13 Julai 2008

Perak johan Qari dan Qariah


JITRA ,11 Julai :- Qari dan qariah dari Perak, Shamsul Ariffin Supian dan Sharifah Khasif Fadzilah Badiuzzaman muncul johan kategori masing-masing pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-51 di sini malam ini.

Mereka menewaskan 27 peserta lain yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang bermula Isnin lepas.

Shamsul Ariffin, seorang guru agama di Daerah Kerian yang memperoleh markah 81 peratus, menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, cenderamata, pakej haji dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Johan Qari dan Qariah dari Perak dengan hadiah masing-masing

Sharifah Khasif Fadzilah pula yang mendapat markah 79 peratus turut menerima pakej hadiah yang sama.
Naib johan qari dimenangi peserta Melaka, Azraie Abdul Haq yang berjaya memungut markah 79.33 peratus manakala tempat ketiga dimenangi qari dari Sabah, Abdulllah Abdul Wahid yang memperoleh markah 79 peratus.

Bagi kategori qariah, naib johan dimenangi peserta dari Sarawak, Farah Ilyani Zakaria dengan memungut 78.67 markah manakala tempat ketiga dimenangi Shabiroh Zain dari Pahang dengan 78 peratus.

Sementara itu, Sultan Abdul Halim dalam titah ketika menyempurnakan majlis penutup tilawah di Dewan Wawasan, mahu umat Islam menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan dalam menjalani kehidupan yang sempurna.

''Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca sebaliknya difahami dan dihayati segala isi kandungannya untuk diamalkan dalam kehidupan seharian," katanya.

Hadir sama Sultanah Kedah, Tuanku Hamimah Hamidun; Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Perak, Muhammad Nizar Jamaluddin .

Tiada ulasan: