20 Jun 2008

Operasi letup bom :5,000 kosongkan rumah di Ipoh esok

IPOH, 19 Jun :– Seramai 5,000 penduduk terpaksa mengosongkan rumah mereka bagi membolehkan sebutir bom Perang Dunia Kedua diletupkan di tempat ia ditemui seminggu lalu dekat Sungai Pinji, Tambun di sini, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, bom tersebut tidak dapat dipindahkan kerana sistem suisnya telah diaktifkan dan kemungkinan besar boleh meletup jika digerakkan.


Ekoran itu, menurutnya, penduduk di empat kawasan dalam lingkungan 500 meter radius lokasi bom ditemui perlu mengosongkan rumah mereka mulai pukul 8.30 pagi Sabtu, bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Kawasan terlibat ialah Taman Tambun, Taman Tambun Jaya, Kampung Baru Tambun dan Kampung Malay Rezab.


Penduduk terlibat, katanya, akan dipindahkan ke Masjid Tambun dan Kem Rejimen Askar Melayu Diraja di Tambun menggunakan perkhidmatan bas percuma yang disediakan.
‘‘Buat masa ini, kami sedang mengeringkan air sungai bagi memastikan kesan letupan adalah kecil.


“Kerja-kerja untuk meletupkan bom ini tidak mengambil masa yang lama, mungkin selesai antara pukul 1 atau 2 petang Sabtu ini tetapi jika hujan, ia terpaksa ditangguhkan,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Bom seberat 100 kilogram itu ditemui oleh empat pemancing di Tambun selepas mata kail salah seorang daripada mereka terkena pada bom tersebut di sungai itu pada 12 Jun lalu.

Azisman menambah, polis turut menutup jalan masuk ke pekan Tambun, Jalan Tambun Permai dan Jalan Ampang Baru bagi tujuan keselamatan.


Katanya, seramai 200 anggota polis termasuk tiga pakar dari Unit Pemusnah Bom Bukit Aman terlibat dalam operasi memusnahkan bom tersebut.


Beliau berkata, Unit Udara Polis turut membuat tinjauan udara bagi memastikan tiada pergerakan manusia dalam lingkungan 500 meter dari kawasan bom diletupkan.


“Orang ramai bagaimanapun usah bimbang dengan keputusan polis meletupkan bom itu dalam sungai kerana yakin ia tidak mengakibatkan kemalangan jiwa dan harta benda,’’ ujarnya.


Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman anggota Unit Pemusnah Bom yang sudah banyak kali melakukan teknik yang tidak menyebabkan letupan besar.

Tiada ulasan: