menyaksikan BN merampas semula kerusi itu dengan kelebihan 4,698 undi berbanding Dr. Hassan yang hanya meraih 14,619 undi bagaimanapun tidak menjanjikan impian BN begitu indah bagi pilihan raya umum kali ini.

Bagi kerusi DUN Titi Serong pada 2004, calon Pas Ahmad Azhar Sharin tewas kepada BN yang diwakili Abu Bakar Mat Ali dengan majoriti undi 2,587 manakala DUN Kuala Kurau dimenangi BN yang meletakkan Mohd Salleh Mat Isa yang menumpaskan Dr. Khalil Idham Lim Abdullah (Pas) dan Tan Ah An (DAP) dengan majoriti undi 2,479.

Kemenangan BN itu menjadi tamparan hebat kepada Pas yang mendakwa parlimen itu kubu kuat mereka ditambah pula selepas BN meletakkan kawasan itu sebagai 'kelabu' namun, azam serta usaha BN untuk mempertahankan kemenangan itu adalah semakin jelas dalam pilihan raya umum nanti.

Abdul Rahman berkata, harapan pembangkang untuk memberi saingan semakin sukar apabila UMNO baru-baru ini berjaya menembusi dua kampung yang selama ini menjadi kubu kuat Pas iaitu Kampung Parit Abas Tengah dan Kampung Batu 6, Tanjung Piandang.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata, kerusi Parit Buntar mempunyai peratusan pengundi Cina dan India yang agak besar dan kemenangan calon BN banyak dibantu oleh sokongan mereka.''Bagaimanapun isu nasional seperti kumpulan pelampau Hindraf telah menghangatkan suasana dan boleh menggugat BN jika pembangkang dapat mempengaruhi dua kelompok pengundi itu,'' katanya.

Pemilihan Abdul Hamid sebagai calon BN pada 2004 disifatkan strategi terbaik BN apabila beliau menjadi giant killer yang turut memberi impak kepada kedua-dua kerusi DUN.
- Bernama

Tiada ulasan: