15 Mac 2008

Surat setuju Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar ditandatangani

IPOH 14 Mac — Semua 31 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas telah menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan menerima pelantikan ADUN Pasir Panjang, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Asmuni Awi hari ini berkata, surat berkenaan telah diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor kira-kira pukul 10 malam semalam.


“Selepas wakil ketiga-tiga parti dipanggil menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta pada 2 petang semalam, kita telah menandatangani dan menyerahkan surat yang dititahkan itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Surat persetujuan berkenaan perlu dipersembahkan kepada baginda dengan menyatakan persetujuan bekerjasama dalam kerajaan campuran serta persetujuan sebulat suara menerima Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak Mohammad Nizar, 51, sebagai Menteri Besar ke-10.

Semalam istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang dijadualkan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada pukul 4 petang ditangguhkan selepas ketiga-tiga parti dikatakan berbalah berhubung pengagihan kerusi exco kerajaan campuran yang akan dibentuk.

- Bernama

1 ulasan:

Selongsong berkata...

Drs. Khalil Idham Lim (ADUN Titi Serong) untuk Exco Negeri Perak!